Sila email kepada saya alittsalimin@yahoo.com
Perbincangan akademik, artikel dan maklumat berkaitan Pendidikan Jasmani Kesihatan dan Sains Sukan.
Saturday, February 26, 2011
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran kuasa
Pengukuran Kuasa
Kuasa merupakan kombinasi kelajuan dan kekuatan otot. Ia boleh didefinisikan sebagai suatu kebolehan melakukan sesuatu pergerakan yang pantas dan kuat dengan menggunakan masa yang paling minimum. Dari segi fisiologi, kuasa merupakan hasil keupayaan otot menguncup dalam masa yang singkat. Ianya melibatkan gabungan antara kekuatan otot dan juga kepantasan kuncupan otot tersebut.
Menurut Corbin & Lindsey (1994), kuasa merupakan komponen kecergasan fizikal berlandaskan lakuan motor kerana kuasa yang dihasilkan bergantung kepada kepantasan iaitu masa yang diambil. Selain daripada itu, kuasa juga bergantung kepada kekuatan otot. Kebanyakkan daripada kita menggunakan kuasa bukan sahaja dalam aktiviti sukan tetapi juga dalam aktiviti seharian.
Dalam bidang mekanik, kuasa diklasifikasikan sebagai kerja dibahagikan dengan masa. Lebih cepat sesuatu kerja itu dilakukan, maka lebih banyak kuasa digunakan. Ini bermakna, kuasa dapat digambarkan melalui persamaan seperti Jadual 1.2:
Jadual 1.2
Definisi kuasa menurut Johnson dan Nelson
|
Fox (1991) mendefinisikan keupayaan melompat, melakukan pecutan serta merejam adalah beberapa contoh perlakuan yang menukarkan daya kepada kuasa. Kuasa yang dihasilkan akan menentukan jumlah jarak atau masa yang diambil bagi sesuatu aktiviti tersebut. Seterusnya kuasa yang dihasilkan adalah merupakan faktor asas kepada kejayaan atlet tersebut dalam acara yang diceburinya.
Thomas & Nelson (1996) menyatakan seseorang atlet yang kuat dan pantas tidak semestinya mempunyai nilai kuasa yang eksplosif. Ini adalah kerana atlet perlu menggabungkan aspek kekuatan dan kepantasan untuk menghasilkan daya. Daya yang dihasilkan ini bergantung pula kepada beberapa lama masa yang diambil dalam menghasilkan sesuatu lakuan.
Terdapat beberapa ujian yang biasa digunakan bagi mengukur kuasa kaki dan tangan seperti lompat jauh berdiri, melontar bola segar atau bola keranjang, menarik lengan menegak, melontar bola keranjang sambil duduk dan ujian kuasa anaerobik Magaria.
Friday, February 25, 2011
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran Masa Reaksi
Pengukuran Masa Reaksi
Masa reaksi merupakan salah satu komponen keupayaan motor yang amat penting bagi seseorang individu untuk bertindakbalas dengan cepat dan efisyen terhadap ‘cues’ penglihatan dan pendengaran. Kebolehan masa reaksi ini dapat membantu atlet meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam acara sukan. Masa reaksi, masa pergerakan dan masa gerakbalas dititikberatkan apabila menjalankan pengujian dan penilaian mengenai kepantasan dan masa reaksi.
Mengikut Singer (1975), masa reaksi melibatkan integrasi pada bahagian tinggi pusat sistem saraf iaitu melibatkan perspesi. Manakala tindakan masa refleks melibatkan bahagian rendah pusat sistem saraf iaitu sistem saraf periferi. Masa reaksi juga merujuk kepada kepantasan membuat keputusan dan memulakan aksi di mana keupayaan antisipasi yang tinggi boleh mempercepatkan masa reaksi. Magill (1993), mendefinisikan masa reaksi sebagai tempoh daripada mula menerima stimulus sehingga bermulanya gerakbalas. Kadar penghasilan masa reaksi terhadap sesuatu stimulus bagi menghasilkan gerakbalas diandaikan berfungsi sebagai pentunjuk kepada kecekapan mekanisme pemprosesan maklumat atau membuat keputusan. Paradigma masa reaksi boleh diklasifikasikan kepada beberapa tempoh yang spesifik. Daripada paradigma tersebut, berbagai maklumat boleh disintesiskan antaranya latensi untuk berlakunya tindakbalas voluntari adalah dalam lingkungan 200 milisaat.
Masa reaksi boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor persekitaran dan individu. Faktor persekitaran melibatkan jumlah alternatif stimulus-respon kesesuaian stimulus dengan tindakbalas dan variabiliti tempoh awal. Manakala faktor individu pula sebahagaian besarnya melibatkan aspek-aspek kematangan biologi, intensiti tumpuan dan madaliti sensori.
Menurut Magill (1993), masa reaksi juga bergantung kepada jenis masa reaksi iaitu masa reaksi mudah, masa reaksi pilihan dan masa reaksi diskriminasi. Masa reaksi mudah melibatkan satu stimulus dan gerakbalas. Masa reaksi pilihan melibatkan lebih dari satu isyarat dan setiap isyarat memerlukan satu gerakbalas yang spesifik. Manakala masa reaksi diskriminasi pula melibatkan lebih dari satu isyarat tetapi hanya memerlukan satu gerakbalas sahaja.
Antara ujian yang lazim dilakukan bagi mengukur masa reaksi adalah seperti ujian tindak balas pilihan Nelson dan ujian pergerakan kepantasan tangan Nelson. Kesimpulannya, masa reaksi merupakan masa yang diambil di antara sesuatu rangsangan yang diberikan dan tindakan pertama terhadap rangsangan itu atau permulaan tindakan.
Thursday, February 24, 2011
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran Ketangkasan
Pengukuran Ketangkasan
Menurut Annarino (1976), ketangkasan merupakan salah satu unsur dalam faktor fisiomotor yang diperolehi daripada tindakan sistem saraf ke atas sistem otot dengan reaksi otot yang betul untuk menghasilkan pergerakan yang diingini. Maka keadaan ini mestilah dilakukan pada darjah ketepatan dan penggunaan daya yang sesuai.
Manakala menurut Safrit (1973), Clarke (1976), Mathews (1978), Baumgartner & Jackson (1999), ketangkasan adalah kemampuan mengubah kedudukan badan dan arah secara pantas. Barrow & McGee (1979), Philips & Hornak (1979) serta Thomas & Nelson (1985) pula mendefinisikan ketangkasan sebagai merujuk kepada kepantasan dan ketepatan semasa mengubah arah pergerakan sebahagian atau keseluruhan badan. Johnson dan Nelson (1986) juga menyatakan ketangkasan merupakan kebolehan fizikal seseorang yang dapat mengubah kedudukan badan dan arah secara tepat dan cepat. Sifat ketangkasan bukan sahaja melibatkan kepantasan tetapi juga termasuk kebolehan badan membuat perubahan pergerakan atau arah pergerakan secara tiba-tiba (Hunsicker, 1974).
Keberkesanan ketangkasan dapat dilihat apabila ia digabungkan dengan faktor-faktor kecergasan lain. Annarino (1976) berpendapat bahawa kebolehan dan keberkesanan ketangkasan melibatkan faktor masa reaksi dan masa pergerakan yang mana ia dikaitkan dengan kelajuan dan ketepatan tentang reaksi satu kumpulan otot tertentu untuk bertindakbalas ke atas sebarang aktiviti lakuan motor.
Barrow dan McGee (1979) menyatakan keberkesanan ketangkasan dapat dipertingkatkan dengan gabungan aspek-aspek kekuatan, dayatahan otot, kepantasan, deria kinestetik dan koordinasi. Faktor kekuatan dan dayatahan otot boleh meningkatkan kepantasan, maka secara tidak langsung faktor tersebut boleh mempengaruhi keberkesanan ketangkasan. Seseorang boleh bertindak lebih tangkas dengan mengubahsuaikan darjah ketepatan dan konsistensi bagi kedudukan badan atau bahagian badan tertentu semasa bergerak dalam ruang. Selain itu, faktor kordinasi yang baik dapat dihubungkaitkan dengan ciri semulajadi sesuatu pergerakan. Faktor kordinasi dapat meningkatkan lagi keberkesanan faktor ketangkasan.
Faktor-faktor lain yang mempengaruhi ketangkasan terdiri daripada faktor umur, tahap kematangan, saiz badan, jenis bentuk badan, pemakanan dan persekitaran (Clarke, 1976).
Ujian kecergasan motor yang biasa digunakan bagi mengukur tahap kecergasan motor adalah ujian lari ulang alik 30 kaki , ujian ketangkasan SEMO , ujian lompat kuadran, ujian lari zig-zag dan lompat menegak . Ujian ketangkasan lazimnya mempunyai tiga komponen iaitu pertukaran dalam arah larian, perubahan dalam kedudukan badan dan pertukaran arah sebahagian badan.
Tuesday, February 22, 2011
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran Kordinasi dan imbangan
Pengukuran Kordinasi
Kordinasi ialah keupayaan untuk menyatukan sistem motor yang berasingan dengan pelbagai saraf bagi menghasilkan corak pergerakan yang berkesan. Mengikut Hastad & Lacy (1998), kordinasi adalah keupayaan untuk melakukan pelbagai lakuan motor dengan serentak, licin dan tepat. Biasanya semakin kompleks corak pergerakan, semakin tinggi darjah kordinasi yang diperlukan untuk menjayakan sesuatu lakuan. Kordinasi saling berkaitan dengan lain-lain komponen kecergasan motor seperti keseimbangan, kepantasan, masa reaksi dan ketangkasan tetapi tidak berkait rapat dengan kekuatan otot, dayatahan dan kuasa
Menurut Ahmad Hashim (2004), terdapat hubungan yang kuat dan signifikan di antara keupayaan lari ulang alik, lari pecut 30 ela, pergerakan asas lokomotor dan lompat jauh berdiri dengan kordinasi badan. Biasanya pelajar yang memiliki tahap kordinasi yang lemah akan mengelakkan diri daripada melibatkan diri dalam aktiviti kemahiran motor. Ujian yang selalu digunakan oleh penyelidik-penyelidik terdahulu bagi mengukur kordinasi adalah ujian melontar bola keranjang, melontar bola softball, mengelecek bola keranjang, mengawal dan mengelecek bola keranjang.
Pengukuran Imbangan
Menurut Ahmad Hashim (2004), imbangan adalah keupayaan mengekalkan keseimbangan badan mengatasi daya tarikan graviti. Imbangann adalah komponen penting bagi tindak balas motor yang berkesan. Dalam sesetengah kedudukan, keseimbangan juga dipengaruhi oleh kekuatan badan. Jika otot yang menyokong tidak mampu menanggung berat badan atau sebahagian badan maka keseimbangan akan menjadi terhad. Keseimbangan statik ialah keupayaan untuk mengekalkan keseimbangan ketika kedudukan badan berada dalam keadaan tetap dan tidak berubah. Bagi mengekalkan keseimbangan statik, pusat graviti mestilah berada di atas tapak sokongan.
Keseimbangan statik mempunyai hubungan ke atas setiap satu lakuan dalam semua ujian kemahiran asas motor yang diuji seperti berlari, melompat, menangkap, melontar, memukul dan menendang. Jenis ujian yang digunakan oleh penyelidik-penyelidik terdahulu bagi mengukur keseimbangan statik ialah ujian dirian bangau, ujian kayu bass menegak dan ujian kayu bass melintang.
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran Kepantasan
Pengukuran Kepantasan
Kepantasan pergerakan dan kepantasan reaksi adalah merupakan dua angkubah yang terpenting dalam lakuan motor. Kedua-dua angkubah ini dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan atlet dalam semua acara sukan. Lazimnya dalam pengujian dan penilaian mengenai kepantasan, komponen-komponen lakuan motor berikut diambil kira iaitu masa reaksi, masa pergerakan dan masa gerakbalas.
Pada 1930 seorang lagi pakar Pendidikan Jasmani, Jensen & Hirst telah membahagikan kepantasan kepada tiga komponen iaitu :
i. Kepantasan pergerakan segmen badan iaitu pergerakan bahagian tubuh badan khususnya kepala, tangan dan kaki.
ii. Kepantasan lari pecut iaitu keupayaan seseorang meningkatkan kadar pecutan dalam jarak singkat.
iii. Kepantasan halaju larian maksimum iaitu halaju maksimum yang dapat dicapai dalam larian lebih jauh.
Seseorang altet yang dapat menguasai ketiga-tiga komponen ini mempunyai kelebihan dalam sukan dan permainan.
Johnson & Nelson (1986), pula mendefinisikan kepantasan sebagai kadar di mana seseorang boleh menggerakkan anggota badan atau sebahagian anggota badan di antara dua titik. Menurut Corbin & Lindsey (1994), kepantasan sebagai keupayaan untuk melakukan pergerakan dalam masa yang singkat.
Bagi menjelaskan perkaitan hubungan kepantasan dan ketepatan, ‘Hukum Fitts’ menerangkan pertama, masa pergerakan akan meningkat hanya sedikit apabila jarak pergerakan bertambah. Kedua, masa pergerakan meningkat semasa tumpuan ketepatan bertambah iaitu target mengecil. Ini bermakna masa pergerakan akan bertambah secara sistematik dengan dipengaruhi oleh kedua-dua faktor di atas.
Hukum Fitts dirumuskan seperti Jadual 1.1 :
Jadual 1.1
Hukum Fitts
|
Mengikut Kreighbaum & Barthels (1990), kepantasan didefinisikan sebagai sepantas mana anggota badan bergerak. Kepantasan pada dasarnya adalah hasil tindakan daya ke atas jasad yang cukup untuk menggerakkan jasad. Kepantasan biasanya melibatkan pergerakan pada kadar yang tetap setelah mengatasai daya rintangan. Terdapat dua komponen daya rintangan atau yang bertindak ke atas tubuh badan manusia iaitu :
i. Daya positif
ii. Daya negatif
Daya positif membantu pergerakan melalui kontraksi otot. Daya negatif pula bergantung kepada sifat aktiviti. Oleh itu, kepantasan dapat ditingkatkan dengan memperbaiki faktor positif melalui latihan kekuatan. Ia juga boleh ditingkatkan dengan cara meminimumkan faktor negatif iaitu meningkatan koordinasi neuromuskular dan kelembutan bertujuan mengurangkan daya tarikan graviti serta nyah-pecutan anggota badan.
Antara ujian yang lazim digunakan bagi mengukur kepantasan adalah lari pecut 4 saat, lari pecut 6 saat, lari pecut 50 ela , lari pecut 30 meter, lari pecut 8 saat dan lari landas 20 ela.
Monday, February 14, 2011
KEBOLEHPERCAYAAN DAN KESAHAN BATERI UJIAN KECERGASAN MOTOR
KEBOLEHPERCAYAAN DAN KESAHAN BATERI UJIAN KECERGASAN MOTOR
NORKHALID BIN SALIMIN
KSS 6006 KERTAS PROJEK DIKEMUKAKAN BAGI
MEMENUHI SYARAT UNTUK MEMPEROLEHI
IJAZAH SARJANA PENDIDIKAN
FAKULTI SAINS SUKAN
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
2005
ABSTRACT
This research is to see the value of reliability and validity batteries of motor fitness test of 14 years old students. For reliability batteries of motor fitness test the population is form two student aged 14 of Sek Men Keb Redang Panjang, Batu Kurau, Perak. 100 subjects involved which include 50 boys and 50 girls. The subjects underwent motor fitness test procedures twice which is the pre test and post test. There are six types of test in the batteries of motor fitness test which are the 50 yard speed test, basketball throw test, bass stick test (crosswise), shuttle run, Nelson choice-response movement test and standing broad jump test. Using co-relation of Pearson product moment, the finding shows that there are highly positive relation and significant difference between the pre test score and the post test score for the boys (r = 0.813, p 0.000, p < 0.05). The girls also show the same finding (r = 0.836, p 0.000, p < 0.05). This shows that there is a significant relation of motor fitness test score between boys and the girls for both pre test and post test of the students of 14 years old. As for validity batteries of motor fitness test, the population is 60 students with 15 boys and 15 girls from Sekolah Sukan Bukit Jalil and 15 boys and 15 girls from Sek Men Keb Redang Panjang. Each subjects underwent motor fitness test procedures. There are six types of test which are the 50 yard speed test, basketball throw test, bass stick test (crosswise), shuttle run, Nelson choice-response movement test and standing broad jump test. Independent sample t-test is used to compare mean score of the motor fitness test between students of Sekolah Sukan Bukit Jalil and students of Sek Men Keb Redang Panjang. The test shows that the t value (58)=.030, p=0.98 is not significant. This shows that there is no significant relation of motor fitness test score of Sekolah Sukan Bukit Jalil and Sek Men Keb Redang Panjang.
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Kemahiran motor asas merupakan aspek penting yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh setiap individu untuk mempertingkatkan prestasi lakuan motor. Kebolehan dalam menguasai kemahiran asas motor bermula daripada keupayaan semulajadi yang ada pada diri individu. Dengan kata lain, penguasaan kemahiran motor bermula sebaik sahaja bayi dilahirkan sehinggalah dewasa. Kadar pembelajaran kemahiran asas motor turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran selain pengaruh semulajadi dan bakat yang sedia ada.
Kemahiran motor pada dasarnya melibatkan perkembangan ‘neuromuscular’ dan mempunyai implikasi yang tersendiri terhadap kemahiran sukan. Semakin kompleks kemahiran yang dikuasai, semakin banyak masa yang diperlukan untuk penguasaan kemahiran tersebut.
Kemahiran asas bagi mengukur prestasi kemahiran motor dalam Pendidikan Jasmani boleh dinilai setelah mengenal pasti ujian. Kecergasan motor ini terbahagi kepada tiga komponen di mana kemampuan seseorang individu yang ditunjukkan melalui prestasi kemahiran asas lokomotor, bukan lokomotor dan manipulatif atau potensi kecekapan pergerakan seseorang. Apabila ketiga-tiga komponen ini telah dikuasai maka keupayaan seseorang individu menguasai kemahiran motor terarah kepada yang lebih kompleks di mana ia melibatkan komponen seperti koordinasi, keseimbangan, ketangkasan, kuasa, masa reaksi dan kepantasan.
Persepsi dan pergerakan yang melibatkan koordinasi sangat penting bagi setiap kanak-kanak kerana pada pertumbuhan selanjutnya, kemahiran motor asas akan menjadi program motor. Dalam pembelajaran kemahiran motor, penekanan pada rangsangan dan galakan harus diberi. Ansur maju sesuatu kemahiran harus dititikberatkan dari peringkat kemahiran asas supaya kanak-kanak boleh membuat latih tubi yang sesuai dengan keupayaan generik. Oleh itu dalam melahirkan ahli sukan yang bertaraf olimpik dan dunia maka kemahiran asas motor merupakan elemen yang perlu diberikan perhatian serius pada peringkat awal.
Menurut Barrow dan McGee (1979) lakuan motor adalah suatu pencapaian dan kebolehan semulajadi yang melibatkan aktiviti kemahiran tahap tinggi. Walau bagaimanapun lakuan motor amat berkait rapat dengan keupayaan pembelajaran dan kemahiran motor. Peringkat pembelajaran, kepelbagaian serta frekuensi latihan yang dijalankan dalam jangkamasa yang tertentu mempengaruhi peningkatan sesuatu kemahiran motor. Prestasi motor pula dapat ditingkatkan apabila sesuatu kemahiran telah dikuasai secara berterusan yang mana pembelajaran adalah merupakan proses perubahan tingkahlaku yang dapat dilihat.
Menurut Magill (1993), kemahiran motor merupakan satu aksi atau tugasan yang mempunyai matlamat dan memerlukan pergerakan voluntari anggota badan untuk mencapai matlamat tersebut. Satu ciri kemahiran motor yang penting dari perspektif pembelajaran dan kawalan motor ialah kemahiran mempunyai maksud yang sama dengan aksi kerana aksi dilihat sebagai respon yang berdasarkan matlamat yang melibatkan pergerakan badan atau anggota badan. Kemahiran motor merupakan petunjuk kepada lakuan yang kualitatif. Ini bermakna kemahiran boleh dinilai secara kualitatif dengan merujuk kepada darjah kecekapan dan tahap konsistensi lakuan. Individu yang berkemahiran tinggi dalam lakuan motor mempunyai ciri-ciri berikut :
i. ketepatan dari segi lakuan dan masa.
ii. kepantasan.
iii. keseimbangan semasa perlaksanaan lakuan dan ketika perubahan dalam aktiviti fisiologi dan mental.
iv. adaptasi.
Kemahiran motor mempunyai hubungan yang rapat dengan keupayaan, pembelajaran dan perlakuan motor. Peningkatan dalam sesuatu kemahiran motor adalah dipengaruhi oleh tahap pembelajaran. Kepelbagaian serta frekuensi latihan yang dijalankan dalam jangkamasa tertentu. Untuk meningkatakan prestasi pula, kemahiran hendaklah dikuasai secara berterusan di mana pembelajaran merupakan faktor perubahan tingkahlaku.
Keupayaan atau kebolehan sering digunakan dalam perlakuan kemahiran motor. Pakar Pendidikan Jasmani, Fleishman telah memberi sumbangan yang besar dalam kefahaman tentang hubungan antara keupayaan manusia dengan perlakuan kemahiran motor. Beliau mendefinisikan keupayaan sebagai kapisiti am seseorang individu yang dikaitkan dengan perlakuan pelbagai kemahiran atau tugasan, misalnya dalam konteks sukan, keupayaan kelajuan pergerakan dilihat sebagai satu komponen penting dalam memperlakukan pelbagai kemahiran dalam sukan hoki, sepaktakraw, tenis, olahraga dan sebagainya. Oleh itu, keupayaan motor adalah satu tret am atau kapisiti seseorang individu yang dikaitkan dengan perlakuan pelbagai kemahiran motor.
Perlakuan merupakan tingkahlaku yang boleh diperhatikan. Dari segi kemahiran motor, perlakuan adalah apa yang dilihat semasa individu itu cuba melakukan sesuatu kemahiran. Setiap percubaan untuk melakukan sebarang kemahiran adalah satu perlakuan. Sebaliknya pembelajaran merupakan fenomena dalaman yang tidak dapat diperhatikan secara langsung. Pembelajaran hanya boleh dibuktikan melalui pemerhatian ke atas perlakuan seseorang individu. Pembelajaran berlaku apabila terdapat perlakuan yang menunjukkan kepada ciri-ciri berikut :
i. kemajuan yang berterusan dalam perlakuan.
ii. perlakuan menjadi semakin konsisten.
Berdasarkan kepada ciri-ciri di atas, pembelajaran boleh didefinisikan sebagai perubahan dalam kapisiti seseorang individu untuk melakukan sesuatu kemahiran yang disimpulkan daripada kemajuan yang kekal dalam perlakuan hasil daripada praktis dan pengalaman.
Menurut Bernstein (1969), perlakuan motor adalah kecekapan hasil daripada interaksi sistem biologi dengan keupayaan organisme dalam mengadaptasi ciri-ciri persekitaran kemahiran motor untuk menghasilkan pergerakan serta mengawal kestabilan yang dipengaruhi oleh daya ekstrinsik yang bersifat dinamik serta daya graviti, inersia dan geseran.
Pada lewat tahun 1950an dan 1960an satu perubahan dramatik terhadap pengukuran kecergasan motor telah dicetuskan oleh Henry. Beliau mencadangkan satu teori pembelajaran dan perlakuan motor yang dipanggil teori gelendong ingatan memory-drum theory. Teori ini menjelaskan bahawa kecergasan motor adalah spesifik kepada sesuatu perlakuan berbanding dengan perlakuan umum dalam kebanyakan aktiviti kecergasan motor. Dengan kata lain, prestasi seseorang individu dalam sesuatu kemahiran motor tidak boleh digunakan bagi menjangkakan prestasi ke atas lakuan motor yang lain. Berdasarkan teori ini, bilangan kecergasan motor adalah terlalu banyak dan pengamal teori ini percaya bahawa kecergasan motor bersifat tidak bersandar. Mengikut teori tersebut, setiap lakuan atau kemahiran motor yang dipersembahkan adalah bergantung kepada sejumlah besar bilangan keupayaan yang dimiliki. Apabila lakuan bertukar, maka keupayaan yang dimiliki bagi menyokong lakuan tersebut sudah semestinya bertukar menurut permintaan lakuan motor yang baru.
Barrow & McGee (1979) mentarifkan perlakuan motor sebagai suatu pencapaian dan keupayaan semulajadi seseorang individu. Keupayaan yang dimaksudkan adalah kemahiran motor am yang tidak melibatkan aktiviti motor tahap tinggi.
Corbin & Lindsey (1994), pengukuran kecergasan motor melibatkan pengukuran ujian kepantasan, ketangkasan, keseimbangan, koordinasi, kuasa dan masa reaksi.
Saturday, February 12, 2011
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Tujuan Ujian, Pengukuran Dan Penilaian
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Tujuan Ujian, Pengukuran Dan Penilaian
Menurut Baumgartner & Jackson, 1999, Ahmad Hashim, 2004, Marrow et. al., 2005, Miller, 2006, terdapat tujuh tujuan ujian, pengukuran dan penilaian dalan PJ iaitu:
i. Menempatkan pelajar
Ujian boleh digunakan bagi menempatkan pelajar dalam kumpulan mengikut keupayaan masing-masing. Biasanya pelajar akan lebih selesa apabila melakukan sesuatu kemahiran sukan bersama kumpulan yang mempunyai kebolehan dan keupayaan yang hampir sama.
ii. Diagnosis
Penilaian terhadap keputusan ujian biasanya digunakan untuk menentukan kelemahan atau kekurangan pelajar dalam sesuatu kemahiran sukan. Ujian juga boleh mengenal pasti komponen-komponen tertentu dalam kecergasan fizikal yang telah menunjukkan peningkatan kesan daripada latihan dan pengajaran.
iii. Motivasi
Proses pengukuran dan penilaian jika dijalankan dengan betul, mampu meningkatkan motivasi pelajar. Biasanya pelajar ingin mengetahui tahap prestasi kecergasan motor, kecergasan fizikal dan kemahiran sukan. Keputusan yang diperolehi dapat digunakan untuk menilai pencapaian mereka berbanding dengan rakan yang lain.
iv. Membuat jangkaan
Keputusan ujian boleh digunakan untuk menjangkakan tahap prestasi pencapaian pelajar dalam aktiviti sukan yang mempunyai potensi masa hadapan. Ujian kemahiran permainan digunakan bagi mengenal pasti pelajar yang berpotensi dalam aktiviti sukan dan permainan tertentu.
v. Penilaian prestasi
Pengukuran dan penilaian dijalankan bagi menentukan prestasi pencapaian pelajar dan objektif p & p. Guru perlu mengetahui tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu kemahiran bagi menilai keberkesanan pengajarannya. Pencapaian selalunya digunakan untuk menentukan gred dalam PJ dan guru dapat membahagikan pelajar yang mempunyai tahap pencapaian kemahiran yang hampir sama dalam satu kumpulan. Kaedah ini mampu meningkatkan p & p guru.
vi. Penilaian program
Pengukuran dan penilaian dilakukan ke atas pelajar bagi menilai sejauh manakah objektif p & p yang terkandung dalam mata pelajaran PJ sudah tercapai. Menilai sama ada guru berjaya menguasai kandungan pengetahuan pedagogi dalam pengajarannya. Bagi mengetahui keberkesanan sesuatu program pengajaran, guru boleh membandingkan keputusan ujian pelajarnya dengan skor ujian pelajar bagi kelas yang diajar oleh guru PJ yang lain dalam sekolahnya.
vii. Membina norma dan skala skor
Data yang dihasilkan melalui proses pengukuran dapat digunakan untuk membentuk norma ujian dan skala skor atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun faktor kesahan, kebolehpercayaan ujian, jantina, tingkatan dan umur pelajar perlu diambilkira semasa menjalankan ujian.
Menurut Ahmad Hashim (2004), terdapat sembilan prinsip pengujian, pengukuran dan penilaian dalam PJ iaitu (i) lebih berkesan jika ia dapat dilakukan dengan penuh bermakna; (ii) seharusnya mempunyai perkaitan terus dengan matlamat dan objektif PJ: (iii) seharusnya digunakan untuk meningkatkan kualiti p & p PJ: (iv) teknik pengukuran dan penilaian yang digunakan adalah bersifat objektif dan subjektif: (v) guru PJ perlu bersifat profesional: (vi) berikan arahan dan latihan terlebih dahulu sebelum menjalankan ujian: (vii) ujian sepatutnya dijalankan oleh guru PJ yang telah terlatih: (viii) mentafsirkan maklumat hasil daripada pengukuran berdasarkan piawai rujukan kriteria dan piawai rujukan norma; dan (ix) menggunakan bentuk penilaian formatif dan sumatif.
Wednesday, February 9, 2011
Pendidikan Jasmani Di Malaysia : Penilaian dan Pentaksiran Satu Proses Berterusan
Pendidikan Jasmani : Penilaian dan Pentaksiran Satu Proses Berterusan
Penilaian adalah proses mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Penilaian merupakan sebahagian daripada proses p & p yang dijalankan secara berterusan. Penilaian PJPK dirancang dan dikendalikan oleh guru di peringkat sekolah. Instrumen penilaian dibina dan ditadbir oleh guru. Penilaian boleh dibuat secara pemerhatian, penulisan dan lisan. Hasil penilaian digunakan untuk tindakan susulan bagi meningkatkan pembelajaran murid dan memperbaiki pengajaran guru. Pelaporan perlu dibuat kepada murid, ibubapa dan guru lain.
Di dalam kandungan sukatan pelajaran PJPK (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1999) terdapat tiga tujang utama iaitu tunjang kecergasan, tunjang kemahiran dan tunjang kesukanan.
Di dalam tunjang kecergasan terdapat 12 tajuk yang perlu dikuasai oleh murid dari tahap 1 sekolah rendah, tahap 2 sekolah rendah dan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di sekolah menengah. Antara tajuk di dalam tunjang ini adalah :
(a) Kecergasan berlandaskan kesihatan
i. Dayatahan kardiovaskular
ii. Dayatahan otot
iii. Kekuatan
iv. Kelenturan
v. Komposisi badan
(b) Kecergasan berlandaskan perlakuan motor
i. Kordinasi
ii. Imbangan
iii. Ketangkasan
iv. Kuasa
v. Masa tindakbalas
vi. Kepantasan
(c) Konsep, definisi, prinsip dan kaedah latihan
Di dalam tunjang kemahiran pula terdapat 7 tajuk yang murid perlu kuasai antaranya :
(a) Pergerakan asas
(b) Permainan
(c) Olahraga
(d) Gimnastik
(e) Pergerakan kreatif
(f) Rekreasi
(g) Kesengangan
Manakala tunjang kesukanan pula antaranya :
(a) Keselamatan
(b) Pengurusan
(c) Kerjaya
(d) Isu Pendidikan Jasmani dan Sukan
(e) Etika
Jumlah waktu yang diperuntukkan bagi matapelajaran PJPK setahun di sekolah adalah mengikut jadual 1.1 :
Jadual 1.1
Pecahan waktu mengajar bagi matapelajaran PJPK setahun
Kelas | Waktu |
Tahun 1 | 84 |
Tahun 2 | 84 |
Tahun 3 | 84 |
Tahun 4 | 60 |
Tahun 5 | 60 |
Tahun 6 | 60 |
Tingkatan 1 | 60 |
Tingkatan 2 | 60 |
Tingkatan 3 | 60 |
Tingkatan 4 | 60 |
Tingkatan 5 | 60 |
Kita seringkali mendengar ungkapan pendidikan yang terlalu memberi penekanan kepada peperiksaan atau exam oriented yang dikatakan kurang baik. Kita disarankan supaya lebih memberi tumpuan kepada pentaksiran yang holistik. Apa itu peperiksaan dan apa itu pentaksiran. Apa pula yang dimaksudkan dengan penilaian? Apakah perbezaan antara istilah-istilah tersebut?
Menurut David Payne (2003), pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat. Daripada pengertian pentaksiran di atas, beliau menyarankan:
Pentaksiran = Pengukuran + Penilaian
Untuk mendapatkan maklumat tentang pembelajaran murid, kita boleh mengguna proses pengukuran, penilaian atau pentaksiran. Pengukuran ialah proses mendapatkan maklumat dengan cara mengukur menggunakan instrumen sebelum ukuran itu dapat dinilai atau diinterpretasikan. Bhasah (2006), pengukuran merupakan umpukan atau pemberian angka-angka atau nombor kepada sesuatu objek atau perkara mengikut set peraturan yang telah ditetapkan. Proses pengukuran berakhir dengan maklumat berbentuk kuantitatif seperti markah mentah, peratus markah mentah, persentil (peratusan kedudukan seseorang berbanding kedudukan orang lain), agregat dan pangkat atau band. Ukuran di atas boleh didapati sama ada dengan menggunakan instrumen atau pun tidak. Instrumen atau alat pengukuran pendidikan yang biasa digunakan ialah ujian, soal selidik (questionnaire), kuiz dan senarai semak (check list).
Tanpa instrumen, ukuran diperoleh dengan cara taksiran, anggaran, agakan, ta’kulan dan pemerhatian. Sebagai analogi, ukuran atau maklumat tentang berat seorang kanak-kanak Tahun Satu di Malaysia tanpa mengguna penimbang.
Begitu juga seorang guru boleh mengetahui ukuran atau maklumat tentang sejauh mana muridnya menguasai apa yang dipelajari, tanpa menjalankan ujian, dengan cara di atas. Walau bagaimanapun, ukuran yang diperoleh tanpa mengguna instrumen tentunya kurang tepat dan kurang boleh dipercayai kerana seringkali berubah-ubah mengikut masa, mengikut orang yang mentaksir dan mengikut keadaan.
Penilaian merupakan satu pertimbangan atau pembuatan keputusan tentang merit atau nilai sesuata perkara atau benda, Bashah (2006). Gay (1985) menyatakan penilaian adalah satu proses yang sistematik dalam pengumpulan dan analisa data untuk menentukan sama ada sesuatu objektif itu telah tercapai atau belum untuk membolehkan sesuatu pertimbangan atau keputusan dibuat. Penilaian merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sesuatu diikuti dengan proses memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat itu. Misalnya, pernyataan ”Ahmad mendapat markah 90% dalam ujian Matematik, oleh itu dia adalah seorang murid yang cemerlang dalam mata pelajaran itu”, merupakan penilaian atau interpretasi tentang ukuran atau maklumat.
Tidak seperti pengukuran, maklumat yang diperoleh daripada penilaian boleh jadi berbentuk kuantitatif atau kualitatif. Maklumat kualitatif dalam penilaian adalah seperti ”Baik”, ”Cemerlang”, ”Menguasai tahap pencapaian minimum” dan ”Boleh membaca dengan kefahaman yang tinggi”. Perhatikan bahawa maklumat kualitatif dalam penilaian boleh jadi nilaian atau interpretasi kepada maklumat kuantitatif.
Proses penilaian berhenti setakat memberi nilai atau interpretasi tanpa membuat keputusan seperti ”layak memasuki aliran Sains”. Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat, proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan dipanggil pentaksiran. Dalam pendidikan, proses mengumpul maklumat, memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat dan membuat keputusan boleh berlaku secara formal atau tidak formal. Ketiga-tiga proses di atas berlaku secara timbal balik dan sepadu antara satu sama lain dan sepadu dengan proses pengajaran-pembelajaran.
Pengertian istilah pentaksiran atau assessment yang berasal daripada perkataan Greek ”Assidere” iaitu bermaksud ”Duduk di sisi” seperti dinyatakan di atas sesuai dengan apa yang dilakukan oleh ibu bapa dalam mengajar Al-Quran dalam tradisi pendidikan orang Melayu. Proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balik dan sepadu di mana sambil mengajar anaknya mengaji Quran, seorang ibu membuat pentaksiran secara tak formal kerana dia tahu adakah anaknya telah menguasai apa yang dipelajari atau belum dan dia tahu sama ada anaknya perlu mengulang balik atau meningkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Di samping itu, si ibu akan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang holistik sifatnya semasa proses tersebut berjalan. Dalam hal ini si ibu tidak perlu pun mengadakan ujian atau peperiksaan yang formal tetapi dia tetap dikatakan mendidik menggunakan proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran yang sepadu.
Jika pentaksiran merupakan proses, peperiksaan pula merupakan salah satu kaedah, sistem atau mekanisma yang digunakan dalam proses pentaksiran. Sesuatu peperiksaan selalunya mengandungi beberapa siri ujian yang terancang untuk mendapatkan ukuran tentang sejauh mana proses pengajaran-pembelajaran berkesan. Ujian-ujian yang terdapat dalam sesuatu sistem peperiksaan boleh jadi ujian bertulis, ujian amali, ujian lisan, ujian pendengaran dan ujian berkomputer. Dengan ciri yang sedemikian, peperiksaan selalunya hanya sesuai diguna untuk mentaksir domain kognitif atau kebolehan mental seseorang. Dua domain yang lain iaitu afektif dan psikomotor kurang sesuai ditaksir menggunakan kaedah peperiksaan.
Oleh hal yang demikian, peperiksaan selalu dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan. Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri, kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial sukar atau tidak mungkin dapat ditaksir sepenuhnya menggunakan peperiksaan.
Peperiksaan juga seringkali dikaitkan dengan pentaksiran standard, berpusat, luaran, sumatif dan dikendalikan oleh badan peperiksaan. Kekangan ini jugalah yang menyebabkan hal-hal yang sebutkan di atas sukar atau tidak dapat dilakukan dengan kaedah peperiksaan. Hal-hal tersebut lebih sesuai dilakukan melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran dalaman, pentaksiran formatif, pentaksiran alternatif, pentaksiran prestasi dan pentaksiran autentik.
Peperiksaan dikatakan menyebabkan anak-anak belajar dan guru-guru mengajar tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Murid-murid dikatakan belajar dan guru-guru mengajar tidak mengikut kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Hal ini diperhatikan daripada fenomena murid Tahun Enam sekolah rendah yang tidak lagi belajar seawal bulan Julai kerana murid-murid perlu diberi persediaan untuk menduduki peperiksaan UPSR. Mereka akan diberi latih tubi menjawab soalan peperiksaan dan dikehendaki menduduki peperiksaan percubaan lebih daripada sekali (ada yang sehingga empat kali).
Ibubapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Anak yang gagal mendapat A dalam mata pelajaran tertentu dikatakan gagal dalam pembelajarannya. Sekolah yang prestasinya dalam sesuatu peperiksaan merosot berbanding prestasi tahun sebelumnya, walau pun hanya 0.1%, merasa tertekan kerana prestasi guru dan pentadbir sekolah dianggap merosot.
Wajarkah tindakan di atas berlaku dalam sistem pendidikan kita? Jika kita menganggap tidak wajar, maka wajarkah pula kita memansuhkan peperiksaan berpusat seperti UPSR, PMR dan SPM serta mencadangkan pentaksiran berasaskan sekolah sahaja? Rata-rata peserta Seminar Sistem Pentaksiran Kebangsaan yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat pendidik, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan serta parti politik tidak bersetuju ketiga-tiga peperiksaan itu dimansuhkan. Mereka sepakat menyatakan bahawa peperiksaan perlu ada dan menganggap penekanan kepada peperiksaan (exam oriented) hanya merupakan persepsi masyarakat. Jika kita dapat memberi penekanan yang sama kepada pentaksiran dalam aspek ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan nilai-nilai murni melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran alternatif, pentaksiran autentik, pentaksiran prestasi, pentaksiran formatif dan pentaksiran untuk pembelajaran, dengan sendirinya persepsi tersebut dapat dicairkan.
PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
Guru memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, melaksanakan penilaian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan. Penilaian yang dirancang oleh guru di peringkat sekolah ini dikenali sebagai PBS.
Melalui aktiviti penilaian guru dapat memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Untuk mencapai hasrat ini penilaian di sekolah haruslah memberi penekanan kepada konsep penilaian berterusan terhadap perkembangan bagi kesemua aspek tersebut. PBS lebih bersifat formatif iaitu mengutamakan kemajuan setiap murid dari satu peringkat ke satu peringkat. Guru dapat membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan murid dari semasa ke semasa. Ini memberi peluang kepada guru untuk membetulkan kesilapan dan memperbaiki kelemahan murid serta-merta supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun. Di samping itu guru dapat mengenal pasti kelemahan dan memperkembangkan lagi kekuatan serta potensi murid.
Terdapat dua jenis penilaian di sekolah iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif.
Penilaian formatif
Penilaian dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang diperoleh dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai. Oleh itu, guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang murid dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.
Penilaian sumatif
Penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir semester atau tahun. Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan.
PERKAITAN ANTARA PBS DAN PENILAIAN BERPUSAT
PBS dirancang dan dilaksanakan oleh guru secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian. Maklumat tentang perkembangan murid yang diperoleh dari semasa ke semasa melalui penilaian berterusan dapat membantu guru mengambil tindakan susulan yang sewajarnya jika perlu. PBS boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat.
Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR dan SPM dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara. PBS dan penilaian berpusat saling melengkapi dalam sistem penilaian.
PBS dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran tentang kemajuan pembelajaran murid di samping memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru.
Melalui PBS, guru dapat :
1. mengesan perkembangan murid secara menyeluruh;
2. mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran lebih awal dari semasa kesemasa;
3. mengetahui keberkesanan pengajarannya;
4. merancang dan mengubahsuai pengajarannya; dan
5. menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta.
CIRI-CIRI PBS
PBS yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya. Di samping itu kekuatan murid yang telah menguasai pula diperkukuh dan diperkaya. Melalui aktiviti tindakan susulan yang berkesan guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian di peringkat pusat.
PBS dilaksanakan berasaskan beberapa ciri yang utama seperti berikut:
Dikendalikan oleh guru • menilai muridnya sendiri | Berasaskan Kriteria • menilai penguasaan murid berdasarkan hasil pembelajaran yang telah ditentukan |
Formatif • dijalankan berterusan • mengesan perkembangan,kemajuan dan pencapaian murid | Pelbagai kaedah • pemerhatian • lisan • penulisan |
Mengesan Perkembangan Pembelajaran Secara Menyeluruh • intelek • rohani • emosi • jasmani | Menekankan Perkembangan Individu • berdasarkan kemampuan individu dan bukan untuk perbandingan antara individu |
Bersistem • merancang • menentukan instrumen • melaksana • menganalisis • merekod • melapor • tindakan susulan | Menggalakkan Penilaian Kendiri • melatih murid menilai kemajuan sendiri secara berterusan • guru mendapat maklumat tambahan |
Membolehkan Tindakan Susulan • mengatasi kelemahan • mempertingkatkan kekuatan pembelajaran |
ASPEK YANG DINILAI
Melalui PBS murid dinilai dalam pelbagai aspek yang meliputi pelbagai kecerdasan serta perkembangan emosi dan sahsiah murid.
Aspek | Contoh |
daya kreatif | mereka cipta melukis bermain alat muzik |
kemahiran proses sains | Memerhati membuat inferen menganalisis maklumat |
perlakuan dan amalan nilai murni | Membantu berdikari bertanggungjawab |
sikap | bersemangat untuk belajar gigih bekerja ingin tahu |
kesihatan dan kecergasan | sihat, cergas dan aktif menjaga kebersihan diri dan keselamatan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti |
kemahiran kinestetik | Bersukan bergerak secara kreatif bergerak mengikut rangsangan |
bakat dan minat | kesungguhan membuat sesuatu kelebihan dalam sesuatu bidang kecenderungan kepada sesuatu |
Pendidikan Jasmani dakn Kesihatan adalah merupakan matapelajaran wajib yang perlu di ajar kepada semua pelajar-pelajar di seklah rendah dan di sekolah menegah. Akhir-akhir ini, masyarakat, khususnya golongan ibubapa melihat matapelajaran ini semakin tidak penting disebabkan matapelajaran ini tidak termasuk dalam peperiksaan awam seperti STPM, SPM, PMR dan juga UPSR. Oleh itu, matapelajaran ini perlu direfomasikan dengan mengubah cara kita menilai pencapaian anak-anak kita di dalam pembelajaran sesuai dengan perkembangan dan kehendak dunia, dengan mengubah penekanan dalam peperiksaan awam daripada terlalu berasaskan kandungan (content based) kepada yang lebih berasaskan kemahiran (skill based) atau daripada yang bersifat ujian pencapaian (achievement test) kepada yang bersifat ujian kebolehan am (general ability test)
Persoalannya adakah kita mampu mencari satu kaedah pentaksiran yang mampu menggalakkan pembinaan karakter dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran, misalnya dengan memperbanyakkan pendekatan pengurusan projek. Jika ini diperbanyakkan maka kaedah penilaian dan pentaksiran yang bersesuaian untuk menilai pencapaian pelajar juga perlu dirangka. Seterusnya mengubah sistem pendidikan kita dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan (exam-oriented) dan zaman persekolahan akan kehilangan nilai pendidikan serta nilai kemanusiaannya.
Oleh itu, dengan pentaksiran berasaskan sekolah, semua bentuk pentaksiran yang lebih bersifat alternatif dan autentik seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan, aktiviti jasmani, ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh dilaksanakan. Bagaimanapun dalam hal ini, guru besar dan pengetua perlu diberi pengiktirafan dan sedikit autonomi untuk mengesahkan laporan yang dikeluarkan oleh sekolah.
Subscribe to:
Posts (Atom)