Thursday, February 24, 2011

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran Ketangkasan


Pengukuran Ketangkasan


Menurut Annarino (1976), ketangkasan merupakan salah satu unsur dalam faktor fisiomotor yang diperolehi daripada tindakan sistem saraf ke atas sistem otot dengan reaksi otot yang betul untuk menghasilkan pergerakan  yang diingini. Maka keadaan ini mestilah dilakukan pada darjah ketepatan dan penggunaan daya yang sesuai.
Manakala menurut Safrit (1973), Clarke (1976), Mathews (1978), Baumgartner & Jackson (1999), ketangkasan adalah kemampuan mengubah kedudukan badan dan arah secara pantas. Barrow & McGee (1979), Philips & Hornak (1979) serta Thomas & Nelson (1985) pula mendefinisikan  ketangkasan sebagai  merujuk kepada  kepantasan dan ketepatan semasa mengubah arah pergerakan sebahagian atau keseluruhan badan. Johnson dan Nelson (1986) juga menyatakan ketangkasan merupakan kebolehan fizikal seseorang yang dapat mengubah kedudukan badan dan arah secara tepat dan cepat. Sifat ketangkasan bukan sahaja melibatkan kepantasan tetapi juga termasuk  kebolehan badan membuat perubahan pergerakan atau arah pergerakan secara tiba-tiba (Hunsicker, 1974).
Keberkesanan ketangkasan dapat dilihat apabila ia digabungkan dengan faktor-faktor kecergasan lain. Annarino (1976) berpendapat bahawa kebolehan dan keberkesanan ketangkasan melibatkan faktor masa reaksi dan masa pergerakan yang mana ia dikaitkan dengan kelajuan dan ketepatan tentang reaksi satu kumpulan otot tertentu untuk bertindakbalas ke atas sebarang aktiviti lakuan motor.
Barrow dan McGee (1979)  menyatakan keberkesanan ketangkasan dapat dipertingkatkan dengan gabungan  aspek-aspek kekuatan, dayatahan otot, kepantasan, deria kinestetik dan koordinasi. Faktor kekuatan dan dayatahan otot boleh meningkatkan kepantasan, maka secara tidak langsung faktor tersebut boleh mempengaruhi keberkesanan ketangkasan. Seseorang boleh bertindak lebih tangkas dengan mengubahsuaikan darjah ketepatan dan konsistensi bagi kedudukan badan atau bahagian badan tertentu semasa bergerak dalam ruang. Selain itu, faktor kordinasi yang baik dapat dihubungkaitkan dengan ciri semulajadi sesuatu pergerakan. Faktor kordinasi dapat meningkatkan lagi keberkesanan faktor ketangkasan.
Faktor-faktor lain yang mempengaruhi ketangkasan terdiri daripada faktor umur, tahap kematangan, saiz badan, jenis bentuk badan, pemakanan dan persekitaran (Clarke, 1976).
Ujian kecergasan motor yang biasa digunakan bagi mengukur tahap kecergasan motor adalah ujian lari ulang alik 30 kaki , ujian ketangkasan SEMO , ujian lompat kuadran, ujian lari zig-zag  dan lompat menegak . Ujian ketangkasan lazimnya mempunyai tiga komponen iaitu pertukaran dalam arah larian, perubahan dalam kedudukan badan dan pertukaran arah sebahagian badan.

3 comments:

  1. MEMANG X LEH COPY KER???ILMU YG BERMAKNA..TPI HANYA DPT LIHAT....APA SALAH NYA SHARE ILMU NI.... KASIHAN PD KAMU KHALID....DULU X PELA....MEMANG TAIP PAKAI MESIN TAIP....TPI SEKARANG SEMUA PAKAI WORD.....ADA KEMUDAHAN COPY AND PASTE....APA LA SUSAH SGT NK KONGSI ILMU NI...X GUNA LA KAMU POST ILMU NI....SEMOGA KAMU INSAF SUATU HARI NANTI....

    ReplyDelete
  2. Asalam, rujukan ni di ambil dr buku ke? Boleh saya tahu ni buku apa?

    ReplyDelete