Friday, February 25, 2011

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran Masa Reaksi


Pengukuran Masa Reaksi

Masa reaksi merupakan salah satu komponen keupayaan motor yang amat penting bagi seseorang individu untuk bertindakbalas dengan cepat dan efisyen terhadap ‘cues’ penglihatan dan pendengaran. Kebolehan masa reaksi ini dapat membantu atlet meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam acara sukan. Masa reaksi, masa pergerakan dan masa gerakbalas dititikberatkan apabila menjalankan pengujian dan penilaian mengenai kepantasan dan masa reaksi. 
Mengikut Singer (1975), masa reaksi melibatkan integrasi pada bahagian tinggi pusat sistem saraf iaitu melibatkan perspesi. Manakala tindakan masa refleks melibatkan bahagian rendah pusat sistem saraf iaitu sistem saraf periferi. Masa reaksi juga merujuk kepada kepantasan membuat keputusan dan memulakan aksi di mana keupayaan antisipasi yang tinggi boleh mempercepatkan masa reaksi. Magill (1993), mendefinisikan masa reaksi sebagai tempoh daripada mula menerima stimulus sehingga bermulanya gerakbalas. Kadar penghasilan masa reaksi terhadap sesuatu stimulus bagi menghasilkan gerakbalas diandaikan berfungsi sebagai pentunjuk kepada kecekapan mekanisme pemprosesan maklumat atau membuat keputusan. Paradigma masa reaksi boleh diklasifikasikan kepada beberapa tempoh yang spesifik. Daripada paradigma tersebut, berbagai maklumat boleh disintesiskan antaranya latensi untuk berlakunya tindakbalas voluntari adalah dalam lingkungan 200 milisaat.
Masa reaksi boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor persekitaran dan individu. Faktor persekitaran melibatkan jumlah alternatif stimulus-respon kesesuaian stimulus dengan tindakbalas dan variabiliti tempoh awal. Manakala faktor individu pula sebahagaian besarnya melibatkan aspek-aspek kematangan biologi, intensiti tumpuan dan madaliti sensori.
Menurut Magill (1993), masa reaksi juga bergantung kepada jenis masa reaksi iaitu masa reaksi mudah, masa reaksi pilihan dan masa reaksi diskriminasi. Masa reaksi mudah melibatkan satu stimulus dan gerakbalas. Masa reaksi pilihan melibatkan lebih dari satu isyarat dan setiap isyarat memerlukan satu gerakbalas yang spesifik. Manakala masa reaksi diskriminasi pula melibatkan lebih dari satu isyarat tetapi hanya memerlukan satu gerakbalas sahaja.
Antara ujian yang lazim dilakukan bagi mengukur masa reaksi adalah seperti ujian tindak balas pilihan Nelson dan ujian pergerakan kepantasan tangan Nelson. Kesimpulannya, masa reaksi merupakan masa yang diambil di antara sesuatu rangsangan yang diberikan dan tindakan pertama terhadap rangsangan itu atau permulaan tindakan.

4 comments: