Saturday, February 26, 2011

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran kuasa

Pengukuran Kuasa

Kuasa merupakan kombinasi kelajuan dan kekuatan otot. Ia boleh didefinisikan sebagai suatu kebolehan melakukan sesuatu pergerakan yang pantas dan kuat dengan menggunakan masa yang paling minimum. Dari segi fisiologi, kuasa merupakan hasil keupayaan otot menguncup dalam masa yang singkat. Ianya melibatkan gabungan antara kekuatan otot dan juga kepantasan kuncupan otot tersebut.
Menurut Corbin & Lindsey (1994), kuasa merupakan komponen kecergasan fizikal berlandaskan lakuan motor kerana kuasa yang dihasilkan  bergantung kepada kepantasan iaitu masa yang diambil. Selain daripada itu, kuasa juga bergantung kepada kekuatan otot. Kebanyakkan daripada kita menggunakan kuasa bukan sahaja dalam aktiviti sukan tetapi juga dalam aktiviti seharian.
Dalam bidang mekanik, kuasa diklasifikasikan sebagai kerja dibahagikan dengan masa. Lebih cepat sesuatu kerja itu dilakukan, maka lebih banyak kuasa digunakan. Ini bermakna, kuasa dapat digambarkan melalui persamaan seperti Jadual 1.2:
Jadual 1.2
Definisi kuasa menurut Johnson dan Nelson



Kerja
Kuasa   =   --------------
masa

 
 

                                                                       
Fox (1991) mendefinisikan keupayaan melompat, melakukan pecutan serta merejam adalah beberapa contoh perlakuan yang menukarkan daya kepada kuasa. Kuasa yang dihasilkan akan menentukan jumlah jarak atau masa yang diambil bagi sesuatu aktiviti tersebut. Seterusnya kuasa yang dihasilkan adalah merupakan faktor asas kepada kejayaan atlet tersebut dalam acara yang diceburinya.
Thomas & Nelson (1996) menyatakan seseorang atlet yang kuat dan    pantas tidak semestinya mempunyai nilai kuasa yang eksplosif. Ini adalah kerana atlet perlu menggabungkan aspek kekuatan dan kepantasan untuk menghasilkan daya. Daya yang dihasilkan ini bergantung pula kepada beberapa lama masa yang diambil dalam menghasilkan sesuatu lakuan.
Terdapat beberapa ujian yang biasa digunakan  bagi mengukur kuasa kaki dan tangan seperti lompat jauh berdiri, melontar bola segar atau bola keranjang, menarik lengan menegak, melontar bola keranjang sambil duduk dan ujian kuasa anaerobik Magaria.

0 comments:

Post a Comment