Tuesday, February 22, 2011

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Pengukuran Kepantasan

Pengukuran Kepantasan

Kepantasan pergerakan dan kepantasan reaksi adalah merupakan dua angkubah yang terpenting dalam lakuan motor. Kedua-dua angkubah ini dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan atlet dalam semua acara sukan. Lazimnya dalam pengujian dan penilaian mengenai kepantasan, komponen-komponen lakuan  motor berikut diambil kira iaitu masa reaksi, masa pergerakan dan masa gerakbalas.
Pada 1930 seorang lagi pakar Pendidikan Jasmani, Jensen & Hirst telah membahagikan kepantasan kepada tiga komponen iaitu :
i.                     Kepantasan pergerakan segmen badan iaitu pergerakan bahagian tubuh badan khususnya kepala, tangan dan kaki.
ii.                   Kepantasan lari pecut iaitu keupayaan seseorang meningkatkan kadar pecutan dalam jarak singkat.
iii.                  Kepantasan halaju larian maksimum iaitu halaju maksimum yang dapat dicapai dalam larian lebih jauh.
Seseorang altet yang dapat menguasai ketiga-tiga komponen ini mempunyai kelebihan dalam sukan dan permainan.
Johnson & Nelson (1986), pula mendefinisikan kepantasan sebagai kadar di mana seseorang boleh menggerakkan anggota badan atau sebahagian anggota badan di antara dua titik. Menurut Corbin & Lindsey (1994), kepantasan sebagai keupayaan untuk melakukan pergerakan dalam masa yang singkat.
 Bagi menjelaskan perkaitan hubungan kepantasan dan ketepatan, ‘Hukum Fitts’ menerangkan pertama,  masa pergerakan akan meningkat  hanya sedikit apabila jarak pergerakan bertambah. Kedua, masa pergerakan meningkat semasa tumpuan ketepatan bertambah iaitu target mengecil. Ini bermakna masa pergerakan akan bertambah secara sistematik dengan dipengaruhi oleh kedua-dua faktor di atas.
Hukum Fitts dirumuskan seperti Jadual 1.1 :
Jadual 1.1
Hukum Fitts


Masa gerakbalas = a + b [ log2 ( 2 A/W )]

Petunjuk :         a dan b adalah nilai tetap
A ialah jarak antara target
W ialah luas target
 
 




Mengikut Kreighbaum & Barthels (1990), kepantasan didefinisikan sebagai sepantas mana anggota badan bergerak. Kepantasan pada dasarnya adalah hasil tindakan daya ke atas jasad yang cukup untuk menggerakkan jasad. Kepantasan biasanya melibatkan pergerakan pada kadar yang tetap setelah mengatasai daya rintangan. Terdapat dua komponen daya rintangan atau yang bertindak ke atas tubuh badan manusia iaitu :
i.                     Daya positif
ii.                   Daya negatif
Daya positif membantu pergerakan melalui kontraksi otot. Daya negatif pula bergantung kepada sifat aktiviti. Oleh itu, kepantasan dapat ditingkatkan dengan memperbaiki faktor positif melalui latihan kekuatan. Ia juga boleh ditingkatkan dengan cara meminimumkan faktor negatif iaitu meningkatan koordinasi neuromuskular dan kelembutan bertujuan mengurangkan daya tarikan graviti serta nyah-pecutan anggota badan.
            Antara ujian yang lazim digunakan  bagi mengukur kepantasan adalah lari  pecut 4 saat, lari pecut 6 saat, lari pecut 50 ela , lari pecut 30 meter, lari pecut 8 saat dan lari landas 20 ela.

0 comments:

Post a Comment