Wednesday, February 9, 2011

Pendidikan Jasmani Di Malaysia : Penilaian dan Pentaksiran Satu Proses Berterusan


Pendidikan Jasmani : Penilaian dan Pentaksiran Satu Proses Berterusan

Penilaian adalah proses mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Penilaian merupakan sebahagian daripada proses p & p yang dijalankan secara berterusan. Penilaian PJPK dirancang dan dikendalikan oleh guru di peringkat sekolah. Instrumen penilaian dibina dan ditadbir oleh guru. Penilaian boleh dibuat secara pemerhatian, penulisan dan lisan. Hasil penilaian digunakan untuk tindakan susulan bagi meningkatkan pembelajaran murid dan memperbaiki pengajaran guru. Pelaporan perlu dibuat kepada murid, ibubapa dan guru lain.
Di dalam kandungan sukatan pelajaran PJPK (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1999) terdapat tiga tujang utama iaitu tunjang kecergasan, tunjang kemahiran dan tunjang kesukanan.
           
Di dalam tunjang kecergasan terdapat 12 tajuk yang perlu dikuasai oleh murid dari tahap 1 sekolah rendah, tahap 2 sekolah rendah dan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di sekolah menengah. Antara tajuk di dalam tunjang ini adalah :
            (a)       Kecergasan berlandaskan kesihatan
i.          Dayatahan kardiovaskular
ii.         Dayatahan otot
iii.        Kekuatan
iv.        Kelenturan
v.         Komposisi badan
            (b)       Kecergasan berlandaskan perlakuan motor
i.          Kordinasi
ii.         Imbangan
iii.        Ketangkasan
iv.        Kuasa
v.         Masa tindakbalas
vi.        Kepantasan
(c)        Konsep, definisi, prinsip dan kaedah latihan

Di dalam tunjang kemahiran  pula terdapat  7 tajuk yang murid perlu  kuasai antaranya :
(a)               Pergerakan asas
(b)               Permainan
(c)               Olahraga
(d)               Gimnastik
(e)               Pergerakan kreatif
(f)                 Rekreasi
(g)               Kesengangan

Manakala tunjang kesukanan pula antaranya :
(a)               Keselamatan
(b)               Pengurusan
(c)               Kerjaya
(d)               Isu Pendidikan Jasmani dan Sukan
(e)               Etika
Jumlah waktu yang diperuntukkan bagi matapelajaran PJPK setahun di sekolah adalah mengikut jadual 1.1 :
Jadual 1.1
Pecahan waktu mengajar bagi matapelajaran PJPK setahun
Kelas
Waktu
Tahun 1
84
Tahun 2
84
Tahun 3
84
Tahun 4
60
Tahun 5
60
Tahun 6
60
Tingkatan 1
60
Tingkatan 2
60
Tingkatan 3
60
Tingkatan 4
60
Tingkatan 5
60
Kita seringkali mendengar ungkapan pendidikan yang terlalu memberi penekanan kepada peperiksaan atau exam oriented yang dikatakan kurang baik. Kita disarankan supaya lebih memberi tumpuan kepada pentaksiran yang holistik. Apa itu peperiksaan dan apa itu pentaksiran. Apa pula yang dimaksudkan dengan penilaian? Apakah perbezaan antara istilah-istilah tersebut?
Menurut David Payne (2003), pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat. Daripada pengertian pentaksiran di atas, beliau menyarankan:
Pentaksiran = Pengukuran + Penilaian
Untuk mendapatkan maklumat tentang pembelajaran murid, kita boleh mengguna proses pengukuran, penilaian atau pentaksiran. Pengukuran ialah proses mendapatkan maklumat dengan cara mengukur menggunakan instrumen sebelum ukuran itu dapat dinilai atau diinterpretasikan. Bhasah (2006), pengukuran merupakan umpukan atau pemberian angka-angka atau nombor kepada sesuatu objek atau perkara mengikut set peraturan yang telah ditetapkan. Proses pengukuran berakhir dengan maklumat berbentuk kuantitatif seperti markah mentah, peratus markah mentah, persentil (peratusan kedudukan seseorang berbanding kedudukan orang lain), agregat dan pangkat atau band. Ukuran di atas boleh didapati sama ada dengan menggunakan instrumen atau pun tidak. Instrumen atau alat pengukuran pendidikan yang biasa digunakan ialah ujian, soal selidik (questionnaire), kuiz dan senarai semak (check list).
Tanpa instrumen, ukuran diperoleh dengan cara taksiran, anggaran, agakan, ta’kulan dan pemerhatian. Sebagai analogi, ukuran atau maklumat tentang berat seorang kanak-kanak Tahun Satu di Malaysia tanpa mengguna penimbang.
Begitu juga seorang guru boleh mengetahui ukuran atau maklumat tentang sejauh mana muridnya menguasai apa yang dipelajari, tanpa menjalankan ujian, dengan cara di atas. Walau bagaimanapun, ukuran yang diperoleh tanpa mengguna instrumen tentunya kurang tepat dan kurang boleh dipercayai kerana seringkali berubah-ubah mengikut masa, mengikut orang yang mentaksir dan mengikut keadaan.
Penilaian merupakan satu pertimbangan atau pembuatan keputusan tentang merit atau nilai sesuata perkara atau benda, Bashah (2006). Gay (1985) menyatakan penilaian adalah satu proses yang sistematik dalam pengumpulan dan analisa data untuk menentukan sama ada sesuatu objektif itu telah tercapai atau belum untuk membolehkan sesuatu pertimbangan atau keputusan dibuat. Penilaian merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sesuatu diikuti dengan proses memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat itu. Misalnya, pernyataan ”Ahmad mendapat markah 90% dalam ujian Matematik, oleh itu dia adalah seorang murid yang cemerlang dalam mata pelajaran itu”, merupakan penilaian atau interpretasi tentang ukuran atau maklumat.
Tidak seperti pengukuran, maklumat yang diperoleh daripada penilaian boleh jadi berbentuk kuantitatif atau kualitatif. Maklumat kualitatif dalam penilaian adalah seperti ”Baik”, ”Cemerlang”, ”Menguasai tahap pencapaian minimum” dan ”Boleh membaca dengan kefahaman yang tinggi”. Perhatikan bahawa maklumat kualitatif dalam penilaian boleh jadi nilaian atau interpretasi kepada maklumat kuantitatif.
Proses penilaian berhenti setakat memberi nilai atau interpretasi tanpa membuat keputusan seperti ”layak memasuki aliran Sains”. Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat, proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan dipanggil pentaksiran. Dalam pendidikan, proses mengumpul maklumat, memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat dan membuat keputusan boleh berlaku secara formal atau tidak formal. Ketiga-tiga proses di atas berlaku secara timbal balik dan sepadu antara satu sama lain dan sepadu dengan proses pengajaran-pembelajaran.
Pengertian istilah pentaksiran atau assessment yang berasal daripada perkataan Greek ”Assidere” iaitu bermaksud ”Duduk di sisi” seperti dinyatakan di atas sesuai dengan apa yang dilakukan oleh ibu bapa dalam mengajar Al-Quran dalam tradisi pendidikan orang Melayu. Proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balik dan sepadu di mana sambil mengajar anaknya mengaji Quran, seorang ibu membuat pentaksiran secara tak formal kerana dia tahu adakah anaknya telah menguasai apa yang dipelajari atau belum dan dia tahu sama ada anaknya perlu mengulang balik atau meningkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Di samping itu, si ibu akan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang holistik sifatnya semasa proses tersebut berjalan. Dalam hal ini si ibu tidak perlu pun mengadakan ujian atau peperiksaan yang formal tetapi dia tetap dikatakan mendidik menggunakan proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran yang sepadu.
Jika pentaksiran merupakan proses, peperiksaan pula merupakan salah satu kaedah, sistem atau mekanisma yang digunakan dalam proses pentaksiran. Sesuatu peperiksaan selalunya mengandungi beberapa siri ujian yang terancang untuk mendapatkan ukuran tentang sejauh mana proses pengajaran-pembelajaran berkesan. Ujian-ujian yang terdapat dalam sesuatu sistem peperiksaan boleh jadi ujian bertulis, ujian amali, ujian lisan, ujian pendengaran dan ujian berkomputer. Dengan ciri yang sedemikian, peperiksaan selalunya hanya sesuai diguna untuk mentaksir domain kognitif atau kebolehan mental seseorang. Dua domain yang lain iaitu afektif dan psikomotor kurang sesuai ditaksir menggunakan kaedah peperiksaan.
Oleh hal yang demikian, peperiksaan selalu dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan. Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri, kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial sukar atau tidak mungkin dapat ditaksir sepenuhnya menggunakan peperiksaan.
Peperiksaan juga seringkali dikaitkan dengan pentaksiran standard, berpusat, luaran, sumatif dan dikendalikan oleh badan peperiksaan. Kekangan ini jugalah yang menyebabkan hal-hal yang sebutkan di atas sukar atau tidak dapat dilakukan dengan kaedah peperiksaan. Hal-hal tersebut lebih sesuai dilakukan melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran dalaman, pentaksiran formatif, pentaksiran alternatif, pentaksiran prestasi dan pentaksiran autentik.
Peperiksaan dikatakan menyebabkan anak-anak belajar dan guru-guru mengajar tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Murid-murid dikatakan belajar dan guru-guru mengajar tidak mengikut kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Hal ini diperhatikan daripada fenomena murid Tahun Enam sekolah rendah yang tidak lagi belajar seawal bulan Julai kerana murid-murid perlu diberi persediaan untuk menduduki peperiksaan UPSR. Mereka akan diberi latih tubi menjawab soalan peperiksaan dan dikehendaki menduduki peperiksaan percubaan lebih daripada sekali (ada yang sehingga empat kali).
Ibubapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Anak yang gagal mendapat A dalam mata pelajaran tertentu dikatakan gagal dalam pembelajarannya. Sekolah yang prestasinya dalam sesuatu peperiksaan merosot berbanding prestasi tahun sebelumnya, walau pun hanya 0.1%, merasa tertekan kerana prestasi guru dan pentadbir sekolah dianggap merosot.
Wajarkah tindakan di atas berlaku dalam sistem pendidikan kita? Jika kita menganggap tidak wajar, maka wajarkah pula kita memansuhkan peperiksaan berpusat seperti UPSR, PMR dan SPM serta mencadangkan pentaksiran berasaskan sekolah sahaja? Rata-rata peserta Seminar Sistem Pentaksiran Kebangsaan yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat pendidik, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan serta parti politik tidak bersetuju ketiga-tiga peperiksaan itu dimansuhkan. Mereka sepakat menyatakan bahawa peperiksaan perlu ada dan menganggap penekanan kepada peperiksaan (exam oriented) hanya merupakan persepsi masyarakat. Jika kita dapat memberi penekanan yang sama kepada pentaksiran dalam aspek ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan nilai-nilai murni melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran alternatif, pentaksiran autentik, pentaksiran prestasi, pentaksiran formatif dan pentaksiran untuk pembelajaran, dengan sendirinya persepsi tersebut dapat dicairkan.
PENTAKSIRAN BERASASKAN  SEKOLAH (PBS)
Guru memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, melaksanakan penilaian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan. Penilaian yang dirancang oleh guru di peringkat sekolah ini dikenali sebagai PBS. 
Melalui aktiviti penilaian guru dapat memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Untuk mencapai hasrat ini penilaian di sekolah haruslah memberi penekanan kepada konsep penilaian berterusan terhadap perkembangan bagi kesemua aspek tersebut. PBS lebih bersifat formatif iaitu mengutamakan kemajuan setiap murid dari satu peringkat ke satu peringkat. Guru dapat membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan murid dari semasa ke semasa. Ini memberi peluang kepada guru untuk membetulkan kesilapan dan memperbaiki kelemahan murid serta-merta supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun. Di samping itu guru dapat mengenal pasti kelemahan dan memperkembangkan lagi kekuatan serta potensi murid.
Terdapat dua jenis penilaian di sekolah iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif.
Penilaian formatif
Penilaian dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan  pembelajaran. Maklumat yang diperoleh dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai. Oleh itu, guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang murid dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.
 Penilaian sumatif
Penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir semester atau tahun. Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan.
PERKAITAN ANTARA PBS DAN PENILAIAN BERPUSAT
 PBS dirancang dan dilaksanakan oleh guru secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian. Maklumat tentang perkembangan murid yang diperoleh dari semasa ke semasa melalui penilaian berterusan dapat membantu guru mengambil tindakan susulan yang sewajarnya jika perlu. PBS boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat
Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR dan SPM dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara. PBS dan penilaian berpusat saling melengkapi dalam sistem penilaian.
PBS dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran tentang kemajuan pembelajaran murid di samping memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru. 
Melalui PBS, guru dapat : 
1.         mengesan perkembangan murid secara menyeluruh;
2.         mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran lebih awal dari semasa kesemasa;
3.         mengetahui keberkesanan pengajarannya;
4.         merancang dan mengubahsuai pengajarannya; dan
5.         menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta. 
CIRI-CIRI PBS 
PBS yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya. Di samping itu kekuatan murid yang telah menguasai pula diperkukuh dan diperkaya. Melalui aktiviti tindakan susulan yang berkesan guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian di peringkat pusat.
 PBS dilaksanakan berasaskan beberapa ciri yang utama seperti berikut:
Dikendalikan oleh guru
• menilai muridnya sendiri

Berasaskan Kriteria
• menilai penguasaan murid              berdasarkan hasil pembelajaran yang telah ditentukan
Formatif
• dijalankan berterusan
• mengesan perkembangan,kemajuan
  dan pencapaian murid
Pelbagai kaedah
• pemerhatian
• lisan
• penulisan
Mengesan Perkembangan Pembelajaran Secara Menyeluruh
• intelek
rohani
emosi
jasmani
Menekankan Perkembangan Individu
berdasarkan kemampuan individu
  dan bukan untuk perbandingan
  antara individu

Bersistem
• merancang
• menentukan instrumen
• melaksana
• menganalisis
merekod
melapor
tindakan susulan

Menggalakkan Penilaian Kendiri
• melatih murid menilai kemajuan
  sendiri secara berterusan
guru mendapat maklumat tambahan

Membolehkan Tindakan Susulan
• mengatasi kelemahan
mempertingkatkan kekuatan
pembelajaran

 ASPEK YANG DINILAI
Melalui PBS murid dinilai dalam pelbagai aspek yang meliputi pelbagai kecerdasan serta perkembangan emosi dan sahsiah murid. 
Aspek
Contoh
daya kreatif

mereka cipta melukis bermain alat muzik
kemahiran proses sains

Memerhati membuat inferen
menganalisis maklumat
perlakuan dan amalan nilai murni

Membantu berdikari
bertanggungjawab
sikap
bersemangat untuk belajar gigih bekerja ingin tahu
kesihatan dan kecergasan

sihat, cergas dan aktif menjaga kebersihan diri dan keselamatan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti

kemahiran kinestetik

Bersukan bergerak secara kreatif
bergerak mengikut rangsangan
bakat dan minat

kesungguhan membuat sesuatu kelebihan dalam sesuatu bidang kecenderungan kepada sesuatu

Pendidikan Jasmani dakn Kesihatan adalah merupakan matapelajaran wajib yang perlu di ajar kepada semua pelajar-pelajar  di seklah rendah dan di sekolah menegah. Akhir-akhir ini, masyarakat, khususnya golongan ibubapa melihat matapelajaran ini semakin tidak penting disebabkan matapelajaran ini tidak termasuk dalam peperiksaan awam seperti STPM, SPM, PMR dan juga UPSR. Oleh itu, matapelajaran ini perlu direfomasikan dengan mengubah cara kita menilai pencapaian anak-anak kita di dalam pembelajaran sesuai dengan perkembangan dan kehendak dunia, dengan mengubah penekanan dalam peperiksaan awam daripada terlalu berasaskan kandungan (content based) kepada yang lebih berasaskan kemahiran (skill based) atau daripada yang bersifat ujian pencapaian (achievement test) kepada yang bersifat ujian kebolehan am (general ability test)

Persoalannya adakah kita mampu mencari satu kaedah pentaksiran yang mampu menggalakkan pembinaan karakter dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran, misalnya dengan memperbanyakkan pendekatan pengurusan projek. Jika ini diperbanyakkan maka kaedah penilaian dan pentaksiran yang bersesuaian untuk menilai pencapaian pelajar juga perlu dirangka. Seterusnya mengubah sistem pendidikan kita dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan (exam-oriented) dan zaman persekolahan akan kehilangan nilai pendidikan serta nilai kemanusiaannya.

Oleh itu, dengan pentaksiran berasaskan sekolah, semua bentuk pentaksiran yang lebih bersifat alternatif dan autentik seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan, aktiviti jasmani, ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh dilaksanakan. Bagaimanapun dalam hal ini, guru besar dan pengetua perlu diberi pengiktirafan dan sedikit autonomi untuk mengesahkan laporan yang dikeluarkan oleh sekolah.

0 comments:

Post a Comment