Wednesday, February 9, 2011

Pendidikan Jasmani Di Malaysia : Satu Pengenalan


PENDIDIKAN JASMANI DI MALAYSIA : SATU PENGENALAN

Pendidikan Jasmani (PJ) merupakan satu mata pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 3/1979; Bil. 2/1988; 17/1988; dan Bil. 8/1990. Mata pelajaran PJ mempunyai peranan yang sangat besar dalam menyumbang ke arah pertumbuhan dan perkembangan pelajar secara menyeluruh melalui pengalaman pembelajaran yang memenuhi keperluan domain kognitif, psikomotor dan afektif (Darst & Pangrazi, 2006; Dauer, 1995; Freeman, 2001) serta menetapkan matlamat PJ di sekolah adalah bertujuan membantu pelajar menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan (KPM,1999).
            Mata pelajaran PJ memberi peluang kepada pelajar untuk menikmati kepuasan dan kegembiraan melalui aktiviti yang bersesuaian dengan jasmani dan psikologi. PJ juga merupakan satu proses yang bertujuan untuk mempertingkatkan kemampuan seseorang individu melalui pendekataan aktiviti fizikal boleh dikatakan setiap pelajar normal gemar menjalankan aktiviti seperti berlari, melompat dan membaling. PJ di sekolah seharusnya memberi penekanan kepada pembangunan golongan kanak-kanak tanpa mengenepikan mereka yang kurang bermahiran dengan pelajar berkemahiran agar mereka dapat meletakkan PJ dalam konteks pengalaman pendidikan keseluruhan serta menegaskan bahawa pengalaman PJ berkait rapat dengan proses pendidikan keseluruhan dan berkaitan dengan pendidikan seumur hidup setiap individu (Wee Eng Hoe,2009).

Definisi Pendidikan Jasmani

Mata pelajaran PJ merupakan suatu proses bertujuan meningkatkan prestasi manusia melalui aktiviti fizikal terpilih untuk mencapai keputusan yang dikehendaki. Ianya berkait rapat dengan pemilihan dan penghalusan kemahiran-kemahairan motor, pembangunan dan pemeliharaan kecergasan untuk kesihatan optima dan keadaan baik serta memperoleh pengetahuan dan pembangunan sikap-sikap positif terhadap aktiviti fizikal
            Pada tahun 1953, Lwenfield seorang ahli psikologi menerangkan bahawa kegiatan PJ membantu menyuburkan perkembangan diri seseorang individu. Pendapat ini disokong oleh Jenny dan Williams, bahawa walaupun PJ memberi pendidikan melalui aktiviti fizikal, ia sebenarnya terlibat dengan hasil-hasil pendidikan yang tidak bercorak fizikal. Matlamat jasmani ialah mempengaruhi semua perkembangan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial.
            Menurut Fletcher, melalui PJ kanak-kanak dapat mencuba sesuatu kegiatan dan secara perlahan-lahan pengalaman tersebut akan membawa kepada perkembangan fizikal, intelek, sosial dan  emosi. Barrow (1983) pula mengatakan bahawa PJ di dalam konteks pengalaman pendidikan menyeluruh, amat berkait rapat dengan proses pendidikan menyeluruh dan hal hidup setiap individu.  Apabila PJ memberi sumbangan kepada pendidikan lain, maka fungsi PJ sebagai wadah pendidikan dapat dipenuhi.
            Vasudevan (1986), mendefinisikan PJ adalah pendidikan mengenai seni dan sains pergerakan manusia. Objektif seterunya adalah untuk menggunakan pergerakan agar dapat memberikan sumbangan kepada matlamat fizikal, sosial dan mental. Lumpkin (2002) menyatakan bahawa PJ merupakan suatu proses yang membolekan individu mempelajari kemahiran-kemahiran fizikal, mental dan sosial serta tahap kecergasan yang tinggi. Hal ini disokong sepenuhnya oleh Freeman (2001) dengan menyuarakan pendapat beliau bahawa, PJ mempunyai pengertian yang lebih luas dari aspek fizikal malah meliputi pembangunan mental di mana PJ dikendalikan melalui media fizikal iaitu aktiviti fizikal yang rancak, berkaitan dengan pergerakan motor kasar dan kemahiran yang sederhana tinggi tahapnya. Walaupun kaedah digunakan bercorak fizikal, kaedah yang didapati adalah lebih daripada fizikal yang meliputi kemajuan perubahan di dalam perkembangan intelektual, sosial dan estetik.
            Pettifor (1999) berpendapat bahawa, PJ menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pengalaman-pengalaman pembelajaran yang rapi dan berturutan. Beliau menegaskan bahawa pengalaman tersebut seharusnya dapat meningkatkan pembangunan penguasaan kemahiran motor, kecergasan dan pengetahuan berasaskan kesihatan, keyakinan dalam menjadi aktif dan dapat mengapresiasikan faedah aktiviti fizikal. PJ mampu membekalkan ruang untuk membentuk kanak-kanak yang mantap secara keseluruhannya yang mengambil kira pembangunan aspek afektif, kognitif dan psikomotor. Konsep ini selari dengan Daeuer (1995) yang berpendapat bahawa PJ  ialah sebahagian daripada program pendidikan menyeluruh yang memberi sumbangan pada asasnya melalui pengalaman-pengalaman pergerakan kepada perkembangan  dan  pembangunan keseluruhan kanak-kanak.
            Menurut Capel (2000), PJ adalah suatu proses pembelajaran yang bertujuan untuk membangunkan pengetahuan tertentu, kemahiran dan kefahaman serta untuk menggalakkan kecekapan fizikal yang bukan tertumpu kepada aktiviti fizikal sahaja. Sependapat dengan itu, Freeman (2001) menjelaskan bahawa PJ merupakan aktiviti fizikal yang bermatlamat pendidikan. PJ berbeza daripada bidang lain kerana ia menumpukan kepada pembangunan keseluruhan individu. Bidang PJ memberi perhatian kepada kualiti fizikal, mental dan emosi. Kehendak ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menegaskan eleman jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) dalam membangunkan potensi seseorang individu.
            Gallahue (1996) pula menegaskan bahawa PJ meluangkan sebahagian daripada hari persekolahan untuk aktiviti-aktiviti otot besar yang mendorong dan membangunkan ’belajar untuk bergerak’ dan ’belajar melalui pergerakan’. Pendapat ini selaras dengan model Thomas, Lee dan Thomas (1988) dan model Siedentop (1991) yang menitikberatkan eleman yang sama.
            PJ membantu kanak-kanak membangunkan sepenuhnya dan merealisasikan segala potensi yang ada pada kanak-kanak. Pembangunan sepenuhnya ini melibatkan pembangunan dan pembelajaran melalui aktiviti fizikal yang membentuk tiga aspek iaitu psikomotor, kognitif dan afektif. Sesungguhnya, PJ membantu individu menguasai kecergasan, pengetahuan dan sikap yang menyumbang ke arah pembangunan optimal dan kesejaheraan (Wuest & Bucher, 2009).
            Menurut Pangrazi (2001), PJ adalah salah satu program pendidikan melibatkan pengalaman pergerakan sepenuhnya yang penting bagi perkembangan kanak-kanak. Ia melibatkan penguasaan aspek psikomotor, kognitif dan afektif melalui pembelajaran motor dan aktiviti fizikal.
            Teng Boon Tong (2001), menyatakan bahawa PJ merupakan suatu proses pengajaran dan pembelajaran (p & p) melalui kegiatan jasmani yang terancang dan terkawal. Ini keseluruhannya tertumpu kepada perkembangan tubuh badan pelajar termasuklah perkembangan fizikal, sosial, rohani dan mental secara terjalin. Dengan menumpukan kegiatan yang bertujuan memupuk proses sosialisasi serta menggalakkan pertumbuhan sahsiah yang menyeluruh dan sempurna di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Serentak dengan itu, perkembangan pelbagai kebolehan psikomotor dan dayatahan fizikal menggalakkan penggunaan masa lapang secara berfaedah.
            Kesimpulannya, PJ berupaya menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pembelajaran yang rapi dan berturutan. Secara ringkasnya mata pelajarn PJ merupakan satu bentuk pembelajaran yang holistik dan berupaya membangunkan pelajar dari pelbagai aspek dan dapat menghasilkan kejayaan kepada satu kumpulan pelajar (Colfer,1986). Pendekatan dalam PJ masa kini tertumpu kepada nilai pendidikan yang dibina. PJ juga mampu menyumbang kepada perkembangan kemahiran dan kercergasan jasmani serta menjadi pemangkin terhadap tabiat sosial yang murni. Selain itu mata pelajaran PJ dilihat sebagai alat untuk mendorong kegiatan-kegiatan kognitif seperti penerokaan, proses berfikir dan penyelesaian masalah.
            Kesemua ini menjadikan mata pelajaran PJ dilihat sebagai satu keperluan bagi membina perkembangan keseluruhan kanak-kanak. PJ merupakan mata pelajaran yang diperkenalkan di sekolah yang memiliki kesepaduan diantara domain kognitif, domain psikomotor dan domain afektif. Kesepaduan ini adalah seiring dengan penerapan nilai murni yang bermatlamat menghasilkan insan yang menyeluruh dan seimbang dalam satu masyarakat yang dinamis dan progresif (Asiah Abu Samah, 1993).

Matlamat , Objektif dan Kepentingan Pendidikan Jasmani          

Matlamat mata pelajaran PJ adalah untuk melahirkan pelajar yang cergas melalui pembelajaran fizikal serta dapat mengamalkan kecergasan dan disamping itu juga pelajar diharapkan akan dapat meningkatkan pengetahuan kesihatan, memupuk sikap positif dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mencapai objektif berikut (KPM, 2002): Mempertingkatkan dan mengekalkan kecergasan berasaskan kesihatan dan perlakuan motor dengan (i) Menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri; (ii) Melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian; (iii) Mengaplikasikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal; (iv) Membentuk sahsiah dan disiplin diri; dan (v) Membuat keputusan bijak dalam kehidupan.
            Sememangnya matapelajaran PJ merupakan implimentasi sepenuhnya intipati FPK di mana pelaksanaan PJ dari aspek pengajaran, pembelajaran dan penilaian merupakan satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Menurut, KPM (2002), bagi mencapai hasrat ini, mata pelajaran PJ menekankan gaya hidup yang sihat dan aktif. Pendekatan yang dicadangkan adalah pembelajaran melalui kegiatan PJ yang merangkumi tiga aspek penting iaitu  (i) Penglibatan murid secara aktif dan selamat (ii) Interaksi yang kreatif dengan rakan, bahan dan alat dan (iii) Penyimpanan rekod kegiatan murid sebagai bukti pembelajaran .
         Sukatan Pelajaran PJ disusun mengikut tiga tunjang utama iaitu :
1.                  Tunjang Kecergasan
Konsep tunjang ini menitikberatkan keupayaan murid melakukan aktiviti fizikal secara berterusan tanpa rasa lesu. Tumpuan diberi kepada komponen kecergasan fizikal berasaskan kesihatan dan perlakuan motor.
2.                  Tunjang Kemahiran
Konsep tunjang ini menitikberatkan keupayaan murid melakukan kemahiran daripada aspek pergerakan otot besar dan otot halus. Tumpuan diberikan kepada kemahiran asas dalam permainan, olahraga, pergerakan kreatif dan rekreasi.
3.                  Tunjang Kesukanan
Konsep tunjang ini menitikberatkan kefahaman dan pengetahuan bagi mengukuhkan amalan pendidikan jasmani dan sukan. Tumpuan diberi kepada aspek keselamatan, pengurusan, kerjaya, etika dan isu-isu dalam pendidikan jasmani dan sukan.
            Di dalam tunjang kecergasan terdapat 12 tajuk yang perlu dikuasai oleh murid dari tahap 1 sekolah rendah, tahap 2 sekolah rendah dan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di sekolah menengah. Antara tajuk dalam tunjang ini adalah :
            (a)        Kecergasan berlandaskan kesihatan berdasarkan komponen (i) Dayatahan                                              kardiovaskular; (ii) Dayatahan otot; (iii) Kekuatan; (iv) Kelenturan dan (v) Komposisi badan
            (b)         Kecergasan berlandaskan perlakuan motor berdasarkan komponen  (i) Kordinasi; (ii)   
                         Imbangan; (iii) Ketangkasan; (iv) Kuasa; (v) Masa tindakbalas dan (vi)  Kepantasan
(c)        Konsep, definisi, prinsip dan kaedah latihan
            Tunjang 2 kemahiran  pula, terdapat  7 tajuk yang murid perlu  kuasai antaranya adalah (i) Pergerakan asas; (ii) Permainan; (iii) Olahraga; (iv) Gimnastik; (v) Pergerakan kreatif; (vi) Rekreasi dan (vii) Kesenggangan
            Manakala tunjang 3  kesukanan pula,  antaranya  adalah (i) Keselamatan; (ii) Pengurusan;  (iii)  Kerjaya;  (iv) Isu Pendidikan Jasmani dan Sukan dan (vi) Etika.
            Bagi memenuhi aspirasi dan keperluan yang digariskan oleh FPK, guru perlu memahami kepentingan PJ seperti berikut:
1. Kecergasan fizikal
Program PJ amat penting bagi memberi peluang yang terbaik kepada pengamalnya untuk membina dan mengekalkan tahap kesihatan fizikal yang bersesuaian dengan minat dan keperluannya.
2. Kemahiran motor
Program PJ menjadi nadi yang mengerakkan kebolehan kanak-kanak untuk menguruskan bahagian-bahagian anggota mereka dengan cekap dan membina kemahiran motor yang sesuai dan berguna. Dengan maksud lain PJ berupaya mempertingkat dan mengekalkan kecergasan berasaskan kesihatan dan perlakuan motor.
3. Kecekapan dalam menguruskan badan
PJ dapat membentuk kecekapan dalam menguruskan badan melalui senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian serta dilaksanakan secara berterusan. Pengurusan badan merujuk kepada kebolehan mengawal anggota dalam pelbagai situasi pergerakan dan konteks persekitaran yang
pelbagai. Pengurusan badan merangkumi aspek penjagaan postur yang betul, kawalan dan imbangan tubuh dalam sesuatu situasi, pengaruh ritma dalam pendalian pergerakan badan, koordinasi pergerakan yang cekap dan pergerakan merentasi ruang.
4. Aspek kemahiran dan pergerakan asas
PJ dapat membantu pengamalnya menguasai asas kemahiran pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri berdasarkan tunjang pembelajaran. Seorang kanak-kanak sewajarnya sudah menguasai kemahiran lokomotor seperti berjalan, berlari dan melompat dan kemahiran bukan lokomotor seperti memusing, mengalih, membongkok, melunjur dan membina bentuk-bentuk serta kemahiran manipulatif seperti menangkap, memukul, menendang,mengelecek dan melontar.
5. Konsep kendiri
PJ dapat membina imej kendiri yang realistik dan membentuk konsep kendiri yang diingini menerusi aktiviti fizikal yang terancang.
6. Nilai dan peribadi dalam pendidikan
PJ di lihat dapat menjadi agen pembentukan sahsiah dan disiplin diri yang sesuai dengan norma-norma masyarakat.
7. Membentuk kognitif
PJ akan dapat melatih pelajar membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan.
8. Langkah-langkah keselamatan
Dalam mata pelajarn PJ, pelajar seharusnya ditanam dengan sikap yang mengutamakan keselamatan bukan tertumpu pada diri sendiri tetapi juga mementingkan keselamatan orang lain. Kebanyakan permainan dan sukan menjadi berbahaya jika tidak dikendalikan dengan sempurna dengan bimbingan dan teknik mengajar yang sistematik, soal keselamatan dalam PJ tidak akan timbul. Penerapaan kaedah mengaplikasikan pengetahuan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal amat perlu.
            Kesimpulannya, penetapan matlamat dan objektif dalam PJ dapat membantu mata pelajaran ini dalam aspek-aspek seperti  memahami apa yang hendak dilakukan, membantu dalam menghasilkan keputusan yang lebih bermakna ketika berhadapan dengan masalah, memahami dengan lebih mendalam mengenai nilai PJ, memahami sumbangan PJ kepada masyarakat, menjelaskan tugas guru PJ kepada masyarakat dan menghargai dan mengambil berat pencapaian murid melalui penglibatan pelajar di dalam program di bawah jagaan guru  (Bucher dan Wuest,1987). Oleh yang demikian guru perlu sentiasa memahami matlamat utama PJ iaitu membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan.

2 comments:

  1. assalamualaikum...en ley dapatkan reference x utk penulisan encik ni...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum tuan, boleh saya dapatkan reference utk penulisan tuan ini? maklumat boleh disalurkan ke email ariffinalimin@gmail.com

    Terima kasih tuan

    ReplyDelete