Thursday, March 15, 2012

Industri Sukan Penjana Ekonomi Negara



Oleh: Zulfadhli Abd. Aziz

Sejak bermulanya tamadun manusia, sukan telah menjadi satu kegiatan rekreasi dan riadah dalam kehidupan manusia sejagat. Namun kini, sukan tidak lagi hanya mendukung fungsi tradisinya iaitu menyihatkan tubuh badan atau mengisi masa lapang malah sudah menjadi suatu wadah untuk mengaut keuntungan lumayan melalui industri yang bersifat komersial di samping mampu ‘menjual’ nama sesebuah negara di pentas dunia. Perkara ini telah dibuktikan apabila penganjuran sukansukan antarabangsa telah menjadi sumber ekonomi kepada sesebuah negara.

Tidak ramai di kalangan masyarakat Malaysia menyedari bahawa industri sukan adalah satu industri yang besar nilai serta impaknya dan telah mula berkembang di negara kita. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dalam Majlis Perasmian KISMAS 2009, “di Amerika Syarikat (AS) industri sukan merupakan antara salah satu industri yang terbesar dan yang paling pesat membangun. Dalam satu kajian yang telah dijalankan oleh Sports Business Journal melaporkan bahawa nilai industri sukan di Amerika Syarikat pada tahun 2008 sahaja telah bernilai USD 213 billion iaitu lebih dua kali ganda daripada industri kenderaan dan tujuh kali ganda lebih besar daripada industri perfileman”.

Laporan kajian tersebut juga telah menyatakan bahawa pendapatan yang diperolehi oleh Amerika Syarikat dalam industri sukan mengikut beberapa sektor-sektor adalah seperti berikut:
a) Sektor pengiklanan mencatat USD 30.86 billion;
b) Sektor endorsmen mencatat USD 1.1 billion;
c) Sektor peralatan/pakaian/kasut mencatat USD 33.86 billion;
d) Sektor pembangunan kelengkapan mencatat USD 3.35 bilion;
e) Sektor internet mencatat USD 927 juta;
f) Sektor produk berlesen mencatat USD13.9 billion;
g) Sektor hak penyiaran mencatat USD 7.7billion;
h) Sektor perkhidmatan professional mencatat USD 17.5 billion;
i) Sektor perbelanjaan penonton mencatat USD 32.06 billion;
j) Sektor penajaan mencatat USD 10 billion;
k) Sektor perubatan mencatat USD 14.7bilion;
l) Sektor perjalanan mencatat USD 19.27billion;
m) Sektor multimedia mencatat USD 2.2billion, dan
n) Sektor pengurusan mencatat USD 25.85 billion.

Justeru itu, Kementerian Belia Dan Sukan melalui Pelan Strategik KBS 2010-2015 telah meletakkan industri sukan sebagai teras strategik kelima kementerian yang mana “pembangunan industri sukan sebagai penjana ekonomi negara”. Antara langkah strategik untuk membangunkan sukan sebagai satu industri seperti yang termaktub dalam Pelan Strategik KBS 2010-2015 adalah seperti berikut:
a) Menggalakkan badan-badan sukan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta mewujudkan persekitaran   yang sesuai bagi pembangunan industri sukan;
b) Mempertingkatkan pengeluaran produk dan perkhidmatan sukan untuk penggunaan tempatan dan eksport;
c) Meningkatkan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan sukan melalui penyediaan insentif yang sesuai;
d) Mempertingkatkan pemasaran dan promosi produk dan perkhidmatan sukan tempatan dan;
e) Mempertingkatkan pelancongan sukan melalui lebih banyak penganjuran acara di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, adalah diharapkan agar industri sukan di Malaysia dapat merangsang dan menyumbangkan sesuatu kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mampu meningkatkan Gross National Income (GNI) selaras dengan Model Ekonomi Baru (MEB).

1 comment:

  1. Assalammualaikum,
    Saudara Norkhalid adalah lebih baik jika setiap posting tuan diletak label untuk memudahkan carian.
    www.zairedin.com

    ReplyDelete