Motivasi merujuk kepada faktor-faktor personaliti, sosial, dan kognitif yang memainkan peranan ketika seseorang atlet membuat persembahan dan ingin mencapai sesuatu matlamat (Robert, 1993). Ciri-ciri personaliti yang membezakan antara atlet yang bermotivasi tinggi dengan yang atlet yang bermotivasi rendah adalah
i. tahap keperluan pencapaian (need achievement),
ii. orientasi matlamat,
iii. keyakinan diri,
iv. kompetensi,
v. optimis dan
vi. tanggapan positif yang dimiliki oleh atlet tersebut.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri personal sahaja tidak cukup untuk membuat andaian tentang motivasi melainkan jika ia disokong oleh faktor persekitaran. Sebagai contoh, tingkah laku jurulatih, rekod kejayaan dan kekalahan pasukan, jenis persekitaran semasa permainan diadakan seperti jarak, cuaca dan reaksi penonton banyak mendorong kecenderungan atlet untuk terus berjuang dalam sesuatu pertandingan. Oleh yang demikian, motivasi berpunca dari kombinasi ciri-ciri personal dan faktor persekitaran, yang berperanan sebagai pendorong arah tingkah laku atlet.
Kombinasi ciri personal seperti keperluan pencapaian yang tinggi, motivasi intrinsik dan komitmen yang tinggi dengan faktor persekitaran seperti hubungan positif dengan jurulatih, maklum balas daripada jurulatih, sokongan kuat dari ibu bapa adalah merupakan faktor motivasi yang unik untuk seorang atlet. Berdasarkan kombinasi ini, ternyata motivasi tercetus dari faktor dalaman diri individu dan faktor luaran, serta membentuk konsep motivasi diri yang disebut sebagai motivasi intrinsik dan ekstrinsik.
Motivasi intrinsik | Motivasi ekstrinsik |
· Motivasi yang datang dari dalaman diri seseorang individu dan tidak dipengaruhi oleh sebarang ganjaran atau faktor luaran yang lain. · terbentuk hasil daripada keyakinan diri yang tinggi bahawa seseorang individu mampu untuk melakukan sesuatu tugasan tanpa mengharapkan dorongan, ganjaran atau sokongan dari persekitarannya. · Minat yang mendalam untuk menceburkan diri dalam bidang sukan adalah sejenis motivasi intrinsik yang mendorong seseorang untuk sentiasa bergiat aktif dalam sukan. | · Ganjaran atau faktor luaran yang mendorong seseorang individu untuk bertingkah laku dalam sukan sama ada dalam bentuk fizikal ataupun verbal. · Ganjaran berbentuk fizikal adalah seperti hadiah dan wang ringgit, manakala ganjaran berbentuk verbal adalah seperti kata-kata pujian dan semangat. · Implikasi daripada ganjaran yang berbentuk intrinsik ini akan mencetuskan tahap motivasi yang bersifat sementara. · Jika wujud ganjaran ekstrinsik, maka barulah individu akan melakukan tugasan bagi mendapatkan ganjaran luaran tersebut. |
Individu yang melakukan sesuatu aktiviti kerana ingin mendapatkan habuan atau ganjaran disebut sebagai individu yang bermotivasi ekstrinsik, manakala individu yang melakukan sesuatu tugasan disebabkan minatnya yang mendalam terhadap tugasan tersebut dilihat sebagai individu yang bermotivasi intrinsik.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa motivasi ekstrinsik boleh mendatangkan kesan tambahan terhadap motivasi intrinsik jika nilai ekstrinsik tersebut tidak terlalu ekstrem, atau individu perlu melihatnya sebagai matlamat yang kurang utama. Jika atlet sentiasa disogokkan dengan ganjaran ekstrinsik yang bersifat lumayan, sejauh manakah mereka dapat mempertahankan motivasi intrinsik, dan apakah yang akan terjadi jika ganjaran yang diberikan selama ini terpaksa dihentikan atau dikurangkan oleh faktor-faktor tertentu?
Motivasi Pencapaian
Motivasi pencapaian bermaksud sejauh mana seseorang atlet mendekati atau mengelak dari situasi kompetitif dalam usaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Manusia sentiasa menangani masalah, meningkatkan daya usaha, dan berjuang untuk melakukan perkara yang sukar dengan sebaik mungkin dan sepantas yang boleh bagi mencapai sesuatu matlamat.
Dalam konteks sukan, atlet dipengaruhi faktor luaran dan dalaman yang mendorongnya untuk menyertai sesuatu acara sukan. Terdapat segolongan atlet yang didorong oleh faktor ganjaran dan hadiah yang ditawarkan, manakala yang lainnya disebabkan faktor keinginan diri untuk sentiasa sihat dan aktif, serta ingin mencapai tahap kepuasan diri. Namun, ciri-ciri atlet yang berjaya semestinya memiliki semangat keperluan pencapaian yang tinggi.
Aspek kejayaan dan kegagalan dalam pertandingan mempunyai interpretasi yang berbeza dalam kalangan atlet. Ada kalanya kegagalan dianggap berlaku jika hasil persembahan dipengaruhi oleh kualiti personaliti yang lemah seperti tiada atau kurang berbakat. Bagi atlet yang mempunyai tahap keperluan pencapaian yang tinggi, mereka akan berasa seronok apabila berjaya, kurang menunjukkan simptom kebangkitan psikologi seperti peningkatan kadar denyutan jantung, pernafasan atau perpeluhan, lebih rasa bertanggungjawab terhadap hasil persembahan, berkeinginan untuk mengetahui keputusan sebaik saja tamat perlawanan, serta sukakan situasi yang memberi risiko terhadap tingkah laku yang dipersembahkan.
Antara pendekatan teori yang boleh diguna pakai untuk menjelaskan perihal motivasi pencapaian adalah seperti berikut:
(a) Model McClelland dan Atkinson
· Motivasi terbentuk berdasarkan motif untuk mencapai kejayaan dan takut akan kegagalan.
· Menurut Cox (2007), motif untuk mencapai kejayaan adalah lahir dari motivasi intrinsik atlet itu sendiri, manakala takut akan kegagalan adalah komponen kebimbangan kognitif yang wujud pada saat-saat sebelum dan semasa bermulanya bertandingan.
· Jika atlet tersebut yakin bahawa beliau akan berjaya, maka atlet tersebut akan memilih untuk melibatkan diri dalam pertandingan.
· Namun jika atlet merasa tidak atau kurang yakin dengan kebolehannya dalam pertandingan tersebut, maka atlet tersebut akan memilih untuk menarik diri.
· Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa faktor yang mendorong atlet untuk mengharapkan kejayaan ialah motivasi untuk mencapai kejayaan, persepsi terhadap kemungkinan berjaya, dan juga nilai insentif positif terhadap kejayaan.
· Manakala faktor yang mendorong atlet untuk berasa bimbang terhadap kegagalan ialah motivasi untuk mengelak daripada gagal, persepsi terhadap kemungkinan akan gagal, dan nilai insentif yang negatif terhadap kegagalan.
(b) Teori Self Efficacy oleh Bandura
· Arkes dan Garske (1982) menjelaskan bahawa kebanyakan penyelidik melihat pengaruh keyakinan diri sebagai faktor yang membezakan individu bermotivasi pencapaian tinggi dengan individu yang bermotivasi pencapaian rendah.
· Teori Self Efficacy oleh Bandura menjelaskan keadaan yang berkaitan dengan keyakinan individu tentang kemampuannya untuk melakukan sesuatu tugasan dengan berkesan.
· Berasaskan kepada teori kognitif sosial, Bandura (1986) menegaskan bahawa self efficacy adalah mekanisme kognitif yang menjadi pengantara motivasi, corak pemikiran, dan tingkah laku. Self efficacy adalah pertimbangan individu terhadap kemampuannya beraksi dalam apa tahap sekalipun, serta merupakan hasil daripada proses pengaruh kendiri yang kompleks berdasarkan kepada sumber maklumat keupayaan diri seperti berikut:
(i) Perlakuan atau Prestasi yang Berjaya
· Maklumat keupayaan diri diperoleh melalui pengalaman masteri individu dalam bidang yang diceburi..
· Jika individu melihat pengalaman tersebut sebagai berjaya mencapai tahap masteri, maka keupayaan diri akan meningkat.
· Dalam konteks sukan dan aktiviti fizikal, perlakuan atau prestasi yang berjaya adalah cara yang paling penting dalam proses untuk meningkatkan self efficacy individu (Shaharudin, 2001).
· Kajian Feltz et al. (1999) mendapati bahawa teknik modeling dalam pembelajaran kemahiran yang melibatkan kedua-dua kaedah demonstrasi oleh model hidup dan penglibatan terbimbing oleh atlet, telah menunjukkan hasil tahap pembelajaran masteri yang lebih tinggi berbanding jika pembelajaran dilakukan menggunakan model hidup sahaja atau model di dalam rakaman video.
·
(ii) Pengalaman lalu
· Maklumat tentang keupayaan juga boleh diperoleh melalui proses perbandingan sosial. Pengaruhnya terhadap keupayaan boleh ditingkatkan jika perbandingan dibuat dengan individu yang mempunyai kebolehan atau pengalaman yang lebih rendah terhadap situasi yang sama.
(iii) Pujukan atau dorongan
· Maklumat yang berunsurkan pujukan atau dorongan yang meyakinkan boleh diperoleh secara verbal, percakapan kendiri, imageri dan juga strategi kognitif yang lain (Roberts, 1992).
(iv) Status fisiologi
· Status fisiologi individu juga boleh memberi maklumat mengenai keupayaan seseorang melalui penilaian kognitif yang dilakukan terhadap sesuatu situasi.
· Sebagai contoh, mengaitkan kebangkitan fisiologi dengan kebimbangan dan keraguan, atau menjadi psyched-up semasa sedang bersedia untuk menghadapi perlawanan.
(c) Teori Motivasi Kecekapan Harter
· Teori ini menjelaskan motivasi pencapaian berdasarkan aspek kecekapan diri atlet.
· Atlet yang merasakan bahawa mereka mempunyai kecekapan yang mencukupi dalam sesuatu tugasan biasanya akan melakukan tugasan tersebut tanpa banyak soal, manakala individu yang merasakan bahawa tahap kecekapannya masih terlalu awal, atau langsung tidak mempunyai kecekapan, akan menarik diri dari tugasan tersebut.
· Penilaian kognitif terhadap kejayaan menguasai sesuatu kemahiran akan memberi kesan terhadap motivasi seseorang atlet.
· Jika atlet berjaya dalam sesuatu kemahiran yang ditunjukkan, maka secara tidak langsung motivasi kecekapannya akan meningkat, manakala keinginan untuk terus memahirkan diri dengan kemahiran tersebut juga akan meningkat.
· Tetapi sekali mereka gagal dalam menguasai kemahiran, maka motivasi kecekapan akan menurun dan keinginan untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti kemahiran tersebut juga akan menurun.
(d) Model Keyakinan Sukan Spesifik Vealey
· Model keyakinan sukan spesifik oleh Vealey (1986) adalah merupakan teori motivasi pencapaian yang berasaskan konsep keyakinan sukan.
· Model ini mencadangkan bahawa atlet yang berjaya dalam sesuatu sukan yang tertentu, akan merasakan keyakinan sukan, dan keyakinan tersebut boleh dibawa ke dalam situasi sukan baru yang lain pula.
Atribusi dalam Sukan
Menurut Cox (2007), atribusi adalah satu pendekatan motivasi berbentuk kognitif. Pengasas teori ini iaitu Heider (1944) menjelaskan bahawa manusia berkeinginan untuk menjelaskan tentang apa yang berlaku berdasarkan kepada persepsi mereka perkara tersebut. Tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu boleh dijelaskan menerusi sebab dan musabab (causal attribution) dan kecenderungan faktor trait (dispositional attribution). Sebagai contoh, pemain bola sepak yang berjaya dalam perlawanan bola sepak menyatakan sebab musabab kejayaan mereka adalah kerana semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh ahli pasukan (causal attribution). Manakala seseorang atlet yang lain selalu memenangi pertandingan disebabkan beliau mempunyai ciri-ciri atlet overachiever (dispositional attribution).
Setiap atribut yang dilahirkan oleh individu akan mempengaruhi perasaan, tingkah laku, keyakinan serta motivasi terhadap tindakan susulan pada masa hadapan kerana individu sentiasa membuat persepsi terhadap kesan dan akibat bagi sesuatu tindakan yang dilakukan. Walau bagaimanapun, atribusi terdedah dengan masalah bias. Bias dalam atribusi terbahagi kepada empat jenis iaitu Bias maklumat, bias persepsi, bias motivasi dan bias atribusi khidmat diri
Antara model atribusi yang boleh membantu dalam menjelaskan perihal atribusi dalam konteks sukan dan pertandingan adalah seperti berikut:
MODEL | PENERANGAN | ||||
Model Atribusi Kognitif | o Diasaskan oleh Weiner (1980) yang diadaptasi daripada teori lokus kawalan dan teori atribusi. Weiner mencipta formula seperti berikut:
| ||||
Model Kognitif Sosial | Model kognitif sosial menekankan peranan self-efficacy, masteri dan pencapaian matlamat dalam menjelaskan tingkah laku. Berdasarkan model ini, lahirlah beberapa pendekatan teori seperti yang berikut: (i) Teori Self-Efficacy Kejayaan atau kegagalan bergantung kepada kepercayaan individu terhadap kebolehan diri sendiri dan kepercayaan bahawa kebarangkalian sesuatu tingkah laku akan menghasilkan sesuatu. Teori ini mengandungi unsur keyakinan diri dan tanggapan terhadap hasil tingkah laku. (ii) Teori Perceived Competence Mengaitkan kejayaan dan kegagalan dengan penilaian positif atau negatif yang diterima daripada orang-orang yang berkepentingan seperti ibu bapa, ketua pasukan, jurulatih dan rakan sebaya. (iii) Model Pencapaian Matlamat Kejayaan dan kegagalan dikaitkan dengan persepsi tentang unsur-unsur penting yang perlu ada dalam usaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Kejayaan atau kegagalan didorong oleh interaksi kompleks antara matlamat individu dan tafsiran mereka terhadap persekitaran | ||||
Model Functional | o Model atribusi ini menekankan bahawa kejayaan dan kegagalan bergantung kepada usaha untuk menetapkan motivasi seperti yang dijelaskan menerusi atribusi khidmat diri. o Kejayaan sering dikaitkan dengan faktor dalaman individu manakala kegagalan pula sering dikaitkan dengan faktor luaran individu. |
maklum balas, peneguhan dan motivasi intrinsik
Apakah yang dimaksudkan dengan peneguhan? Cuba anda fahami eksperimen yang dijalankan oleh Skinner ini. Skinner meletakkan seekor tikus di dalam sebuah kotak eksperimen, dan memberi tikus tersebut makanan setiap kali tikus memijak butang elektronik yang terdapat pada dinding kotak. Pada mulanya, tingkah laku tikus adalah secara rambang seperti melompat, berlari ke sana sini, menghidu, memanjat dan sebagainya. Apabila ia secara tidak sengaja tersentuh butang elektronik, makanan akan terkeluar dari bekasnya. Setelah beberapa kali perbuatannya menyentuh butang elektronik tersebut boleh menghasilkan makanan, akhirnya tikus tahu bahawa jika ia menyentuh butang elektronik tersebut, ia akan mendapat makanan. Selepas itu, perbuatan menyentuh butang elektronik akan kerap dilakukan oleh tikus bagi mendapatkan makanan. Berdasarkan eksperimen tersebut, adakah anda kenal pasti unsur-unsur peneguhan yang menyebabkan tingkah laku menyentuh butang elektronik semakin meningkat?
Prinsip-Prinsip Peneguhan
Peneguhan adalah satu proses pengukuhan tingkah laku yang disebabkan oleh kesan yang segera terhasil selepas berlakunya tingkah laku tersebut. Apabila tingkah laku diperkukuhkan, maka ia akan kerap dilakukan pada masa akan datang. Tingkah laku yang dikukuhkan melalui proses peneguhan disebut sebagai tingkah laku operan. Tingkah laku operan bertindak balas terhadap persekitaran untuk menghasilkan sesuatu kesan yang akhirnya tingkah laku operan dikawal dan berlaku disebabkan kesan tersebut. Peneguhan terbahagi kepada dua iaitu:
Sesuatu perlakuan akan disusuli oleh suatu pertambahan rangsangan yang positif yang akan meningkatkan lagi kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Tingkah laku akan menghasilkan stimulus yang positif dan hasilnya, kekerapan tingkah laku akan terus meningkat.
(b) Peneguhan Negatif
Sesuatu perlakuan akan disusuli dengan penghapusan rangsangan yang negatif akan meningkatkan lagi kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Tingkah laku ditingkatkan bagi menghalang rangsangan yang negatif. Hasilnya, kekerapan tingkah laku akan terus meningkat.
Bagi memastikan keberkesanan peneguhan, sebaiknya peneguhan hadir sebaik sahaja perlakuan dibuat. Ada kala peneguhan diberi dalam keadaan yang sangat baik, tetapi disebabkan sedikit kelewatan atau gagal diberi dengan cara yang sempurna maka keberkesanan peneguhan menjadi kurang. Aspek penghasilan operasi (establishing operation) iaitu situasi yang mengubahsuai nilai sesuatu peneguhan itu supaya ia boleh menjadi sangat bermakna atau kurang bermakna dalam sesuatu keadaan yang tertentu, turut menyumbang kepada keberkesanan peneguhan. Contohnya, peneguhan berbentuk makanan dan minuman adalah sangat bermakna bagi individu yang sangat lapar, tetapi bukan bagi individu yang sedang kenyang.
Hukuman dan Dendaan
Apakah yang dimaksudkan dengan hukuman? Apabila sesuatu tingkah laku negatif ditunjukkan oleh si pelaku, kesan langsung yang diterima selepas perlakuan tersebut adalah sejenis rangsangan yang menyakitkan. Hasilnya, kebarangkalian tingkah laku negatif untuk berulang pada masa akan datang akan berkurang. Hukuman ialah kesan langsung yang diterima membuatkan sesuatu tingkah laku menjadi lemah. Sesuatu rangsangan dilihat sebagai penghukum apabila ia mengurangkan kekerapan sesuatu tingkah laku.
Seperti peneguhan, hukuman juga wujud dalam bentuk positif dan negatif. Premack principle adalah contoh kaedah yang menggunakan prinsip hukuman positif iaitu seseorang individu dikehendaki melakukan perkara yang tidak disukainya sekiranya dia melakukan kesalahan. Prinsip hukuman negatif pula wujud dalam kaedah time-out iaitu sekiranya seseorang melakukan kesalahan, dia akan dikenakan hukuman dalam satu jangka waktu yang ditetapkan, manakala dalam kaedah response cost, seseorang yang diberi mata ganjaran kerana penglibatannya dalam sesuatu aktiviti akan ditarik mata ganjaran sedikit demi sedikit sekiranya dia melakukan kesalahan.
Tidak dinafikan hukuman atau dendaan mengaplikasikan rangsangan yang menyakitkan bagi mengurangkan tingkah laku bermasalah. Walau bagaimanapun, penggunaan hukuman dan dendaan harus dilakukan dengan berhati-hati. Sebaiknya, guna prosedur yang tidak menyakitkan dahulu untuk mengurangkan tingkah laku bermasalah dan meningkatkan tingkah laku yang diingini, kemudian barulah diikuti dengan rangsangan yang lebih menyakitkan. Laksanakan peneguhan berbeza dengan hukuman, oleh yang demikian fokus hukuman bukan sahaja untuk mengurangkan tingkah laku masalah tetapi meningkatkan dan mewujudkan tingkah laku yang diingini. Sebelum melaksanakan prosedur hukuman, lakukanlah penilaian fungsional bagi memahami sebab musabab sesuatu tingkah laku masalah. Pemilihan rangsangan yang menyakitkan atau rangsangan yang tidak menyenangkan harus dibuat secara berhati-hati. Kenal pasti maklumat tingkah laku bermasalah tersebut, barulah memilih rawatan yang bersesuaian sama ada perlu diberi hukuman atau prosedur lain yang lebih ringan. Selain itu, kenal pasti etika dalam perlaksanaan hukuman.
Modifikasi Tingkah Laku
Mengapa perlu melakukan proses modifikasi tingkah laku? Apakah peranan peneguhan dan hukuman dalam modifikasi tingkah laku? Tingkah laku ialah apa yang manusia lakukan dan katakan, merangkumi aksi individu, dan bukannya ciri-ciri individu yang statik. Jika anda melihat seseorang sedang marah berdasarkan memek muka dan nada suaranya, itu bukanlah disebut sebagai tingkah lakunya.
Tingkah laku boleh diperhatikan, dijelaskan, direkodkan oleh orang lain dan oleh individu yang melakukannya sendiri. Tingkah laku mempunyai implikasi yang tersendiri ke atas persekitaran, termasuklah persekitaran fizikal dan sosial orang lain dan individu yang melakukannya.
Oleh kerana tingkah laku adalah pergerakan yang merentasi ruang dan masa serta bersifat lawful dan mempunyai hubungan fungsional dengan persekitaran, maka ia mempunyai kesan ke atas persekitaran tempat berlakunya tingkah laku tersebut. Prinsip asas inilah yang menjelaskan bagaimana tingkah laku manusia dipengaruhi, atau wujud sebagai fungsi peristiwa dalam persekitaran dan menjadi asas kepercayaan kepada modifikasi tingkah laku.
Modifikasi tingkah laku adalah cabang psikologi yang berfokus terhadap analisis dan proses modifikasi tingkah laku manusia. Proses modifikasi tingkah laku memerlukan individu menganalisis dan mengenal pasti hubungan fungsional antara persekitaran dan tingkah laku bertujuan untuk memahami dengan lebih lanjut sebab berlakunya tingkah laku atau untuk menentukan sebab seseorang itu berkelakuan sebegitu.
Seterusnya, modifikasi dilakukan dengan cara membina dan melaksanakan prosedur bagi membantu individu mengubah perlakuannya, merangkumi aktiviti pengubahsuaian persekitaran supaya ianya dapat mempengaruhi tingkah laku. Prosedur modifikasi tingkah laku biasa digunakan oleh ahli profesional dalam membantu individu mengubah tingkah laku sosial yang signifikan, dengan matlamat untuk meningkatkan lagi sesetengah aspek kehidupan manusia.
Fokus modifikasi tingkah laku adalah untuk mengubah tingkah laku, bukannya mengubah ciri-ciri atau trait individu. Contohnya, modifikasi tingkah laku bukan digunakan untuk mengubah sesuatu label yang diberikan terhadap seseorang (seperti Ali adalah kanak-kanak autisme), tetapi ia digunakan untuk mengubahsuai tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan oleh penghidap autisme berkenaan.
Tingkah laku sasaran yang ingin diubah dalam modifikasi tingkah laku disebut sebagai tingkah laku excesses dan tingkah laku defisit. Tingkah laku excesses bermaksud tingkah laku yang tidak diingini dan perlu dikurangkan frekuensi, jangka masa dan kekuatannya seperti tingkah laku merokok, manakala tingkah laku defisit bermaksud tingkah laku yang ingin ditingkatkan frekuensi, jangka masa dan kekuatannya seperti tingkah laku belajar dan latihan.
Bagi melaksanakan prosedur modifikasi dengan berkesan, maka prinsip-prinsip asas tingkah laku seperti peneguhan, hukuman dan dendaan dan penghapusan amat diperlukan kerana ia menjadi motivasi kepada individu yang ingin berubah untuk mencapai matlamat pengubahsuaian tingkah laku.
0 comments:
Post a Comment