Thursday, August 11, 2011

PERKEMBANGAN PRESTASI KEMAHIRAN ASAS MOTOR KANAK-KANAK



Pada awal tahun 1931, Shirley (petikan Isaacs & Pyne, 2002) telah membuat kajian terhadap bayi seramai 25 orang mengenai obesiti yang mempengaruhi penglibatan perkembangan motor. Ini terbukti apabila hasil kajian yang diperolehinya mendapati bahawa bayi yang mempunyai obesiti melambatkan mereka melakukan pergerakan untuk berjalan. Ini disebabkan oleh bebanan yang ditanggung oleh mereka dalam melakukan pergerakan. Bukti ini dapat diperkukuhkan lagi apabila Jaffe dan Kosakov (1982) membuat kajian yang sama dan hasil yang diperolehinya juga sama seperti kajian yang dibuat oleh Shirley.

Umur, jantina dan komposisi badan juga mempengaruhi kanak-kanak dalam melaksanakan kebolehan asas motor. Ini terbukti apabila pada tahun 1983, penyelidik Pissanos, Moore dan Reeve (petikan Isaacs & Payne, 2002) membuat kajian terhadap kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia 6 hingga 10 tahun dengan menggunakan “Skinfold Fat Test”. Kajian ini juga disokong oleh Isaac dan Pohlman’s (2000) (petikan Isaacs & Payne, 2002) di mana mereka menyatakan bahawa peningkatan berat badan akan mempengaruhi pencapaian keupayaan kemahiran asas motor sepertimana penyelidik membuat ujian lompat berdiri (vertical jump) terhadap murid sekolah rendah yang berumur 7 hingga 11 tahun.

Pada tahun 1978, Miller (petikan Gallahue, 2002), menyatakan bahawa proses pembelajaran kemahiran pergerakan asas berlaku ketika kanak-kanak berusia 3 hingga 5 tahun. Beliau telah menjalankan kajian mengenai program pengajaran yang berkaitan dengan arahan yang boleh meningkatkan kemahiran asas pergerakan, apabila mereka mencapai tahap kematangannya. Pembinaan motor kanak-kanak juga berlaku ketika usia mereka 2 hingga 6 tahun. Kajian ini dilakukan pada tahun 1973 oleh Sinclair (petikan Gallahue, 2002), apabila keputusan daripada analisis ‘longitudinal film’ yang dibuat menyatakan bahawa pergerakan dalam andaian permulaan untuk memberi galakan ianya maju adalah dalam jarak masa 6 bulan. Oleh itu, kemahiran pergerakan boleh diperolehi ketika awal kanak-kanak lagi. Manakala William’s pada tahun 1970 (petikan Gallahue,2002), membuat kesimpulan bahawa keupayaan pergerakan kanak-kanak berlaku ketika berusia antara 3 hingga 6 tahun lagi dan pergerakannya lebih meningkat seiring dengan peningkatan umur mereka.

Pada tahun 1962, Johnson (petikan Gallahue, 2002) menyatakan bahawa umur dan ‘motor performance’ mempunyai hubungkait. Beliau membuat kajian terhadap kanak-kanak lelaki dan perempuan daripada tahun 1 hingga tahun 6 dan di dapati skor variasi motor yang diperolehinya dapat menunjukkan dengan jelas ketika mereka pada tahap yang ke-5. Pada tahun 1969 Cratty dan Martin (petikan Gallahue, 2002) juga menyatakan bahawa umur dan ‘motor performance’ mempunyai hubungkait. Kajian ini dilakukan terhadap kanak-kanak yang berusia 4 hingga 12 tahun dan didapati ianya mengikut urutan dalam hasil kajian yang diperolehinya dari segi variasi lokomotor, manipulatif dan persepsi abiliti (keupayaan).

Kajian tentang hubungan antara umur, ketinggian dan berat badan dengan ujian yang melibatkan larian, lompatan dan balingan dilakukan oleh Espenchade (1963). Kajian yang dijalankan melibatkan 7600 orang pelajar yang berumur 10 hingga 18 tahun. Berdasarkan kajian tersebut didapati kolerasi antara ujian prestasi dengan ketinggian, berat badan untuk setiap peringkat umur adalah rendah. Angkubah jarak balingan dan ketinggian bagi lelaki berumur 13 tahun menunjukkan kolerasi yang tinggi. Di samping itu, norma prestasi berdasarkan faktor umur turut dibentuk.
Kajian mengenai perbezaan umur dan jantina terhadap kanak-kanak yang berumur 3 hingga 6 tahun telah dilakukan oleh Morris, William, Atwater dan Willmore pada tahun 1982. Dari segi faktor jantina, murid lelaki dalam kumpulan umur yang sama, mempunyai skor ujian yang lebih baik berbanding dengan murid perempuan dalam ujian membaling, lari pecut dan lompat berdiri. Perbezaan di antara jantina dalam prestasi kemahiran motor telah berlaku lebih awal lagi, iaitu semasa murid di peringkat prasekolah lagi (Morris et al.,1982). Perbezaan ini lebih ketara lagi apabila murid perempuan sedang meningkat umur.

Pada tahun 1983, Rubin, Fein & Vandenburg dan pada tahun 1988, Rogers & Sawyers, satu kajian telah dilakukan ke atas murid - murid prasekolah berkaitan kemahiran motor melalui bermain. Beliau berpendapat bahawa bermain, bergerak dan melakukan aktiviti fizikal adalah sangat penting dalam perkembangan sosial mereka. Beliau juga berpendapat bahawa Pendidikan Kemahiran Motor adalah satu tanggungjawab untuk menyediakan maklumat kepada kanak-kanak tersebut berkaitan dengan kebolehan dirinya dan juga prestasinya.

Setiap kajian yang dijalankan turut melibatkan lakuan motor ke atas kanak-kanak berkeperluan khas dan tidak hanya tertumpu kepada lelaki dan perempuan dewasa sahaja. Kajian lakuan motor di antara kanak-kanak normal dengan kanak-kanak terencat akal (educable mentally retarderal) telah dijalankan oleh Dobbins (1981). Berdasarkan Johnson dan Nelson (1986), didapati bahawa kekerapan latihan dan pembelajaran membolehkan kanak-kanak terencat akal mengatasi kanak-kanak normal dalam beberapa aktiviti lakuan motor.

Ujian lakuan motor ‘ Barrow Motor Ability Test’ oleh Barrow (1954), menggunakan subjek daripada pelajar lelaki kolej. Hasil daripada kajian, dua set bateri ujian diperkenalkan oleh Barrow. Bateri ujian pertama terdiri daripada enam item iaitu lompat jauh berdiri (kuasa), lontar softball (koordinasi lengan bahu), larian zig zag (ketangkasan), lontar bola segar (kekuatan), lantun bola ke dinding (koordinasi mata – tangan), dan lari pecut 60 ela (kepantasan). Bateri ujian kedua terdiri daripada tiga item iaitu lompat jauh berdiri, lontar bola segar dan larian zig zag. Pada asalnya ujian ini, mempunyai lapan item ujian iaitu termasuk keseimbangan dan kelembutan tetapi enam sahaja digunakan (seperti di atas). Ini kerana enam ujian ini yang dipilih dapat menjangkakan sebanyak 70% varian keupayaan pelajar.

Hasil kajian Revie dan Larkin (1993) menunjukkan bahawa guru Pendidikan Jasmani tidak berupaya mengenal pasti murid yang mempunyai masalah perkembangan motor. Perkara tersebut berlaku kerana didapati guru kurang latihan profesional dalam aspek lakuan motor kanak-kanak.

Pada tahun 2001, Achuldheisz dan Mars telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti perhubungan antara penyeliaan aktif guru dengan tahap aktiviti pelajar. Oleh itu, beliau telah melakukan kajian ke atas lapan orang pelajar dari sekolah menengah rendah yang dipilih secara rawak menjalani ujian selama dua minggu. Aktiviti yang dipilih adalah kemahiran dalam permainan bola keranjang. Kajian mendapati, peningkatan tahap aktif daripada 60% kepada 76% pada hari ke empat dan ke lima penyeliaan aktif guru. Manakala pada hari ke enam, penurunan tahap aktif berlaku daripada 76% kepada 46% apabila guru melakukan penyeliaan yang pasif. Hasil daripada kajian tersebut, Achuldheisz dan Mars telah membuat rumusan bahawa penyeliaan aktif berupaya meningkatkan penguasaan dalam kemahiran berkaitan dengan aktiviti fizikal.
Kajian awal tentang ujian kemahiran asas motor dan kecergasan fizikal telah dilakukan oleh AAHPER (Amerika Alliance For Health, Physical Education and Recreation 1958 & 1965). Kajian ini telah menggunakan tujuh item ujian iaitu mendagu, bangkit tubi, kaki lurus, lari ulang alik (4 x 30 kaki), lompat berdiri, lari landas 50ela, membaling bola sofball dan lari atau berjalan 600 ela. Tetapi pada tahun 1976, AAHPERD telah memperkenalkan “Youth Fitness Test” untuk mengenal pasti beberapa ujian yang terdahulu yang perlu dibaiki atau dihapuskan. Pada tahun 1976, AAHPERD telah menjalankan satu kajian dan telah menghasilkan norma ujian kemahiran asas motor dan kecergasan fizikal untuk murid 10-17 tahun. Menurut Ross, Pate dan Corbin (1987), ujian ini adalah ujian yang pertama bagi menguji prestasi lakuan motor murid.

Lanjutan daripada item ujian yang diperkenalkan oleh AAHPERD (1976), ramai penyelidik telah menjalankan kajian perbandingan mengenai item yang sama dan mengubahsuai item yang sedia ada. Pada tahun 1976 juga, Milne, Seefeldt dan Reuschlein telah membuat kajian tentang perhubungan antara jantina dan gred ke atas prestasi motor murid tadika gred satu dan gred dua. Hasil daripada kajian itu menunjukkan semua murid dari peringkat gred ini memperolehi keputusan yang signifikan bagi ujian yang berkaitan dengan kelajuan, kuasa dan daya tahan. Dalam ujian ini, murid lelaki mempunyai prestasi yang lebih baik dalam ujian ketangkasan, kelajuan dan kuasa tapi tidak pada ujian kelembutan dikuasai oleh murid perempuan. Manakala prestasi murid tadika gred dua lebih baik berbanding dengan murid tadika gred satu. Secara keseluruhannya, prestasi murid lelaki adalah lebih baik berbanding
murid perempuan bagi setiap gred dalam ujian perlakuan motor.

Menurut Mc Cullagh, Stient dan Neiss (1990), pelajar yang lebih tua di sekolah rendah dapat melakukan aktiviti kemahiran motor yang lebih baik berbanding dengan pelajar yang lebih muda. Branta (1982), juga memperoleh dapatan yang sama di mana beliau mendapati bahawa kumpulan pelajar sekolah rendah yang lebih tua mempunyai prestasi lakukan kemahiran asas motor yang baik. Perkara ini berlaku kerana pelajar tersebut mempunyai kelebihan tisu-tisu otot, kepanjangan ruas tulang, kecekapan koordinasi, kuasa otot dan kekuatan otot yang meningkat baik. Selain itu, pelajar yang mengalami perkembangan fizikal yang lebih awal menunjukkan kelebihan dalam aktiviti larian pecut, membaling dan memukul bola. Ini jelas menggambarkan bahawa faktor umur memberi pengaruh terhadap prestasi kemahiran asas motor.

Prestasi lakuan motor boleh dipengaruhi oleh perubahan biologi yang berbeza pada murid. Perkara ini telah dirumuskan oleh Thomas dan French pada tahun 1985. pengaruh persekitaran yang berbeza di antara murid lelaki dan perempuan juga boleh mempengaruhi prestasi dalam perlakuan motor mereka. Bentuk alatan, jenis permainan dan kemudahan yang disediakan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat juga boleh membezakan perlakuan motor di antara murid lelaki dan perempuan (Morris, 1981). Di sini kita dapat lihat, bahawa kanak-kanak lelaki mempunyai otot lengan yang lebih kuat berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Faktor-faktor biologikal seperti berat badan, komposisi badan dan diameter sendi mempengaruhi prestasi kanak-kanak perempuan. Dalam balingan pula, kanak-kanak perempuan tidak dapat membuat balingan sejauh kanak-kanak lelaki kerana tahap perkembangan dan corak pergerakan mereka kurang diberi galakan dalam latihan.

Dalam mengenal pasti faktor imbangan, Whelan telah melaporkan tentang faktor yang berhubung dengan kajian Bass iaitu tindak balas kinestetik am, fungsi vertikal semi circular canal, ampurlar sensiviti dan juga pemusatan mata. Wlelan mendapati tahap imbangan orang buta dan orang yang normal penglihatan adalah berbeza. Bagi orang buta mereka masih boleh mencapai imbangan melalui deria dengar dan juga sentuhan (di petik daripada Johnson dan Nelson, 1988). Cratty (1966), pula mendapati bahawa kanak-kanak lelaki yang berumur bawah enam tahun tidak mempunyai kemahiran imbangan yang baik lagi. Di mana melalui kajian beliau mendapati bahawa kanak-kanak lelaki ini tidak dapat melakukan dirian dengan menggunakan satu kaki ketika sebelah mata ditutup dengan baik. Oleh itu mereka akan mempertingkatkan lagi kebolehan mereka ini dari masa ke semasa. Oleh itu, umur didapati mempunyai perkaitan dengan kebolehan mengimbangkan badan.

E.J. Spamer (1985), dalam kajiannya telah mendapati bahawa latihan yang spesifik mempunyai perkaitan dalam pembelajaran motor. Hasil dapatan kajian menunjukkan perbezaan yang signifikan dalam kemampuan dalam kalangan kumpulan eksperimen yang berbeza dan menerima pelbagai jenis latihan. Perbezaan didapati pada semua kumpulan peringkat umur. Penguasaan kemahiran motor boleh dicapai dengan sempurna melalui latihan yang dibuat samada secara formal atau tidak formal. Ini telah dibuktikan dalam kajian yang dilakukan oleh Paul Dunham, Jr., Trey Dunham dan Timothy Andrew Dunham (1988). Dalam kajian ini pengkaji telah memilih seramai 51 orang sampel gred 1 di Kinona Primary School, Papua New Guinea. Hasil dapatan yang diperolehi daripada kajian ini menunjukkan latihan yang tersusun dan spesifik dapat memberikan kesan yang signifikan dalam membentuk sistem kemahiran di kalangan pelajar.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Jerry R.Thomas dan Karen E.French (1985), mereka telah mendapati terdapat perbezaan dalam pelakuan motor antara lelaki dan perempuan mengikut umur. Dalam hasil kajian yang mereka lakukan, mereka tidak bersetuju bahawa wanita tidak boleh mempunyai kemahiran yang tinggi dalam beberapa jenis sukan, apa yang penting ialah pemilihan mereka dalam jenis sukan yang hendak disertai yang mana ianya melibatkan perbezaan dari segi faktor biologi.

Rowe dan Evans (1994), mendapati peserta yang mempunyai mata (retina) yang gelap (coklat dan hitam) mempunyai prestasi yang tinggi terhadap aktiviti yang memerlukan reaksi yang tinggi (memukul bola yang dibaling atau di lantun) berbanding dengan peserta yang mempunyai retina mata yang cerah (biru, hijau dan hazel). Mereka turut memperolehi bahawa prestasi peserta lelaki lebih baik jika dibandingkan dengan prestasi peserta perempuan muda dalam aktiviti memukul bola ke hadapan. Pukulan mereka juga turut dipengaruhi oleh warna bola yang hendak dipukul iaitu bola biru lebih baik berbanding dengan bola berwarna kuning atau hijau. Manakala Morris (1976) pula melaporkan bahawa warna yang kontra (contrasts) antara bola dan latar belakang mungkin mempengaruhi tindak balas bagi persepsi motor. Bola warna biru dan latar belakang putih merupakan padanan kontra yang baik.

Pissanos,Moore dan Reeve (1983), menjalankan kajian keatas 80 orang peserta untuk melihat kesan umur, jantina dan komposisi badan ke atas prestasi kemahiran motor. Beliau mendapati umur memainkan peranan penting dalam keupayaan prestasi perlakuan kemahiran motor ke atas ujian kemahiran asas motor (Pate, ross, Dotson dan Gilbert,1985).

Satu lagi kajian yang dijalankan oleh Morris, William Atwater dan Wilmore (1982) berkaitan dengan kesan umur dan jantina ke atas prestasi kemahiran asas motor. Kajian ini dijalankan ke atas pelajar lelaki dan pelajar perempuan yang mempunyai umur yang sama. Hasil kajian mendapati bahawa pelajar lelaki dan perempuan tersebut memperolehi skor yang hampir sama dalam ujian membaling. Manakala didapati bahawa pengaruh umur juga signifikan dalam kemahiran menangkap dan keseimbangan. Menurut pendapat Eaton dan Erns (1986), faktor biologi memainkan peranan dalam perbezaan jantina semasa mlakukan aktiviti lakuan motor. Mereka mendapati lelaki lebih aktif jika hendak dibandingkan dengan perempuan.

Rumusan
Melalui hasil kajian lampau yang diperolehi, kita dapat lihat bahawa pencapaian kemahiran asas motor boleh dilihat dari peringkat umur kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun ke atas lagi. Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa perlulah memainkan peranan dan galakan kepada kanak-kanak dalam lingkungan usia ini kerana ianya adalah amat signifikan bagi memperolehi kemahiran asas motor yang lebih dan jitu. Pada masa yang sama juga, sebagai seorang pendidik yang telah diamanahkan perlulah melaksanakan apa yang dikehendaki dalam sukatan pelajaran supaya kanak-kanak ini dapat merasai apa yang dikehendaki dalam pembinaan kemahiran asas motor.

Berdasarkan kajian lampau juga kita dapati pelbagai faktor mempengaruhi kemampuan pelajar untuk melakukan kemahiran asas motor dengan baik. Antara faktor penting adalah faktor fizikal, latihan dan persekitaran. Faktor umur, jantina juga menunjukkan pengaruh ke atas prestasi kemahiran asas motor seseorang. Sekiranya guru peka mengenai perbezaan individu yang wujud dalam kalangan pelajarnya, beliau boleh meningkatkan keupayaan tahap prestasi kemahiran asas motor pelajar dan guru sendiri dengan menggunakan pelbagai cara, situasi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk memperbaiki kelemahan ini.

2 comments:

  1. minta izin gunakan ilmu ni untuk siapkan tugasan saya. TQ :)

    ReplyDelete
  2. tq. maklumat yang sangat berguna.

    ReplyDelete