Pentaksiran kognitif
Fitts dan Posner (1967) dalam model perolehan kemahiran tiga peringkat (peringkat kognitif, perkaitan dan automatik) mencadangkan bahawa individu ‘beginner’ menggunakan proses kognitif pada peringkat awal pembelajaran kemahiran. Dalam proses pembelajaran kemahiran motor. Magill (2003) menyatakan peringkat kognitif adalah merupakan fokus kepada penyelesaian masalah kognitif seperti menjawab soalan. Pada peringkat ini pelajar akan melakukan banyak kesilapan dan mereka biasanya menerima kesilapan yang dilakukan. Pelajar juga digalakkan melibatkan diri secara aktif dan menerima maklum balas daripada guru.
Peringkat kedua adalah peringkat perkaitan. Ciri-ciri aktiviti kognitif mula berubah pada peringkat ini kerana pelajar telah belajar mengaitkan beberapa ‘cue’ dengan pergerakan bagi mencapai matlamat kemahiran. Pada peringkat ini juga kesilapan telah dapat dikurangkan disebabkan pelajar telah menguasai beberapa kemahiran asas. Fokus pada peringkat ini adalah melakukan kemahiran dengan baik dan konsisten.
Setelah menjalani latihan dan mendapat pengalaman selama beberapa tahun, peringkat pembelajaran akan berada peringkat automatik. Individu pelajar yang telah mencapai peringkat ini telah menguasai kemahiran yang dipelajari dan tidak lagi mengambil masa yang lama untuk berfikir kerana semua pergerakan berlaku secara automatik. Pelajar masih melakukan beberapa kesilapan kecil tetapi mereka sendiri berupaya mengatasinya sendiri.
Pentaksiran psikomotor
Banyak kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati corak pencapaian psikomotor yang lebih memihak kepada pelajar lelaki. Sebagai contoh, lelaki lebih tangkas dalam masa reaksi berbanding perempuan (Adam et al., 1999; Dane & Erzurumlugoglu, 2003; Der & Deary, 2006; Spierer et al.,2010). Kajian Adam et al. (1999) melaporkan lelaki menggunakan strategi dalam permainan yang lebih kompleks berbanding perempuan.
Teori perkembangan Arnold Gesell amat mementingkan kematangan sebagai pengerak utama kepada perkembangan seseorang individu dalam proses pembelajaran (IPSI, 1994). Semua perkembangan mengikut pola dan urutan tertentu serta dikawal oleh kematangan dan kadar pertumbuhan individu. Setiap individu adalah unik dan bersifat individualiti. Oleh itu, pelajar hendaklah dibenarkan berkembang mengikut kadar perkembangannya sendiri. Ini bermakna mereka tidak boleh dipaksa untuk membuat sesuatu tanpa mengambil kira peringkat perkembangan dan kematangannya.. Guru seharusnya mengenal pasti latar belakang pelajar untuk mengetahui perbezaan individu pelajar.
Pentaksiran afektif
Kebanyakan pendidik sering mengabaikan domain afektif dalam pengajaran dan pembelajaran kerana faktor kesukaran dalam membuat penilaian terhadap nilai afektif (McLeod, 1991; Romiszowski, 1989; Title & Hecht, 1989). Kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional dikatakan sering menitikberatkan domain kognitif berbanding afektif (Peterson & Augustine, 2000). Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pelajar lebih menghargai strategi pengajaran yang menekankan hasil pembelajaran afektif (McTeer & Blanton, 1978). Menurut Thompson & Mintz (2000) dan Williams (2003), guru yang menolak hasil pembelajaran afektif boleh mengurangkan motivasi untuk terus belajar terutama dalam pembelajaran kemahiran. Oleh yang demikian, proses pengajaran dan pembelajaran guru dalam topik kemahiran Pendidikan Jasmani hendaklah mengambil berat tentang penilaian nilai afektif yang diperoleh sebagai hasil pembelajaran.
Ahli psikologi kognitif yang lain seperti Jean Piaget (1967), Bruner (1963), dan Ausubel (1963) juga sependapat pentingnya variable struktur kognitif dan proses kognitif dalam dalam menggalakkan pembelajaran bermakna di bilik darjah. Rink (2002) menjelaskan proses pembelajaran yang berkesan adalah situasi di mana pelajar dapat meningkatkan kefahaman melalui proses kognitif, membina kecekapan sesuatu kemahiran melalui pergerakan psikomotor dan menerapkan nilai-nilai afektif yang baik melalui aktiviti sosialisasi.
0 comments:
Post a Comment