Monday, April 11, 2011

Kesan penglibatan sukan terhadap prestasi akademik



McPherson, Curtis dan Loy (1989) melaporkan bahawa senaman jasmani mempunyai kesan yang penting ke atas perkembangan kognitif. Mereka telah mengkaji pengaruh aktiviti-aktiviti fizikal ke atas penguasaan struktur-struktur kognitif di kalangan remaja lelaki dan perempuan yang berumur 11 tahun. Mereka yang aktif dalam kegiatan jasmani mencatatkan perkembangan sebanyak enam kali ganda berbanding dengan kanak-kanak yang tidak aktif. Kanak-kanak yang aktif dalam sukan juga menunjukkan daya kefahaman (depth of understanding) yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak aktif.

Snyder dan Spreitzer (1990) membuat kajian ke atas pelajar-pelajar perempuan di sekolah-sekolah tinggi di Ohio. Keputusan yang diperolehi membuktikan bahawa pelajar perempuan yang terlibat dalam sukan dan muzik berupaya untuk memperolehi pencapaian yang tinggi dalam bidang akademik. Manakala pencapaian pelajar-pelajar yang terlibat dalam hanya aktiviti sukan sahaja sahaja adalah tidak berbeza dengan pelajar yang terlibat dalam aktiviti muzik sahaja. Ini membuktikan bahawa hubungan di antara penglibatan dalam aktiviti sukan dan pencapaian akademik di kalangan pelajar perempuan adalah positif. Mereka mencadangkan supaya faktor penglibatan dalam aktiviti sukan diambilkira dalam perancangan program pendidikan untuk pelajar-pelajar remaja yang mempunyai gred yang rendah.

William (1995) menyatakan semakin tinggi tahap kecergasan seseorang individu itu, maka semakin baik tahap konsentrasi, daya pemikiran semakin cergas dan baik serta tahap keefisyenan kerjanya lebih positif. Latihan jasmani dapat menenangkan serta mengelakkan stres terhadap kerja. Cheah (1996) telah mengkaji sekumpulan murid-murid dari sebuah sekolah swasta di Selangor. Sekolah ini dipilih kerana kebanyakan murid-muridnya mempunyai kemampuan akademik yang jauh lebih tinggi dari kanak-kanak yang sebaya dengan mereka. Satu tanda kebolehan luar biasa mereka ialah sungguh pun kebanyakan subjek kajian ini terdiri daripada murid darjah lima namun mereka berupaya mengikuti sukatan pelajaran tingkatan satu. Kajian ini meliputi 21 orang kanak-kanak yang berumur enam hingga sepuluh tahun. Kesemua murid ini menyatakan bahawa mereka suka bermain kecuali seorang kanak-kanak perempuan. Hasil kajian membuktikan bahawa kesan latih tubi yang ditentukan oleh penglibatan dalam aktiviti sukan akan menentukan kebolehan kanak-kanak untuk mempelajari dan menguasai kemahiran asas pergerakan.

Dexter (1998) membuat kajian mengenai perkaitan antara pengetahuan sukan, prestasi sukan dan pencapaian akademik. Pencapaian akademik dan jantina merupakan  pembolehubah penting yang mempengaruhi pencapaian penguasaan konsep pengetahuan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Beliau mendapati pelajar lelaki memperoleh markah yang tinggi dalam pengetahuan sukan berbanding golongan pelajar wanita dan  dapatan ini adalah stabil merentasi pelbagai sekolah dalam kajian beliau. Penemuan ini menyokong teori bahawa faktor pengetahuan dan  kemampuan akademik mempengaruhi pencapaian prestasi dalam bidang sukan merupakan faktor penting dalam pengetahuan sukan.

1 comment: