Wednesday, April 13, 2011

Perbezaan Gender dari aspek kognitif dalam Pendidikan Jasmani


Di negara-negara Barat (Norway, Sepanyol, Jerman, Inggeris, Amerika Syarikat, Great Britain, Perancis) beberapa kajian menunjukkan bahawa pelajar perempuan lebih cenderung untuk menyertai kegiatan fizikal dan sukan berbanding pelajar lelaki (Fredricks & Eccles, 2002 dan  Hartmann-Tews & Pfister, 2003). Walaupun secara umum, jurang gender berkaitan penyertaan dalam sukan semakin menurun, ada  bukti menunjukkan bahawa penyertaan mereka adalah berbeza dalam kegiatan sukan berdasarkan ciri-ciri maskulinism dan feminism (Eccles & Harold, 1991; Pfister, 1993).

Aspek Domain Kognitif

Perkembangan kognitif bagi pelajar awal remaja menunjukkan perubahan dan peningkatan semakin ketara dan mereka mula berfikir secara abstrak yang dikenali sebagai pemikiran operasi formal. Menurut Piaget (1969), golongan ini berupaya melakukan perkara-perkara seperti berikut iaitu (i) menyelesaikan masalah konkrit dan abstrak; (ii) mengkaji perasaan dan pemikiran sendiri; (iii) mengaplikasi prinsip-prinsip penyelesaian masalah; (iv) membentuk hipotesis menyelesaikan masalah; dan (v) skemata atau struktur mental akan bertambah.
            Menurut Coon & Mitterer (2007), perkembangan intelek pelajar pada peringkat ini adalah melalui akomodasi maka adalah baik jika guru mengikut strategi ‘satu langkah ke depan’ (one step ahead) di mana guru berusaha mengajar lebih daripada pemahaman semasa pelajar (Heckhausen, 1987). Guru tidak seharusnya memaksa pelajar untuk belajar dan menurut Santrock (2007), terdapat beberapa strategi mengajar berdasarkan teori Piaget antaranya (i) mewujudkan pendekatan konstruktivisme; (ii) memudah cara; (iii) mengambil kira ilmu pengetahuan dan pemikiran; (iv) menggunakan penilaian berterusan;  (v) mempromosikan suasana intelek pelajar secara semula jadi dan (vi) berkonsepkan penerokaan.
            Berdasarkan teori gender, pelajar lelaki dan perempuan melibatkan diri dalam sistem pendidikan dengan corak tingkah laku, sikap dan nilai yang berbeza serta berkait rapat dengan faktor maskulinism dan feminism (Biddulph, 1997; Epstein et al., 1998). Begitu juga dari aspek biologinya, dikatakan lelaki dan perempuan memiliki struktur dan fungsi otak yang berbeza (Cahill, 2006; & Halpern, 1997), manakala penyebaran kandungan hormon testosteron bagi lelaki dan hormon oestrogen bagi perempuan mempunyai hubungkait dengan tahap prestasi dalam ujian kebolehan kognitif (Kimura & Hamson, 1994). Dexter (1998) membuat kajian mengenai perkaitan antara pengetahuan sukan, prestasi sukan dan pencapaian akademik. Pencapaian akademik dan jantina merupakan  pembolehubah penting yang mempengaruhi pencapaian penguasaan konsep pengetahuan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Beliau mendapati pelajar lelaki memperoleh markah yang tinggi dalam pengetahuan sukan berbanding golongan pelajar wanita dan  dapatan ini adalah stabil merentasi pelbagai sekolah dalam kajian beliau. Penemuan ini menyokong teori bahawa faktor pengetahuan dan  kemampuan akademik mempengaruhi pencapaian prestasi dalam bidang sukan merupakan faktor penting dalam pengetahuan sukan.

            McPherson, Curtis dan Loy (1989) melaporkan bahawa senaman mempunyai kesan yang penting ke atas perkembangan kognitif. Mereka telah mengkaji pengaruh aktiviti-aktiviti fizikal ke atas penguasaan struktur-struktur kognitif dalam kalangan remaja lelaki dan perempuan yang berumur 11 tahun. Mereka yang aktif dalam kegiatan jasmani mencatatkan perkembangan sebanyak enam kali ganda berbanding dengan kanak-kanak yang tidak aktif. Kanak-kanak yang aktif dalam sukan juga menunjukkan daya kefahaman (depth of understanding) yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak aktif. Snyder dan Spreitzer (1990) membuat kajian ke atas pelajar-pelajar perempuan di sekolah-sekolah tinggi di Ohio. Keputusan yang diperolehi membuktikan bahawa pelajar perempuan yang terlibat dalam sukan dan muzik berupaya untuk memperolehi pencapaian yang tinggi dalam bidang akademik. Manakala pencapaian pelajar-pelajar yang terlibat dalam hanya aktiviti sukan sahaja sahaja adalah tidak berbeza dengan pelajar yang terlibat dalam aktiviti muzik sahaja. Ini membuktikan bahawa hubungan di antara penglibatan dalam aktiviti sukan dan pencapaian akademik di kalangan pelajar perempuan adalah positif. Mereka mencadangkan supaya faktor penglibatan dalam aktiviti sukan diambilkira dalam perancangan program pendidikan untuk pelajar-pelajar remaja yang mempunyai gred yang rendah.

0 comments:

Post a Comment