Sunday, April 17, 2011

Latar Belakang Pengukuran Ketangkasan


Kajian-kajian mengenai ketangkasan bermula pada awal kurun ke-20. Menurut Mosely (1958), pada masa lalu, dikatakan bahawa ketangkasan hampir bergantung sepenuhnya kepada baka yang mana ia merupakan warisan daripada keturunan. Tetapi menurut Bennet (1956), Lafuze (1957) dan Calvin (1958), ketangkasan dapat diperbaiki menerusi pengajaran yang diajar oleh guru
            Daripada kajian Serls (1951), yang telah dijalankan ke atas kanak-kanak di peringkat sekolah rendah mendapati bahawa terdapat korerasi yang positif dan tinggi perbezaannya di antara pertumbuhan fizikal serta lakuan ketangkasan jika dibandingkan di antara kanak-kanak lelaki dan perempuan. Kajian ini disokong oleh Espenschande (1947), di mana dapatan daripada hasil kajian yang telah dijalankan ke atas kanak-kanak lelaki dan perempuan sehingga umur 14 tahun menunjukkan terdapat persamaan. Selepas berumur 14 tahun kanak-kanak lelaki akan terus meningkat dari segi ketangkasannya tetapi sebaliknya bagi kanak-kanak perempuan.
            Keadaan ini adalah disebabkan oleh faktor-faktor perkembangan fisiologi tubuh badan pada kanak-kanak perempuan mula menunjukkan perubahan. Perubahan ini adalah dari segi bentuk tubuh badan serta saiz pertumbuhan yang meningkat. Berdasarkan ketangkasan somatotaip, pengkaji-pengkaji seperti Cureton (1941), Bookwalter dan karl (1952), Perbis (1954) dan Solley (1957), berpendapat bahawa golongan endomorf merupakan golongan yang paling rendah ketangkasannya jika dibandingkan dengan somatotaip yang lain. Golongan endomorf merupakan golongan yang mempunyai rangka tubuh yang besar dan ia kelihatan gemuk.
            Menurut Bookwwalter (1952), daripada kajian yang dijalankan terhadap bentuk badan ektomorf mempunyai rangka tubuh badan yang kecil yang menampakkan seseorang itu kelihatan kurus dan tinggi. Mereka ini adalah lebih pantas dan tangkas. Berdasarkan kajian Sills (1953), beliau berpendapat bahawa kanak-kanak dari golongan mesomorf adalah lebih tangkas dari ektomorf. Ini kerana golongan mesomorf merupakan golongan yang memiliki rangka tubuh badab yang sederhana besar serta mempunyai otot-otot yang menampakkan seseorang itu kelihatan tegap. Namun begitu daripada kajian yang dijalankan oleh solley (1957), mendapati tidak ada bukti yang nyata tentang saiz tubuh badan kanak-kanak bagi sesuatu peringkat umur itu boleh mempengaruhi ketangkasan mereka dalam sebarang aktiviti yang diceburi oleh mereka.
Hoskins (1934), Johnson (1934), Gates (1940), Lehsten (1941), McCloy (1942) dan Carruth (1952). Kesemua penyelidik ini telah mengetengahkan kepentingan ketangkasan dalam aktiviti sukan. Menurut mereka ketangkasan merupakan satu komponen dalam kecergasan fizikal serta dianggap sebagai satu faktor yang boleh meramalkan kebolehan motor. Ia juga dikatakan sebagai asas kepada kemahiran dalam aktiviti sukan tertentu.
Hoskins (1934, Johnson (1934) dan Lehsten (1941). Ketiga-tiga penyelidik ini berpendapat bahawa ketangkasan sangat perlu dalam permainan bola keranjang. Latihan-latihan seperti daya tahan dan latihan untuk meningkatkan kemahiran motor dalam permainan dapat memperkembangkan lagi komponen ketangkasan. Melalui penyertaan dalam pelbagai jenis permainan seperti ‘baseball”, bola sepak, bola baling, bola jaring, bola keranjang, squash, tenis dan badminton boleh meningkatkan ketepatan koordinasi pergerakan yang lebih tepat dan jauh serta ketangkasan yang baik.
            Dalam projek Majlis Penyelidikan Amerika Alliance For Health Physical Education, Recreation and Dance (AAHPERD 1959), terdapat ujian-ujian kemahiran sukan di mana komponen ketangkasan memainkan peranan yang penting seperti dalam ujian kemahiran bola keranjang. Komponen ketangkasan yang terdapat dalam ujian ini adalah menjaring dari hadapan, menjaring sisi, ‘foul shot’, ‘under busketball shot’, hantaran pantas, lompat dan sentuh, menggelecek, dan hantaran atas untuk ketepatan.
            Menurut Cozens (petikan Clarke, 1976). Beliau telah menjalankan kajian mengenai keupayaan keolahragaan untuk penuntut perempuan di sebuah kolej. Salah satu daripada ujian yang dijalankan ialah ujian larian mengelak. Dalam kajian ini Cozens telah mewakilkan seramai 52 orang perwakilan di dalam bidang Pendidikan Jasmani sebagai subjek dalam ujian tersebut untuk menentukan kebolehpercayaan dan kesahannya. Hasil daripada kajian tersebut mendapati kebolehpercayaan untuk ujian ini ialah r=0.93 dan kesahannya pada 0.82. Sheffield dan gates (petikan Clarke, 1976) telah menjalankan pengujian ketangkasan ketika berlari. Terdapat tiga ujian yang telah dijalankan oleh mereka untuk menguji keupayaan motor. Skor t yang diperolehi digunakan sebagai kriteria perbandingan. Hasil daripada kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki yang berumur dalam di antara 13 tahun hingga 15 tahun untuk ujian lari berhalangan dengan menguji korelasi 0.81 dan kebolehpercayaan 0.93. Lawsons (petikan Clarke, 1976) juga mendapati hasil yang sama terhadap kanak-kanak perempuan pada peringkat umur di antara 7 tahun hingga 12 tahun terhadap ujian lari ulangalik 40 ela.
            Boling, Robert, Kirk dan Pamela (1981). Ketiga-tiga penyelidik ini telah membuat kajian tentang tahap perbezaan konsep kendiri yang tinggi dan rendah terhadap prestasi motor. Seramai 120 orang pelajar lelaki tahun lima telah dipilih sebagai subjek. “Physical Self-Concept Scale” telah digunakan untuk mengukur konsep kendiri pelajar-pelajar ini. Keputusan daripada ujian ini telah menunjukkan pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang lebih tinggi menunjukkan tahap ketangkasan badan dan koordinasi yang lebih baik dan sebaliknya.
            Menurut Ho, Kwok, Chai dan Dennis (1990) yang telah membuat kajian terhadap perbandingan tahap ketangkasan di antara pelajar kolej di Amerika syarikat dan pelajar kolej di China seramai 112 orang pelajar baru terutamanya pelajar berketurunan “cousasion” dari Universiti di Midwest, Amerika Syarikat dan seramai 261 orang pelajar kolej di Selatan China telah dipilih sebagai subjek. Subjek-subjek ini telah diberi ujian yang tertentu yang meliputi ujian-ujian seperti ujian berat badan dan ketinggian, ujian kekuatan dan genggaman, ujian fleksi tengkuk, ujian lompat menegak, ujian ketangkasan dan ujian pengukuhan lipatan kulit. Hasil daripada ujian ini telah mendapati pelajar di Amerika Syarikat mempunyai tahap ketangkasan yang lebih baik berbanding pelajar di China. Tetapi sebaliknya pelajar di China menunjukkan pencapaian yang lebih baik dalam ujian lompat menegak berbanding pelajar kolej di Amerika Syarikat. Ini
menunjukkan bahawa terdapat perbezaan tahap ketangkasan di kalangan keturunan China dengan Amerika Syarikat.
            Jette, Kimick dan sidney (1990) telah mengkaji penilaian ISOC (Indoor standardizer Obstacle Course) yang dijalankan ke atas anggota tentera di Kanada. Kesemua item yang terdapat dalam ujian berhalangan ini melibatkan aktiviti ketangkasan di mana seseorang itu dikehendaki melalui sembilan belas item dengan kelengkapan tentera seberat 7 hingga 9ibs. Item ujian ini termasuklah berlari, memanjat, merangkak, menolak, menarik dan melompat. Kesemua item ini memerlukan ketangkasan dan kecergasan fizikal yang tinggi. Hasil daripada kajian ini menunjukkan setiap anggota tentera memerlukan kuasa aerobik yang tinggi di samping ketangkasan, kekuatan dan daya tahan otot.
            Tahap ketangkasan bergantung kepada beberapa faktor yang boleh diambil kira bagi mempertingkatkan prestasi seseorang individu. Antara faktorfaktor tersebut ialah seperti faktor genetik, latihan, pengalaman dan ujian. Selain daripada itu ketangkasan juga boleh diukur dan ditingkatkan melalui latihan, amalan dan perancangan program yang teliti. Melalui ujian ketangkasan juga boleh dijadikan sebagai satu kriteria yang wajar dibuat untuk pemilihan pemain-pemain dalam sukan-sukan tertentu. Ketangkasan yang juga merupakan salah satu komponen kecergasan fizikal perlu dititik beratkan dan diberi perhatian kerana ia diperlukan oleh semua orang dalam melakukan aktiviti harian.

4 comments:

  1. salam bley tak bagi bibliografi semua penyataan yang awk ambik ini... kerana maklumat awak ni sangat bergna untuk kajian saya...tq

    ReplyDelete
  2. blh ker email kn sy bibliografi artikel nie...sngt memuaskan...faiz_hizami91@yahoo.com...sgt mgharap...tq...

    ReplyDelete
  3. salam boleh tak email bibliogradi artikel ni kepada saya? sangat berguna kepada kajian tindakan saya... tq

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum..boleh sy dapatkan bibliografi artikel tuan..jika x keberatan email pada sy zuridahahmad86@gmail.com
    tqvm..

    ReplyDelete