Thursday, April 7, 2011

Gender Dalam Pendidikan Jasmani dan Sukan


Dalam Falsafah Pendidikan Negara dengan jelas menyatakan bahawa seorang insan perlu seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmaninya. Perseimbangan aspek-aspek ini perlu di kalangan pelajar untuk melahirkan generasi yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kesukarelaan dan ketrampilan melalui aktiviti yang mencabar dan menyeronokkan. Justeru itu, melalui pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Sukan (PJS) dapat melatih pelajar mengatasi pelbagai kekangan dan rintangan serta mempunyai daya tahan, daya saing, daya suai dan daya cipta yang tinggi agar para pelajar boleh dan sanggup menghadapi cabaran pendidikan alaf baru.

Gender dan Sukan

Terdapat banyak perbezaan antara lelaki dengan wanita dari segi rupa, bentuk badan, pakaian, tabiat kehidupan, peranan dalam masyarakat, kerjaya dan lain-lain lagi. Mungkin kekurangan maklumat dan kesedaran tentang perbezaan antara lelaki dengan wanita, maka wanita diajar, diasuh dan dilatih dalam bidang sukan dengan cara persediaan yang dilakukan oleh kaum lelaki. Adakah ini wajar? Untuk menghayati ataupun meningkatkan lagi prestasi atlet wanita, kita perlu mengkaji perbezaan ini daripada beberapa aspek penting.

Kita mestilah sedar bahawa terdapat perbezaan antara lelaki dengan wanita dari segi fizikal seperti rupa, tubuh dan rangka tulang serta dari segi fisiologi seperti fungsi khas wanita untuk melahirkan anak, yang merupakan fungsi semula jadi dan tidak boleh diubah, tetapi kita boleh menyesuaikannya. Selain itu, terdapat juga perbezaan yang berpunca dari segi sosial, iaitu kaum wanita sering diasuh supaya berperangai lemah lembut dan dilatih dari kecil untuk mengambil tugas suri rumah tangga. Umumnya, pendedahan wanita kepada sukan dan aktiviti sukan adalah lebih rendah berbanding lelaki.

Dari segi fizikal, keupayaan individu daripada kedua-dua jantina adalah lebih kurang sama sahaja sebelum akil baligh. Sebaik sahaja mereka melangkah ke alam remaja, pertumbuhan dan perbezaan jantina menjadi semakin nyata. Dari segi sosial seringkali wanita remaja terpaksa mengambil alih peranan dan tugas seorang wanita dewasa. Akibatnya, kecergasan mereka merosot dan kekuatan otot akan menurun. Ini merupakan salah satu sebab mengapa prestasi sukan wanita remaja secara puratanya adalah jauh lebih rendah berbanding prestasi kaum lelaki.

Perbezaan Rangka Tubuh

Secara purata, rangka lelaki adalah 10 peratus lebih tinggi daripada wanita. Dari segi berat tubuh orang dewasa, lelaki lebih b
erat lebih kurang 11 kg. Ini disebabkan oleh perbezaan struktur tulang lelaki yang lebih besar dan juga dari segi otot yang lebih pada tubuh lelaki. Dari segi rupa bentuk tubuh, lelaki adalah lebih besar. Tulang-tulangnya lebih berat. Tulang-tulang tangan, kaki lelaki juga lebih panjang dan sendi-sendinya lebih besar kecuali sendi lutut wanita yang lebih lebar. ini memberikan kestabilan kepada tubuh wanita. Pelvik girdle yang lebih lebar menyebabkan lutut wanita membengkok ke dalam. Akibatnya tapak dirian wanita lebih sempit.

Walau bagaimanapun, wanita mempunyai kelebihan dari segi saiz tubuh yang lebih kecil dan lebih rendah. Ini ada kaitannya dengan kedudukan pusat graviti yang lebih rendah dan tumpuan berat adalah di bahagian bawah tubuh. Dengan itu, wanita pada keseluruhannya mempunyai kestabilan yang lebih baik. Wanita berjalan dengan cara dan gaya yang istimewa yang sedikit berlainan dengan lelaki. Begitu juga dengan gaya larian wanita adalah berbeza dengan gaya larian lelaki. Bandingkan pula dengan perbezaan saiz dan bentuk pelvis dan tulang femur wanita adalah lebih tirus. Ini menyebabkan tulang kaki wanita membengkok ke dalam dan sedikit sebanayak menjadi halangan kepada prestasi berlari.

Apabila dewasa lelaki akan mempunyai bahagian tubuh atas yang lebih besar dan lebar, sementara wanita akan mempunyai bahagian abdomen yang lebih besar. Selain itu, kaki lelaki juga lebih panjang dan tapak kakinya juga lebih lebar. Begitu juga dengan tangan lelaki yang lebih panjang. Pada amnya, prestasi sukan wanita lebih rendah dan besar kemungkinan adalah disebabkan perbezaan tersebut di atas.

Salah satu kesan perbezaan fizikal ini ialah wanita berkemungkinan banyak mengalami masalah lutut semasa berlari, melompat serta menukar arah dengan tiba-tiba. Mereka juga mungkin akan menghadapi masalah semasa bermain badminton, tenis, bola jaring dan sukan lain yang memerlukan penukaran arah pergerakan dengan tiba-tiba.
Dari segi rupa bentuk tubuh pula, pada amnya wanita adalah lebih mirip kepada bentuk endomorf (kegemukan) dan lelaki pula kepada bentuk mesomorf (tubuh yang lebih berotot). Rupa bentuk model atau bintang-bintang filem bukanlah bentuk wanita yang ’normal’, tetapi mungkin diterima sebagai rupa bentuk yang ideal. Pada amnya lelaki dan wanita yang aktif dan berjaya dalam sukan lebih cenderung kepada bentuk mesomorf.


Berikut adalah suatu rumusan am ciri-ciri wanita berbanding lelaki serta implikasinya terhadap prestasi sukan.

Faktor Fizikal

Wanita memiliki rangka yang lebih kecil dan pendek, pusat graviti 2.3 cm lebih rendah dan lebih berat di bahagian bawah tubuh, terutama di bahagian punggung. memandangkan hakikat ini, wanita adalah lebih sesuai untuk sukan yang mementingkan pusat graviti yang rendah serta imbangan seperti gimnastik. Setakat ini, pengaruh faktor fizikal ke atas prestasi lompat tinggi dan lompat pagar belum dapat dikesan, tetapi pusat graviti yang lebih rendah bermaksud wanita tidak akan dapat bersaing dengan lelaki dalam acara lompat tinggi. Tetapi kita perlu ingat bahawa sebelum akil baligh, tubuh lelaki dan permpuan adalah lebih kurang sama. Apabila dewasa, ukuran purata lelaki adalah 12.7 cm lebih tinggi. Ini memberikan lelaki suatu kelebihan yang nyata dalam sukan seperti renang.

Pelvis wanita adalah lebih lebar dan sudut sendinya dengan tulang kaki adalah lebih besar. Putaran di bahagian punggung adalah lebih nyata pada tubuh wanita dan ini bermaksud mekanik serta teknik berjalan, berlari dan bergerak secara am adalah berlainan berbanding dengan kaum lelaki.

Tangan wanita adalah lebih pendek dan bersudut keluar dari tubuh di bahagian siku untuk mengelak pelvis yang lebih luas. Tangan yang pendek akan menghasilkan daya tuil yang kurang berkesan, sendi pada siku wanita yang bersudut juga bermaksud teknik menggunakan alatan seperti raket badminton adalah berlainan daripada kaum lelaki. Pernahkan anda terfikir mengapa pada amnya lelaki boleh melontar dan membaling dengan lebih tepat berbanding wanita? Ini adalah kerana lelaki mempunyai tangan yang lebih lurus dan oleh itu mempunyi fungsi tuas yang lebih cekap.

Bahu wanita lebih sempit tetapi lebih bulat.
Ini mengurangkan daya kuasa yang boleh dihasilkan oleh bahagian atas tubuh. Tetap ia juga membolehkan perenang wanita berenang dengan lebih mudah lagi kerana bentuk badan yang lebih aerodinamik mengurangkan rintangan air. Bagaimanapun wanita masih tidak dapat menandingi lelaki kerana otot lelaki jauh lebih kuat.

Lebih banyak peratusan lemak dalam tubuh. Ini membolehkan wanita menghadapi keadaan suhu sejuk dengan lebih baik, terutama semasa berenang jarak jauh di laut. Simpanan lemak yang banyak membolehkan wanita memiliki sumber tenaga yang lebih besar untuk membantu mereka dalam acara jarak jauh sama ada berenang atau berlari. tidak haiaranlah jika wanita pada amnya mempunyai daya tahan yang lebih baik. selain itu, simpanan lemak dalam tubuh juga membolehkan mereka terapung dengan lebih mudah. Secara puratanya wanita mempunyai dua kali ganda peratusan lemak (daripada jumlah berat tubuh) berbanding lelaki. Perenang maraton terekenal negara, Datuk Abdul Malik Maidin berjaya berenang merentasi Selat Inggeris pada tahun 2003 kerana tubuhnya boleh terapung dengan begitu baik dengan mengawal kandungan lemak di dalam badannya. Kejayaan beliau bagaimanapun bukanlah kerana kandungaan lemak tubuh yang tinggi semata-mata, tetapi juga disebabkan oleh keupayaan otot-ototnya menghasilkan daya yang kuat serta memiliki teknik renang yang sempurna.

Wanita mempunyai kelenturan yang lebih baik. Ini adalah kemahiran fizikal yang berguna dalam sukan gimnastik. Tubuh wanita mengeluarkan lebih hormon relaxin berbanding lelaki. Semasa melahirkan anak, hormon relaxin membolehkan sendi dan otot mereka melentur dengan lebih baik. Oleh itu kaum lelaki akan sentiasa kalah sekiranya mereka cuba membandingkan tahap kelenturan mereka dengan kaum wania ketika membuat latihan yang sama.

Kurang kuat berbanding dengan lelaki yang mempunyai saiz yang sama. Ini merupakan satu kekurangan yang menjadikan wanita kurang berkesan dalam acara yang memerlukan kekuatan. Sungguhpun wanita boleh melakukan latihan bebanan untuk menambahkan kekuatan, namun tahap yang dicapai tidak boleh menandingi seorang lelaki yang bersaiz sama dengannya. Ini kerana secara semulajadi tubuh wanita mempunyai banyak lemak, sementara lelaki mempunyai lebih banyak otot. Wanita juga tidak boleh mencapai rupa bentuk yang berotot kenyal seperti lelaki.
Suatu perkembangan 30 peratus dari segi kekuatan Cuma menambahkan lilitan otot sebanyak 5 peratus sahaja pada tubuh wanita. Pada amnya kekuatan bahagian atas tubuh waniata adalah 40 peratus, kurang berbanding lelaki, sementara kekuatan bahagian tubuh bawah adalah 25 peratus kurang berbanding lelaki yang mempunyai saiz tubuh yang sama. Walau bagaimanapun, wanaita boleh menggunakan manfaat latihan bebanan untuk mempertingkatkan prestasi di samping mengurangkan kemungkinan berlakunya kecederaan. Ini kerana perbezaan kekuatan anatara jantina adalah disebabkan oleh jumlah otot serta saiz serabut otot yang lebih kecil dalam tubuh wanita.


Saiz dan Kualiti Otot

Memandangkan kekuatan adalah berkadar terus dengan luas keratan lintang dan saiz otot, maka saiz otot lelaki yang lebih besar adalah suatu kelebihan yang penting. Pada amnya, kekuatan wanita adalah dua per tiga lebih rendah berbanding tahap kekuatan lelaki. Punca perbezaan ini ialah hormon pertumbuhan testoteron yang lebih dalam tubuh lelaki. Oleh itu, ramai atlet wanita yang ingin mencapai tahap kekuatan yang lebih tinggi menggunakan steroid dan juga testoteron tiruan (bahan-bahan yang diharamkan oleh persatuan sukan antarabangsa). Tujuannya untuk membantu pertumbuhan otot dan justeru itu membantu mempertingkatkan prestasi sukan mereka. Tetapi, ini mungkin mengakibatkan penukaran bentuk tubuh mereka yang berkekalan serta mempunyai beberapa kesan sampingan. Umpamanya, ada antara atlet wanita yang mendapati suara mereka menjadi lebih kasar dan mula berjanggut dan bermisai. Kesan sampingan ini boleh berlanjutan sehingga dua tahun ataupun lebih selepas mereka berhenti mengambil steroid berkenaan.

Menurut kajian, tidak terdapat perbezaan antara taburan fiber otot yang sesuai untuk kerja yang berat dan pantas seperti berlari 100 meter ataupun melontar peluru dengan fiber otot yang sesuai untuk kerja yang memerlukan daya tahan, umpamanya berlari jarak jauh pada kadar perlahan pada wanita dan lelaki. Harus ingat bahawa tanpa kehadiran hormon pertumbuhan testosteron yang banyak, saiz fiber otot wanita tidak akan menandingi perkembangan saiz otot pada seorang lelaki sekiranya latihan yang sama dilakukan. Walau bagaimanapun hasil kajian terkini menunjukkan bahawa saiz fiber otot kaki pelumba basikal wanita yang berlatih adalah lebih besar berbanding dengan saiz otot lelaki atau wanita yang tidak berlatih.

Keupayaan Berlatih dan Menahan Sakit

Keupayaan wanita untuk berlatih adalah lebih kurang sama dengan lelaki. Tidak banyak perbezaan antara seorang wanita dengan seo
rang lelaki yang tidak berlatih. Hal ini kerana kebanyakan wanita tidak begitu aktif bersukan disebabkan mitos ataupun kepercayaaan karut tentang senamaan dan wanita. Umpamanya kepercayaan bahawa senaman akan mengakibatkan kehilangan sifat kewanitaan.

Sebenarnya latihan bebanan boleh menambahkan kekuatan dan saiz otot. Dengan adanya latihan, kandungan lemak dalam tubuh akan kian mengurang, manakala otot tanpa lemak akan bertambah. Atlet wanita dalam sukan yang bersifat daya tahan (endurance) seperti lari jarak jauh mempunyai kadar lemak tubuh yang jauh lebih rendah berbanding dengan atlet lelaki dalam sukan yang mementingkan daya kuasa, seperti lari pecut 100 meter, lompat tinggi dan lontar peluru.

Memandangkan wanita perlu menahan tahap kesakitan yang tinggi apabila melahirkan anak, maka mereka dengan secara semulajadi berkemampuan menahan kesakitan. Ini bermaksud mereka boleh melakukan beban kerja yang lebih tinggi tanpa rungutan. Wanita juga berkecenderungan untuk menggunakan beban latihan yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan kecederaan. Semasa bersenam, wanita tidak banyak mengeluarkan asid laktik. Asid inilah yang menyebabkan kita berasa pedih pada otot-otot dan memaksa kita menghentikan senaman. Tanpa pengeluaran asid laktik yang banyak, wanita boleh bersenam dalam tempoh yang lebih panjang. Mereka lebih sesuai melibatkan diri dalam sukan yang memerlukan daya tahan. Di samping itu, wanita juga tidak begitu cenderung mengalami kekejangan otot.


Faktor Fisiologi

Dari segi tindak balas kepada senaman, tidak ada perbezaan yang diperhatikan antara lelaki dengan wanita. Mereka sanggup menjalani latihan yang berat tanpa menunjukkan kesan sampingan yang buruk. Wanita juga sanggup bersaing dengan lelaki di arena sukan dan diramalkan bahawa prestasi sukan wanita akan menandingi prestasi lelaki dalam beberapa sukan tertentu menjelang dekad kedua abad ke-21.

Lelaki mempunyai lebih kurang 1000ml (1.0 liter) lebih banyak darah dalam tubuh mereka berbanding dengan wanita yang sama saiz. Jumlah hemoglobin dalam darah lelaki juga lebih banyak, iaitu 15.8 g/liter, berbanding dengan 13.9 g/liter bagi wanita. Oleh itu darah lelaki membawa dan membekalkan lebih banyak oksigen berbanding wanita.

Saiz jantung dan isi padu darah yang dapat diedarkan oleh sistem kardiovaskular serta kapasiti paru-paru wanita adalah 10 peratus lebih kecil berbanding lelaki. Sistem kardiovaskular ialah sistem edaran darah tubuh yang terdiri daripada jantung, paru-paru, ateri, vena dan kapilari darah. Saiz jantung kita lebih kurang saiz genggaman tangan. jantung kita adalah seperti enjin kereta. Di samping itu, nadi rehat seorang wanita lebih tinggi daripada lelaki. Walau bagaimanapun kadar denyutan jantung maksimum bagi lelaki dan wanita adalah sama dan ditentukan oleh umur.


Haid dan Kehamilan

Wanita yang mengalami haid masih boleh berlatih. Paras kesakitan yang dialami oleh wanita pada ketika itu dapat dikurangkan dengan amalan senaman. Wanita yang hamil juga boleh berlatih, tetapi beban senaman hendaklah dikurangkan. Suhu tubuh harus diawasi supaya anak dalam kandungan tidak terdedah kepada suhu yang berlebihan akibat latihan yang terlalu berat.

Atlet wanita yang mempunyai peratusan lemak tubuh yang rendah akan mengalami masalah kitaran haid, iaitu kurang dua atau tiga kali setahun. Atlet gimnastik dan pelari jarak jauh berpotensi mengalami masalah seperti ini. Wanita perlu memahami hakikat itu dengan baik untuk mengelakkan masalah tekanan psikologi. Walau bagaimanapun tidak terdapat bukti yang menyatakan bahawa hal ini akan berkekalan ataupun membawa kesan yang buruk. Apabila berat tubuh meningkat dan peratusan lemak naik ke paras normal, atlet berkenaan akan pulih seperti sediakala. Kita sering mendengar atau membaca berita tentang pemain wanita yanag handal secara tidak sangka menerima kekalahan teruk ke atas pemain yang bertaraf jauh lebih rendah. Pihak tertentu sering kali menyatakan bahawa kekalahan seperti itu berpunca daripada kedatangan haid. tetapi kini sudah ada cara mengawal kedatangan haid supaya sesuai dengan keperluan jadual pertandingan, umpamanya dengan menggunakan pil pencegah hamil. Jurulatih lelaki hendaklah sentiasa peka kepada masalah ini. Mereka juga sewajarnya sedar bahawa ada atlet wanita yang sanggup berlatih atau bertanding semasa datang haid. Walau bagaimanapun nasihat doktor diperlukan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan.

Tidak terdapat bukti yang menunjukkan bahawa wanita yang hamil tidak boleh bersukan, cuma mereka tidak digalakkan bersukan terlalu aktif dalam tempoh bulan pertama hingga bulan keempat. Sukan yang berbahaya seperti menunggang kuda dan mendaki gunung tidak digalakkan sama sekali. Berjalan dan berjoging adalah senaman yang lebih selamat dan bermanfaat untuk dipraktiskan.

Pemakanan dan Kecederaan

Atlet wanita memerlukan lebih banyak zat besi kerana zat tersebut banyak hilang semasa haid. Latihan fizikal yang berat juga menyebabkan kehilangan zat ini. Kehilangan tersebut perlu digantikan kerana zat itu penting untuk pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah yang membawa oksigen kepada otot yang berfungsi. Atlet wanita juga memerlukan zat kalsium yang diperlukan untuk membentuk tulang yang kuat.
Yang perlu diamalkan oleh wanita ialah minum susu lembu dan makan makanan seperti tauhu dan keju. Di samping itu, wanita juga memerlukan lebih banyak vitamin B12 yang membantu tubuh menghasilkan sel darah merah.

Semasa hamil, ramai wanita akan mengalami kekurangan zat tertentu kerana anak dalam kandungan akan mengambil apa sahaja zat sebagaimana yang diperlukan oleh ibunya.
Kerana itu, wanita hamil kadang kala mengidam makanan yang ganjil. Ini sebenarnya adalah petanda bahawa mereka memerlukan makanan yang mengandungi zat tertentu.
Dari segi kecederaan pula, tiada perbezaan yang dapat dikesan dari segi kekerapan berlakunya kecederaan antara lelaki dan wanita kecuali kecederaan di bahagian lutut.
Sendi tulang paha di bahagian lutut wanita tercondong keluar pada posisi lutut. Sebaliknya wanita mempunyai lebih banyak hormon relaxin, ini menyebabkan mereka jarang menghadapi kecederaan yang disebabkan oleh kekurangana kelenturan.

Perbandingan Gender Dalam Penyertaan Sukan

Cabaran yang sangat besar kepada penyelidikan dan jurulatih sukan adalah untuk mengkaji dan mengenal pasti perbezaan antara jantina kerana ia merupakan sesuatu yang kompleks dalam tingkah laku sosial dan mempunyai pelbagai fenomena dalam pengaruh dan tingkah laku latihan sukan antara lelaki dan wanita. Kajian dalam membezakan tingkah laku latihan sukan antara lelaki dan wanita ini telah dijalankan oleh Dewar dan Horn (1992), di mana lelaki dikatakan lebih cenderung dan kuat berbanding wanita dalam aktiviti kesukanan tetapi sama ada ia diakibatkan oleh perbezaan biologikal, persekitaran dan peranan budaya sehingga penonjolan lelaki lebih nyata daripada wanita dalam masyarakat, masih belum diketahui. Kebanyakan penyelidikan tentang jantina memfokuskan tentang bagaimana sukan dan prestasi latihan serta pengalaman dalam kalangan wanita adalah berbeza daripada lelaki.

Dalam kajian yang dibuat oleh Cox (1994) menyatakan wanita mempunyai perasaan malu dalam penyertaan sukan yang tidak sesuai dengan peranan jantina mereka. Selain itu atlet wanita juga dikatakan akan berasa selesa dalam permainan sukan seperti tenis dan bola tampar, dan akan berasa lebih terancam dalam sukan seperti gusti dan bola sepak yang dianggap melanggar peranan stereotaip seks mereka (Peplau, 1976). Manakala menurut Teng, Ang dan Mohd Sofian (2001) pula terdapat perbezaan individu yang ketara apabila faktor jantina diperluaskan atau dikaji. Perbezaan individu dikaji bukan sahaja tentang seks, ras dan budaya hidup tetapi juga dari segi perlakuan dan tingkah laku.

Wanita dikatakan suka kepada benda-benda cantik dan kecantikan adalah suatu aspek yang penting dalam kehidupan seorang wanita. Kecantikan bentuk dan berat badan mereka boleh diperoleh melalui penyertaan aktiviti sukan dan ini adalah galakan kepada wanita untuk menceburkan diri dalam sukan. Keyakinan diri mereka juga timbul dengan kesedaran akan kecantikan mereka dan sifat-sifat positif yang lain juga akan turut wujud dengan penglibatan wanita dalam bidang sukan. Berbanding dengan wanita menurut teori psikoanalitik, lelaki merupakan insan yang kuat dan mempunyai hasrat dalaman yang tidak disedari dan digambarkan sebagai perjalanan hidup dan perasaan mereka. Penyertaan lelaki dalam sukan akan melihatkan kejayaan hidup mereka dengan meningkatnya prestasi, berkeyakinan dan berpendirian.

Menurut Martens (1978) proses perubahan tingkah laku dan perbandingan prestasi individu boleh dikenal pasti berdasarkan pada kriteria tertentu seperti adanya kehadiran individu lain sebagai penilai dan meningkatnya tret kebimbangan bagi dimensi personaliti. Sebagai contoh, jika atlet dikehendaki melakukan dua aktiviti iaitu imbangan statik dan ketepatan menembak ketika kehadiran penonton dan dalam situasi yang kompetitif. Dapatan mungkin menunjukkan subjek bagi acara imbangan yang mengalami tahap kebimbangan yang tinggi menampakkan pencapaian yang rendah tanpa mengira jantina, manakala dalam ketepatan menembak, subjek wanita yang mengalami tahap kebimbangan yang tinggi memperoleh pencapaian yang rendah berbanding dengan subjek lelaki.

Tingkah laku juga ditentukan oleh kemudahan serta-merta dan faktor persekitaran, dan teori ini boleh dikaitkan dalam kajian yang dijalankan oleh Masters, Ogles dan Jolton (1993) bagi menunjukkan perbezaan jantina dalam penyertaan perlumbaan pelbagai jarak. Seramai 42 orang pelari jarak jauh dan 47 orang pelari rekreasi telah diuji dengan menggunakan the Motivations of Marathoners Scales (Masters, Ogles dan Jolton,1993). Dapatan kajian menunjukkan dalam perlumbaan jarak sederhana menampakkan nisbah penyertaan yang tinggi daripada pelari wanita rekreasi berbanding pelari wanita jarak jauh yang lebih menyokong berkaitan berat badan, penggabungan, pengiktirafan diri, keupayaan psikologikal dan kehidupan merupakan motif penting untuk berlumba berbanding dengan atlit lelaki bagi kumpulan yang sama.

Kumpulan pelari jarak jauh bertingkah laku mengenal pasti kebolehan berlari berbanding pelari rekreasi yang berlari untuk keseronokan. Kumpulan lelaki adalah secara langsung dikenal pasti sebagai pelari tetap yang berkriteria untuk mencapai kejayaan dan mereka terlibat dengan motif pencapaian matlamat pertandingan dan lebih menitikberatkan latihan. Wanita juga dikatakan tidak mempunyai ketahanan, kekuatan dan kecergasan sebagaimana yang dimiliki oleh ahli-ahli sukan lelaki. Dalam perkara ini, tiada bukti perubatan yang menunjukkan bahawa acara sukan yang memerlukan ketahanan diri dan kecergasan itu tidak baik bagi kesihatan dan atlit yang terlatih. Wanita mempunyai ketahanan diri yang lebih baik berbanding lelaki disebabkan mereka mempunyai peratus lemak di bawah kulit badan yang berlebihan.
Tingkah laku yang diharapkan juga terbentuk melalui pengaruh psikologi sosial yang ditegaskan lagi melalui kajian yang dijalankan oleh Hull, Miller dan Dollard yang menggunakan teori tingkah laku sebagai suatu hasil yang menunjukkan perubahan sikap melalui faktor-faktor seperti motivasi sosial, pembelajaran sosial dan ganjaran hukuman.

Proses sosialisasi sukan juga mempengaruhi perbezaan jantina dalam kalangan atlet dalam penyertaan sukan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Durentini dan Lander (1987) dalam abstraknya yang mengkaji perbezaan jantina dalam proses sosialisasi sukan dalam kalangan atlit sekolah tinggi telah menguji penglibatan sukan adakah signifikan antara struktur peringkat permulaan sekolah atau peringkat menengah dan apakah sumber motivasi di peringkat permulaan sekolah akan menyebabkan penglibatan atlit dan penyertaan berterusan dalam sukan.

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa lebih ramai atlit wanita daripada lelaki menyertai sukan sebagai keseronokan bersukan, di mana ini menunjukkan bahawa dengan menyertai aktiviti sukan mereka dapat membuat pilihan sama ada untuk bertingkah laku keseronokan atau prestasi sukan. Manakala atlet lelaki pula menyatakan penyertaan berkawan dalam aktiviti rekreasi fizikal adalah sejak dari kecil dan atas dorongan ibu bapa sebagai motivasi utama dalam permulaan penyertaan atau penglibatan sukan mereka. Selain daripada itu, terdapat atlet wanita yang melaporkan bahawa penglibatan awal mereka dalam sukan adalah melalui motivasi diri. Ini boleh disimpulkan bahawa faktor motivasi juga penting dalam mengubah tingkah laku seseorang untuk menyertai sukan. Kesimpulan daripada kajian ini mendapati bahawa faktor motivasi adalah diperlukan bagi meningkatkan tingkah laku atlet dalam persediaan diri untuk belajar, bagi perkembangan dan kematangan seseorang dapat mengawal emosi dan sikap atlit semasa bertanding atau berlatih dan dapat meningkatkan keupayaan diri.

Faktor tret kebimbangan juga memainkan peranan penting dalam menentukan tingkah laku dalam penyertaan sukan di mana atlet individu menonjolkan tret tahap kebimbangan yang lebih tinggi daripada sukan berpasukan. Ini kerana bagi atlet sukan individu, bertanding secara berseorangan dan perasaan takut mengalami kekalahan adalah ditanggung sendiri.

Dari segi jantina, adalah didapati bahawa atlet wanita adalah lebih tinggi tahap kebimbangannya berbanding lelaki. Didapati juga peluang kaum wanita untuk menceburi dalam pertandingan dan pendedahan wanita kepada situasi mencabar adalah kurang jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Oleh itu kaum wanita selalu menonjolkan tahap tret kebimbangaan yang lebih tinggi daripada kaum lelaki. Dalam kajian yang dijalankan oleh Jones, Swain dan Cale (1991) terhadap peranan sokongan jantina dan melibatkan pertandingan menampakkan lagi tahap kebimbangan lebih signifikan berbanding jantina.

Menurut Bird (1973), terdapat dua ciri tentang wanita, pertama; mereka tidak mempunyai keinginan dan kehendak yang tinggi untuk mencapai matlamat dan kedua; motivasi pencapaian terbentuk hasil daripada latihan awal dan tahap itu akan terus kekal. Kenyataan ini sudah tidak sesuai pada masa kini kerana atlet wanita sekarang tidak lagi mudah berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh dan mereka akan sentiasa mencuba memperbaikinya dari masa ke masa.
Wanita kini telah dapat melepaskan diri mereka daripada ikatan sosial, politik, perundangan dan hukum adat.

Kesimpulan

Semasa Sukan Olimpik purba, wanita tidak dibenarkan mengambil bahagian dan juga tidak boleh menyaksikan lelaki bertanding. Ini bermakna sejarah penyertaan wanita dalam sukan jauh lebih pendek dan penyelidikan tentang kemampuan tubuh wanita masih belum lagi memadai untuk membolehkan kita memahaminya dengan sempurna. Walau bagaimanapun penyertaan wanita kini tidak dipersoalkan lagi dan sudah menjadi kenyataan bahawa banyak perkembangan telah dicapai kebelakangan ini. Kita pasti dapat melihat peningkatan prestasi atlet wanita pada masa akan datang hasil usaha fizikal dana mental yang berlipat ganda dan penemuan baru tentang latihan akhas untuk mempertingkatkan lagi prestasi wanita dalam arena sukan.

Perbezaan fizikal yang ketara pada tubuh wanita berbanding lelaki akan mempengaruhi penglibatan mereka dalam sukan. Memahami perbezaan ini memberi panduan umum kepada kaum wanita, khususnya menjalani latihan sukan sama ada untuk pertandingan, berekreasi atau untuk aktiviti kecergasan. Individu wanita akan mendapat faedah yang maksimum semasa latihan dan pertandingan selagi mereka melihat perbezaan pada tubuh mereka berbanding lelaki sebagai satu kelebihan dan keistimewaan.

0 comments:

Post a Comment