Monday, April 4, 2011

Rakyat Sihat Negara Makmur


Bersenam atau aktiviti kecergasan fizikal merupakan satu amalan yang baik kerana ia dapat meningkatkan tahap kesihatan individu. Kemerosotan kecergasan fizikal seseorang akan mempengaruhi keadaan mental dan aspek sosial individu tersebut. Secara tidak langsung apabila kecergasan fizikal individu merosot ianya berpotensi untuk menjejaskan fungsi mental dan kemampuan individu itu untuk bertindak balas dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukan dalam kehidupan hariannya (Wee Eng Hoe, 2002).

Kerajaan pula menyokong aktiviti fizikal ini dengan menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Sokongan kerajaan ini dapat dilihat dengan adanya kempen-kempen dan penganjuran sukan yang melibatkan semua golongan masyarakat seperti Sukan Untuk Semua dan Malaysia Cergas. Untuk merealisasikan kempen gaya hidup sihat ini aktiviti bersenam, bersukan dan beriadah merupakan satu amalan dan gaya hidup yang baik kerana ia dapat meningkatkan tahap kesihatan seseorang individu khususnya kecergasan fizikal. Kemerosotan tahap kecergasan fizikal mungkin disebabkan oleh kekangan masa atau sibuk dengan tugasan harian seperti sibuk dengan kerja, menjaga anak-anak, terlalu letih setelah seharian bekerja dan lain-lain lagi. Kemerosotan kecergasan fizikal mungkin akan mempengaruhi mental dan perkembangan sosial dan emosi seseorang individu.

Suatu ketika dahulu, kebanyakan masyarakat kita tidak mengambil berat tentang aktiviti fizikal yang sihat untuk tujuan kesihatan mahupun untuk tujuan berekreasi. Tetapi kempen-kempen dan langkah-langkah yang telah diambil oleh agensi-agensi kerajaan telah membuka mata masyarakat dan menyedarkan mereka tentang betapa pentingnya kecergasan fizikal ini. Apa yang menariknya, orang ramai telah mula menunjukkan minat yang mendalam dengan melibatkan diri secara serius dalam aktiviti rekreasi bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal mereka (Sheikh Kamaruddin, 1987). Apabila kemakmuran negara bertambah pesat, amalan aktiviti fizikal ini semakin terpinggir. Kanak-kanak dan remaja semakin mahir dan meluangkan lebih banyak masa di dalam bidang komputer. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak dan remaja semakin hilang sifat ‘kekampungan’. Amalan ’main’ dan ’main-main’ semakinl lama semakin pudar.

Cogankata ‘Rakyat Sihat Negara Makmur’ merupakan salah satu usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan anggota masyarakat sentiasa menitik beratkan aspek kesihatan terutamanya dari segi kecergasan fizikal. Seseorang yang mempunyai tahap kecergasan fizikal yang baik biasanya dikaitkan dengan kemampuan mereka melakukan sesuatu aktiviti dengan baik tanpa merasa lesu atau kepenatan yang keterlaluan. Di samping itu juga mereka yang mempunyai tahap kecergasan yang baik dikatakan dapat menghindarkan diri dari mengalami penyakit hipokinetik seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, sakit belakang atau berat badan yang berlebihan (Wee Eng Hoe, 1998).

Terdapat segelintir masyarakat beranggapan bahawa pelajar yang aktif dalam bidang sukan tidak akan mendapat apa-apa ganjaran dalam bidang akademik. Malah jika mereka mendapat gred yang rendah atau gagal dalam sesuatu peperiksaan, pingat kejayaan mereka dalam bidang sukan ini tidak dapat membantunya melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi. Golongan ini berpendapat bahawa penentuan masa depan hanyalah bergantung kepada kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja. Justeru itu ramai pelajar lebih menumpukan pada bidang akademik dengan mengabaikan tahap kecergasan untuk meneruskan pelajaran di institusi pendidikan tinggi.

Para ibu bapa juga bersikap sedemikian sehingga ada segelintir daripada mereka inginkan anak-anak mereka memberi sepenuh tumpuan terhadap bidang akademik sahaja tanpa mengambil kira tentang aspek kesihatan. Oleh itu, kita dapati para ibu bapa dewasa ini cenderung menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen di luar waktu persekolahan manakala aktiviti fizikal diketepikan sama sekali (Zainun Ishak, 1995).

Antara faktor utama yang menyebabkan ramai yang mementingkan soal imbangan ini ialah corak aktiviti yang disajikan di sekolah-sekolah. Oleh kerana kuatnya pengaruh ‘sanjungan sijil’ (paper chase) yang menular di sekolah-sekolah di negara kita, bermula dari sekolah rendah lagi, kandungan dan pendekatan pendidikan masyarakat Malaysia terlalu menjurus kepada unsur-unsur akademik sahaja (Dr. Yusoff Ismail, 1998).

Disebabkan sikap ibu bapa dan pihak pentadbir sekolah yang lebih mementingkan pencapaian akademik, ini menyebabkan pelajar yang cemerlang dalam pencapaian akademik sering tidak diberi peluang untuk bergiat aktif dengan aktiviti yang melibatkan kecergasan fizikal, lebih malang lagi jika ada yang beranggapan bahawa para pelajar yang memiliki tahap pencapaian akademik cemerlang ini tidak perlu mempunyai prestasi yang tinggi dalam bidang sukan seiring dengan kemampuan mental mereka.

Kehebatan pelajar hanya dikaitkan dengan pencapaian akademik sahaja dan jarang dikaitkan dengan kehebatan mereka dalam bidang sukan dan rekreasi (Zainun Ishak, 1995). Masyarakat hari ini beranggapan bahawa sukan dan permainan akan memberi kesan yang negatif terhadap pendidikan. Tanggapan ini bukan sahaja melibatkan masyarakat dan ibu bapa, malah melibatkan juga sebahagian pelajar dan guru. Mereka menyalahkan faktor penglibatan dalam sukan dan permainan sebagai penyebab terhadap kemerosotan dalam pencapaian akademik. Tanggapan ini haruslah dikikis dan perlulah dibuktikan kepada masyarakat bahawa sukan dan permainan tidak memberikan kesan yang negatif terhadap pencapaian pencapaian akademik pelajar (Khoo, 1989).

0 comments:

Post a Comment