Kebanyakan pendidik sering mengabaikan domain afektif dalam pengajaran dan pembelajaran kerana faktor kesukaran dalam membuat penilaian terhadap nilai afektif (McLeod, 1991; Romiszowski, 1989; Title & Hecht, 1989). Kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional dikatakan sering menitikberatkan domain kognitif berbanding afektif (Peterson & Augustine, 2000). Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pelajar lebih menghargai strategi pengajaran yang menekankan hasil pembelajaran afektif (McTeer & Blanton, 1978). Menurut Williams (2003); dan Thompson & Mintz (2000), guru yang menolak hasil pembelajaran afektif boleh mengurangkan motivasi untuk terus belajar terutama dalam pembelajaran kemahiran. Oleh yang demikian, proses pengajaran dan pembelajaran guru dalam topik kemahiran PJ hendaklah mengambil berat tentang penilaian nilai afektif yang diperoleh sebagai hasil pembelajaran.
Vidoni & Ward (2009) telah menjalankan kajian bertajuk ‘Effects of fair play instruction on student social skills during a middle school sport education unit’ ke atas lapan orang pelajar berumur 13 tahun. Tujuan kajian adalah untuk mengetahui pengaruh pengajaran permainan bersih dalam permainan ragbi sentuh semasa kelas PJ. Dapatan menunjukan pengaruh pengajaran permainan bersih dapat memberikan kesan yang konsisten serta penglibatan pelajar adalah lebih aktif dan perlakuan aksi yeng merbahaya dapat diturunkan semasa kajian. Ini menunjukkan pengajaran permainan bersih mampu menurunkan kadar kesalahan tingkah laku serta membantu meningkatkan kemahiran sosial pelajar dalam PJ.
Mynard (2008) menyatakan pelajar lelaki dan perempuan adalah berbeza dari aspek sosial, emosi, intelek dan fizikal. Perkembangan sosial pelajar perempuan dilihat lebih mudah mesra berbanding dengan pelajar lelaki yang lebih bersifat bermusuhan (antagonistik). Aspek perkembangan emosi pula melibatkan kumpulan neuron yang dinamakan sebagai amygdala. Amygdala ini mempunyai hubungan langsung dengan serebral korteks yang memainkan peranan dalam aspek pemikiran dan bahasa. Pelajar perempuan dilihat lebih cepat dapat meluahkan perasaan mereka berbanding pelajar lelaki disebabkan tahap perhubungan antara amygdala dengan serebral korteks perempuan adalah lebih pantas berbanding lelaki. Perbezaan intelek bagi pelajar perempuan pula adalah lebih baik dalam menghafal dan berupaya mengingat kembali dengan pantas tetapi masih lemah dan tidak kreatif dalam menterjemahkan teori pengetahuan kepada bentuk perlakuan kemahiran. Berbanding dengan pelajar lelaki dilihat lebih kepada aspek kesedaran ruang dan visual serta keupayaan pelajar lelaki adalah lebih baik dari aspek manipulasi imej (visual) dan memberikan kelebihan dalam menyelesaikan masalah, mereka bentuk dan membina kemahiran. Perkembangan fizikal pula memberikan kelebihan kepada pelajar lelaki dalam aktiviti motor kasar. Hormon testosteron menyebabkan perkembangan otak kiri menjadi perlahan dan ini menyebabkan perkembangan otak kanan menjadi lebih dominan.Otak kanan pula melibatkan fungsi aspek kesedaran ruang dan otak kiri melibatkan aspek bahasa.
Menurut Suppiah et al. (2009), pembelajaran melalui kognitif, psikomotor dan afektif amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah manakala teknik pemerhatian guru boleh digunakan bagi menilai tahap pecapaian pembelajaran pelajar bagi ketiga-tiga domain ini (Jeanetta & Rose, 2007). Pelajar seharusnya diberi peluang dan ruang bagi mengoptimumkan penguasaan ilmu pengetahuan dengan menghubungkan ketiga-tiga domain supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif.
0 comments:
Post a Comment