Pendidikan Jasmani adalah salah satu mata pelajaran teras di sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bertujuan untuk membolehkan pelajar menjadi sihat, cergas dan produktif melalui pemupukan nilai, sikap, pengetahuan dan amalan kesihatan dan kecergasan dalam kehidupan sehari-hari. Matlamat Pendidikan Jasmani sekolah menengah adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar supaya mempertingkatkan kecekapan penguasaan kemahiran asas pergerakan motor. Untuk mencapai matlamat pendidikan tersebut, sukatan mata pelajaran Pendidikan Jasmani sekolah menengah telah memberi penekanan terhadap peningkatan kecergasan fizikal, kemahiran motor serta kemahiran sukan dan permainan yang merangkumi 3 domain iaitu kognitif, afektif dan psikomotor untuk membolehkan pelajar memperkembangkan kebolehan dan kemampuan mereka dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek.
Oleh itu, matlamat yang ditentukan ini diharapkan akan tercapai melalui senaman dan kegiatan sukan seperti mana yang dinyatakan di dalam sukatan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Dengan cara ini pelajar akan dapat menguasai kemahiran asas motor dan secara tidak langsung mereka boleh melakukan aktiviti-aktiviti yang lain dengan lebih kompleks. Pelajar sekolah menengah sepatutnya sudah memiliki penguasaan kemahiran asas motor dan pengetahuan yang mencukupi untuk di aplikasikan dalam aktiviti sukan dan permainan dengan lebih berkesan. Pelajar pada peringkat ini, sudah boleh memilih jenis sukan yang di minati untuk aktiviti kokurikulum, sukan dan riadah.
Kecergasan berlandaskan perlakuan motor berkait rapat dengan pencapaian kemahiran dalam aktiviti sukan. Lakuan motor adalah keupayaan mengawal pergerakan otot tertentu dalam melakukan sesuatu aktiviti. Contoh kemahiran asas adalah seperti melompat, berlari, menyepak, membaling, memanjat, menyambut, menggelecek dan sebagainya. Lakuan motor adalah keupayaan untuk mengawal pergerakan otot tertentu untuk melakukan sesuatu aktiviti. Larson dan Yacom (1951) dalam Baumgartner dan Jackson, (1985) dan Singer (1980) mendefinisikan lakuan motor sebagai keupayaan seseorang individu dalam menghasilkan pergerakan. Pergerakan tersebut melibatkan kekuatan otot, kuasa otot, koordinasi, kepantasan, imbangan dan ketangkasan. Barrow dan McGee (1979), menyatakan lakuan motor merupakan suatu kebolehan semula jadi yang melibatkan aktiviti kemahiran tahap tinggi. Walau bagaimanapun, lakuan motor mempunyai hubung kaitnya dengan keupayaan pembelajaran dan kemahiran motor.
Tahap pembelajaran, iaitu kepelbagaian serta frekuensi yang dijalankan dalam jangka masa yang telah ditentukan bagi mempengaruhi suatu peningkatan kemahiran asas motor. Tahap peningkatan prestasi pula dapat dihasilkan apabila sesuatu kemahiran telah dikuasai secara berterusan di mana pembelajaran merupakan faktor perubahan tingkah laku.
Kecergasan motor ialah kemampuan individu yang ditunjukkan melalui kemahiran asas lokomotor iaitu berlari, berjalan, melompat dan sebagainya, bukan lokomotor iaitu memusing, membongkok dan manipulatif atau potensi kecekapan pergerakkan seseorang iaitu menangkap, membaling, menyambut. Sukatan Pendidikan Jasmani sekolah rendah telah menyediakan butiran kemahiran asas lokomotor, bukan lokomotor dan manipulatif untuk murid tahap satu. Pada peringkat ini, Pendidikan Jasmani lebih tertumpu kepada aktiviti pembinaan kemahiran asas lokomotor, bukan lokomotor dan manipulatif. Dalam jangkamasa tiga tahun, murid tahap ini diharapkan dapat menguasai kemahiran asas berlari, melompat, memukul, menangkap dan membaling. Ini menunjukkan bahawa kemahiran merupakan suatu tindakan, tugasan atau corak tindakbalas yang tertentu dalam melakukan sesuatu pergerakan. Keupayaan pergerakan asas merupakan asas pergerakan permulaan semasa kanak-kanak bergerak dan berjalan serta melakukan pergerakan yang melibatkan persekitaran. Menurut Singer, dalam petikan buku Pembelajaran Kemahiran Motor oleh Vasudevan T. Arasoo (1989), kemahiran motor ialah pergerakan otot-otot atau gerakan badan untuk melakukan sesuatu pergerakan yang dikehendaki.
Prestasi lakuan motor boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan prestasi seperti umur, jantina, baka, kematangan dan kecergasan fizikal dan latihan. Ianya boleh dibahagikan kepada dua faktor iaitu faktor intrinsik dan faktor ekstrinsik dan di antara kedua-dua faktor inilah yang membezakannya secara signifikan di antara lelaki dan juga perempuan. Semua ini adalah bergantung kepada kekuatan serta ketahanan yang dimiliki oleh individu tersebut.
Prestasi lakuan motor individu boleh dipecahkan kepada dua faktor utama iaitu faktor intrinsik dan faktor ekstrinsik.
Faktor Intrinsik - Umur
Aspek umur mempengaruhi tahap prestasi pencapaian lakuan motor seseorang individu. Ini dapat dinyatakan dengan adanya beberapa kajian yang menyatakan bahawa umur berperanan di dalam mempengaruhi tahap prestasi lakuan seseorang individu. Di dalam hasil kajian Fleishman (1964), mendapati bahawa prestasi pelajar lelaki meningkat dengan kadar yang sekata selepas mencapai tahap umur 18 tahun, manakala prestasi lakuan motor bagi pelajar perempuan pula akan meningkat pada ketika tahap umur 13
tahun.
Jantina
Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan untuk melihat tahap prestasi lakuan motor berdasarkan jantina. Antara kajian yang telah dilakukan ialah oleh Hensley, East dan Stillwell (1982) petikan Johnson dan Nelson (1986). Hasil kajiannya telah menunjukkan terdapat beberapa perbezaan yang signifikan antara kanak-kanak lelaki dan juga kanak-kanak perempuan di dalam melakukan sebarang aktiviti yang dijalankan. Ujian yang dijalankan ialah seperti lompat dengan cara menegak, ujian lompat jauh berdiri, ujian mendagu yang telah diubahsuai, ujian lari pecut 40 ela dan juga ujian lari 400 ela.
Faktor Ekstrinsik - Latihan dan Pembelajaran
Latihan adalah melakukan pergerakan lakuan motor yang berulang-ulang di dalam satu jangka masa yang tertentu sehinggalah lakuan tersebut menjadi satu kebiasaan. Sesuatu lakuan yang komplek akan dapat dikuasai oleh individu tersebut apabila latihan yang dilaksanakan mencukupi, terancang dan tersusun. Pembelajaran dapat dilaksanakan dengan adanya latihan. Magill (1980), mendapati bahawa melalui pembelajaran seseorang individu itu akan dapat menghasilkan suatu perubahan pada lakuan motor iaitu perubahan daripada yang kurang sempurna kepada yang lebih baik dan kemas.
Suhu
Suhu banyak mepengaruhi fisiologi tubuh badan dan pergerakan motor manusia. Wujudnya satu julat suhu yang sempit sahaja bagi proses-proses biokimia berfungsi dengan cekapnya bermaksud bahawa organisma-organisma tidak kira tempat hidupnya akan mempunyai penyesuaian fisiologi atau pun kelakuan untuk mengelakkan suhu alam persekitaran yang melampau. Terdapat komponen-komponen kecergasan dalam aspek perlakuan motor terdiri daripada koordinasi, imbangan, ketangkasan, kuasa atau daya, masa tindak balas (masa reaksi) dan kepantasan atau kelajuan. Aspek perlakuan motor ini dapat membantu dalam hal-hal yang bersabit dengan gerak kerja fizikal yang spesifik. Kemahiran tersebut dapat menghasilkan satu gerak laku yang efisyen serta meringankan bebanan yang mungkin timbul ketika sedang mengerjakan aktiviti yang lebih daripada lakuan kebiasaan seperti mengangkat benda-benda yang berat.
0 comments:
Post a Comment