Tuesday, March 1, 2011

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Kesahan ujian kecergasan


Kesahan sesuatu ujian menggambarkan sejauhmana ujian tersebut mengukur apa yang sepatutnya ia ukur (Tuckman, 1994). Menurut Sidek (2000), sesuatu ujian dikatakan mempunyai kesahan yang tinggi sekiranya darjah kebolehannya mengukur apa yang sepatutnya ia ukur adalah tinggi. Mohd. Majid (1990) pula mentafsirkan bahawa kesahan sesuatu alat pengukuran merujuk kepada sejauhmana alat itu mengukur data yang sepatutnya ia dikehendaki mengukur. Ini bermakna sesuatu alat yang berupaya mengukur dengan tepat sesuatu pembolehubah yang ditetapkan adalah dianggap sah sebagai alat pengukur bagi pembolehubah tersebut.
Menurut Ahmad Hashim (2004), instrumen sesuatu pengukuran dikatakan sah apabila ia benar-benar mengukur apa yang sepatutnya diukur. Sesuatu ujian yang sah mestilah boleh dipercayai, sebaliknya ujian yang mempunyai kebolehpercayaan mungkin belum tentu sah digunakan. Jika  data yang diperoleh datangnya daripada sesuatu ujian atau instrumen pengukuran yang tidak sah, maka data tersebut tidak boleh digunapakai dalam pengukuran dan penilaian. Sebarang keputusan yang dibuat mengenai subjek berdasarkan data yang tidak sah berkemungkinan akan berlaku kesalahan atau tidak tepat.
Terdapat empat jenis pengukuran kesahan yang biasanya digunakan dalam Pendidikan Jasmani iaitu kesahan logikal, kesahan kandungan, kesahan kriteria dan kesahan konstruk. Kebanyakan pengukuran fizikal dalam Pendidikan Jasmani menerimapakai nilai pekali korelasi keesahan ujian antara .80 dan ke atas.
Kesahan konstruk biasanya dikaitkan dengan keputusan ujian ke atas beberapa ciri tingkahlaku. Contohnya, sikap terhadap aktiviti kecergasan fizikal adalah ciri kemanusiaan yang abstrak dan sukar difahami oleh mereka yang tidak mahir dalam bidang tersebut. Ini berbanding dengan ujian lari pecut 50 ela, di mana keputusan adalah berdasarkan jumlah saat yang terpantas.

0 comments:

Post a Comment