Tuesday, March 1, 2011

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Kebolehpercayaan ujian kecergasan


Kebolehpercayaan ujian bermakna ujian itu adalah konsisten (Tuckman, 1994). Sesuatu ujian itu dikatakan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi sekiranya skor yang sama diperolehi oleh individu yang sama dengan melakukan ujian yang sama pada masa yang berbeza (Sidek, 2000). Mohd. Majid (1990), menyatakan bahawa ketekalan sesuatu alat ukur dalam mengukur pembolehubah atau gagasan adalah pengertian bagi konsep kebolehpercayaan alat ujian.
Sesuatu ujian dapat memberi keputusan yang konsisten setelah diuji berulang kali adalah mempunyai kebolehpercayaan. Ujian yang mempunyai kebolehpercayaan akan menghasilkan data yang stabil dan tepat. Bagi menjamin kebolehpercayaan ujian, prosedur ujian, teknik pengukuran dan suasana pengujian sepatutnya berada dalam keadaan yang sama.
Menurut Ahmad Hashin (2004), terdapat beberapa faktor yang mungkin memberi kesan terhadap kebolehpercayaan ujian dan nilai skor yang diperolehi dalam proses pengujian pengukuran dan penilaian dalam Pendidikan Jasmani. Di antaranya ialah memberi arahan yang tidak tepat, prosedur pemberian skor ujian yang tidak konsisten, perbezaan peralatan yang digunakan semasa pengujian dan suasana persekitaran ujian yang berbeza. Bagi menentukan kebolehpercayaan ujian , sekurang-kurangnya dua set data perlu diperolehi melalui skor ujian. Di antara prosedur yang selalu digunakan untuk mendapatkan kebolehpercayaan ujian ialah kaedah uji dan ulang uji, kaedah bentuk selari, kaedah pembahagi dua , kaedah Kuder Richardson dan kaedah pekali Cronbach alpha.
Pekali kebolehpercayaan diklasifikasikan dalam dua bentuk iaitu pekali kebolehpercayaan ‘interclass’ dan pekali kebolehpercayaan ‘intraclass’. Biasanya pengiraan pekali kebolehpercayaan ‘interclass’ adalah berdasarkan kepada pekali korelasi Pearson product moment. Manakala analisis varian ANOVA dan Cornbach alpha selalu digunakan bagi mengira kebolehpercayaan ‘intraclass’.
Safrit & Wood (1995) dan Miller (1998), mencadangkan nilai pekali korelasi atau pekali kebolehpercayaan antara  ±.80 hingga 1.00 adalah tinggi, ±.60 hingga .79 sederhana tinggi, ±.40 hingga .59 sederhana, ±.20 hingga .39 rendah dan ±.00 hingga.19 menunjukkan tidak ada perkaitan.

0 comments:

Post a Comment