Broadhead & Bruininks (1982) telah membuat penyelidikan untuk melihat kesesuaian The Short Form Bruninks Oseretsky Test ( BOT-S ) dalam mengenalpasti ciri-ciri lakuan motor kanak-kanak. Mereka telah menjalankan kajian ke atas sekumpulan subjek yang terdiri daripada kanak-kanak normal berumur 5 – 14 tahun. Kanak-kanak tersebut dikehendaki melalui 14 jenis ujian yang merangkumi komponen kemahiran motor kasar dan halus.
Data-data tentang kemahiran lakuan motor tersebut kemudiannya dianalisis mengikut umur kronologi dan jantina. Hasil dapatan menunjukkan bahawa purata prestasi kemahiran motor bagi kesemua jenis ujian itu adalah berkadar terus dengan umur kronologi iaitu prestasi lakuan motor adalah meningkat mengikut umur kronologi seseorang. Sementara itu, min prestasi bagi 11 daripada 14 jenis ujian adalah berbeza mengikut jantina. Terdapat enam jenis ujian yang menunjukkan perbezaan prestasi yang paling ketara iaitu kanak-kanak lelaki memperlihatkan prestasi yang lebih baik dalam kepantasan, ketangkasan, lompat menegak, menangkap bola dan membaling bola. Kanak-kanak perempuan pula menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam kedua-dua ujian ‘card sorting’ dan ‘dots in circles’. Analisis korelasi pula menunjukkan bahawa jenis-jenis ujian itu adalah tidak bergantung antara satu sama lain dan BOT-S adalah peka dalam mengukur kemajuan kemahiran motor.
Kajian yang dilakukan oleh Hayes (1988) bertujuan menentukan samada kemahiran asas motor dan kecergasan fizikal boleh dijadikan objektif utama dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani serta kesan Pendidikan Jasmani sekolah rendah ke atas prestasi kemahiran motor asas dan kecergasan fizikal pelajar. Kajian tersebut menguji komponen yang berkaitan dengan kelembutan, daya tahan otot statik, kuasa eksplosif, kekuatan, daya tahan otot dinamik dan daya tahan kardiovaskular. Komponen kemahiran asas motor yang diuji ialah koordinasi mata dan tangan, ketangkasan, kemahiran lokomotor dan kemahiran manipulatif.
Hasil daripada kajian tersebut dapat memberi pengetahuan kepada guru-guru mengenai ujian kemahiran asas motor dan kecergasan fizikal yang boleh digunakan untuk menguji prestasi pelajar dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Data ujian digunakan untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah. Seterusnya keputusan kajian dapat digunakan oleh guru untuk merancang pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani.
Menurut McCullagh, Stieht & Neiss (1990), pelajar yang lebih tua di sekolah rendah dapat melakukan aktiviti kemahiran motor dengan lebih baik berbanding dengan pelajar yang lebih muda. Pangrazi & Corbin (1990) pula menjelaskan bahawa kumpulan pelajar sekolah rendah yang lebih tua mempunyai prestasi perlakuan motor dan kecergasan fizikal yang lebih baik. Pelajar tersebut didapati mempunyai kelebihan tisu-tisu otot, kepanjangan ruas tulang, kecekapan koordinasi, kuasa otot dan kekuatan otot. Selain itu, pelajar yang mengalami perkembangan fizikal yang lebih awal menunjukkan kelebihan dalam aktiviti larian pecut, membaling dan memukul bola.
0 comments:
Post a Comment