Saturday, February 12, 2011

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Tujuan Ujian, Pengukuran Dan Penilaian


Pendidikan Jasmani dan Kesihatan: Tujuan Ujian, Pengukuran Dan Penilaian

Menurut Baumgartner & Jackson, 1999, Ahmad Hashim, 2004, Marrow et. al., 2005, Miller, 2006, terdapat tujuh tujuan ujian, pengukuran dan penilaian dalan PJ iaitu:
i.                     Menempatkan pelajar
Ujian boleh digunakan bagi menempatkan pelajar dalam kumpulan mengikut keupayaan masing-masing. Biasanya pelajar akan lebih selesa apabila melakukan sesuatu kemahiran sukan bersama kumpulan yang mempunyai kebolehan dan keupayaan yang hampir sama.
ii.                   Diagnosis
Penilaian terhadap keputusan ujian biasanya digunakan untuk menentukan kelemahan atau kekurangan pelajar dalam sesuatu kemahiran sukan. Ujian juga boleh mengenal pasti komponen-komponen tertentu dalam kecergasan fizikal yang telah menunjukkan peningkatan kesan daripada latihan dan pengajaran.
iii.                  Motivasi
Proses pengukuran dan penilaian jika dijalankan dengan betul, mampu meningkatkan motivasi pelajar. Biasanya pelajar ingin mengetahui tahap prestasi kecergasan motor, kecergasan fizikal dan kemahiran sukan. Keputusan yang diperolehi dapat digunakan untuk menilai pencapaian mereka berbanding dengan rakan yang lain.
iv.                 Membuat jangkaan
Keputusan ujian boleh digunakan untuk menjangkakan tahap prestasi pencapaian pelajar dalam aktiviti sukan yang mempunyai potensi masa hadapan. Ujian kemahiran permainan digunakan bagi mengenal pasti pelajar yang berpotensi dalam aktiviti sukan dan permainan tertentu.
v.                   Penilaian prestasi
Pengukuran dan penilaian dijalankan bagi menentukan prestasi pencapaian pelajar dan objektif p & p. Guru perlu mengetahui tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu kemahiran bagi menilai keberkesanan pengajarannya. Pencapaian selalunya digunakan untuk menentukan gred dalam PJ dan guru dapat membahagikan pelajar yang mempunyai tahap pencapaian kemahiran yang hampir sama dalam satu kumpulan. Kaedah ini mampu meningkatkan p & p guru.


vi.                 Penilaian program
Pengukuran dan penilaian dilakukan ke atas pelajar bagi menilai sejauh manakah objektif p & p yang terkandung dalam mata pelajaran PJ sudah tercapai. Menilai sama ada guru berjaya menguasai kandungan pengetahuan pedagogi dalam pengajarannya. Bagi mengetahui keberkesanan sesuatu program pengajaran, guru boleh membandingkan keputusan ujian pelajarnya dengan skor ujian pelajar bagi kelas yang diajar oleh guru PJ yang lain dalam sekolahnya.
vii.                Membina norma dan skala skor
Data yang dihasilkan melalui proses pengukuran dapat digunakan untuk membentuk norma ujian dan skala skor atau  kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun faktor kesahan, kebolehpercayaan ujian, jantina, tingkatan dan umur pelajar perlu diambilkira semasa menjalankan ujian.
            Menurut Ahmad Hashim (2004), terdapat sembilan prinsip pengujian, pengukuran dan penilaian dalam PJ iaitu (i) lebih berkesan jika ia dapat dilakukan dengan penuh bermakna; (ii) seharusnya mempunyai perkaitan terus dengan matlamat dan objektif PJ: (iii) seharusnya digunakan untuk meningkatkan kualiti p & p PJ: (iv) teknik pengukuran dan penilaian yang digunakan adalah bersifat objektif dan subjektif: (v) guru PJ perlu bersifat profesional: (vi) berikan arahan dan latihan terlebih dahulu sebelum menjalankan ujian: (vii) ujian sepatutnya dijalankan oleh guru PJ yang telah terlatih: (viii) mentafsirkan maklumat hasil daripada pengukuran berdasarkan piawai rujukan kriteria dan piawai rujukan norma; dan (ix) menggunakan bentuk penilaian formatif dan sumatif.

5 comments: