Motivasi pencapaian bermaksud sejauh mana seseorang pelajar mendekati atau mengelak dari situasi kompetitif dalam usaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Manusia sentiasa menangani masalah, meningkatkan daya usaha, dan berjuang untuk melakukan perkara yang sukar dengan sebaik mungkin dan sepantas yang boleh bagi mencapai sesuatu matlamat.
Arkes dan Garske (1982) menjelaskan bahawa kebanyakan penyelidik melihat pengaruh keyakinan diri sebagai faktor yang membezakan individu bermotivasi pencapaian tinggi dengan individu yang bermotivasi pencapaian rendah. Teori Self Efficacy oleh Bandura (1986), menjelaskan keadaan yang berkaitan dengan keyakinan individu tentang kemampuannya untuk melakukan sesuatu tugasan dengan berkesan. Teori ini menegaskan bahawa self efficacy adalah mekanisme kognitif yang menjadi pengantara motivasi, corak pemikiran, dan tingkah laku. Self efficacy adalah pertimbangan individu terhadap kemampuannya beraksi dalam apa tahap sekalipun, serta merupakan hasil daripada proses pengaruh kendiri yang kompleks berdasarkan kepada sumber maklumat keupayaan diri seperti berikut:
(i) Perlakuan atau prestasi yang berjaya
Maklumat keupayaan diri diperoleh melalui pengalaman masteri individu dalam bidang yang diceburi. Jika individu melihat pengalaman tersebut sebagai berjaya mencapai tahap masteri, maka keupayaan diri akan meningkat. Dalam konteks sukan dan aktiviti fizikal, perlakuan atau prestasi yang berjaya adalah cara yang paling penting dalam proses untuk meningkatkan self efficacy individu (Shaharudin, 2001). Kajian Feltz et al. (1999) mendapati bahawa teknik modeling dalam pembelajaran kemahiran yang melibatkan kedua-dua kaedah demonstrasi oleh model hidup dan penglibatan terbimbing oleh atlet, telah menunjukkan hasil tahap pembelajaran masteri yang lebih tinggi berbanding jika pembelajaran dilakukan menggunakan model hidup sahaja atau model di dalam rakaman video.
(ii) Pengalaman lalu
Maklumat tentang keupayaan juga boleh diperoleh melalui proses perbandingan sosial. Pengaruhnya terhadap keupayaan boleh ditingkatkan jika perbandingan dibuat dengan individu yang mempunyai kebolehan atau pengalaman yang lebih rendah terhadap situasi yang sama.
(iii) Pujukan atau dorongan
Maklumat yang berunsurkan pujukan atau dorongan yang meyakinkan boleh diperoleh secara verbal, percakapan kendiri, imageri serta strategi kognitif yang lain.
(iv) Status fisiologi
Status fisiologi individu juga boleh memberi maklumat mengenai keupayaan seseorang melalui penilaian kognitif yang dilakukan terhadap sesuatu situasi. Sebagai contoh, mengaitkan kebangkitan fisiologi dengan kebimbangan dan keraguan, atau menjadi psyched-up semasa sedang bersedia untuk menghadapi perlawanan.
Berdasarkan teori motivasi kecekapan Harter (1978). Teori ini menjelaskan motivasi pencapaian berdasarkan aspek kecekapan diri pelajar. Pelajar yang merasakan bahawa mereka mempunyai kecekapan yang mencukupi dalam sesuatu tugasan biasanya akan melakukan tugasan tersebut tanpa banyak soal, manakala individu yang merasakan bahawa tahap kecekapannya masih terlalu awal, atau langsung tidak mempunyai kecekapan, akan menarik diri dari tugasan tersebut. Penilaian kognitif terhadap kejayaan menguasai sesuatu kemahiran akan memberi kesan terhadap motivasi seseorang pelajar. Jika pelajar berjaya dalam sesuatu kemahiran yang ditunjukkan, maka secara tidak langsung motivasi kecekapannya akan meningkat, manakala keinginan untuk terus memahirkan diri dengan kemahiran tersebut juga akan meningkat. Tetapi jika mereka gagal dalam menguasai kemahiran, maka motivasi kecekapan akan menurun dan keinginan untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti kemahiran tersebut juga akan menurun.
0 comments:
Post a Comment