Friday, April 1, 2011

Perkembangan Kemahiran Asas Motor


 Pendidikan Jasmani merupakan suatu proses yang bertujuan meningkatkan prestasi manusia melalui aktiviti fizikal yang berkait rapat dengan pemilikan dan penghalusan kemahiran-kemahiran motor, pembangunan dan pemeliharaan kecergasan untuk kesihatan optimum, memperoleh pengetahuan, dan pembangunan sikap-sikap positif terhadap aktiviti fizikal.

Jenny (1961) dan Williams (1964) berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani mendidik seseorang melalui aktiviti fizikal dan matlamatnya mempengaruhi semua perkembangan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial. prestasi kemahiran asas motor ialah kemahiran menguasai pergerakan asas seperti berlari, melompat, membaling dan menangkap bola. Ini menunjukkan bahawa kemahiran merupakan suatu tindakan, tugasan atau corak tindak balas yang tertentu dalam melakukan sesuatu pergerakan. Keupayaan pergerakan asas merupakan asas pergerakan permulaan semasa kanak-kanak bergerak dan berjalan serta melakukan pergerakan yang melibatkan persekitaran.

Menurut Singer, dalam Vasudevan (1989), kemahiran motor ialah pergerakan otot-otot atau gerakan badan untuk melakukan sesuatu pergerakan yang diingini. Bayi yang baru lahir sudah boleh menghasilkan beberapa refleks primitif seperti menghisap, menggenggam dan menoleh melalui sentuhan pipi. Pergerakan tersebut terjadi secara involuntari iaitu hasil daripada tindak balas terhadap ransangan dari persekitaran dan keperluan hidup seperti perasaan lapar dan ingin dilindungi (Seifert dan Hoffnung, 2000). Apabila otak bayi berkembang sedikit demi sedikit, pergerakan involuntari kanak-kanak akan hilang sedikit demi sedikit maka kemahiran motor bayi akan menjadi lebih baik. Oleh itu, kemahiran motor kasar bayi juga akan meningkat dengan cepat. Sepanjang dua tahun pertama bayi akan memahirkan diri mereka dengan kemahiran asas motor seperti duduk, berdiri, berjalan dan berlari (Praagh,1998).

Sebelum melangkah ke alam persekolahan, kanak-kanak terus mempelajari kemahiran motor secara tidak formal. Pada usia dua hingga empat tahun, kemahiran motor kanak-kanak berada di peringkat generik di mana mereka akan melihat dan meniru pergerakan orang dewasa yang mereka lihat. Bagaimanapun, pergerakan kanak-kanak ini masih terhad dan tidak lancar. Pergerakan ini dikenali sebagai pola pergerakan belum matang. Pola pergerakan kanak-kanak akan menjadi matang apabila mereka melangkah memasuki umur empat hingga enam tahun di mana mereka berada di alam prasekolah. Ketika ini pergerakan kanak-kanak berada di peringkat ordinatif di mana kanak-kanak berupaya membuat pengubahsuaian dan penghalusan pergerakan (Littlewood dan Pridmore, 1997).

Kanak-kanak mula diperkenalkan dengan kemahiran asas motor secara formal apabila mereka berada di alam persekolahan (siedentop, Herkowitz & Rink, 1984). Kurikulum Pendidikan Jasmani Sekolah Rendah Tahap I telah dirancang dengan teliti oleh Pusat Perkembangan Kurikulum agar mata pelajaran Pendidikan Jasmani boleh dijadikan sebagai kaedah asas penguasaan Kemahiran Asas Motor yang lebih kompleks.

Kemahiran asas motor yang diajar di tahap I bersesuaian dengan pendapat Wall (1990), yang menyatakan bahawa pada usia kanak-kanak enam hingga sembilan tahun, tahap koordinasi mata-tangan dan mata-kaki kanak-kanak sedang berkembang pesat. Otot kanak-kanak akan bertambah kuat, kelembutan pergerakan akan bertambah baik dan ketangkasan serta keseimbangan tubuh juga meningkat. Tetapi apabila berada di Tahap II, murid-murid ini tidak lagi diajar dengan kemahiran asas motor. Kemahiran lokomotor, bukan lokomotor dan manipulatif akan digabungjalinkan ke dalam aktiviti-aktiviti permainan dan olahraga. Kemahiran tersebut sesuai dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Gallahue (1996) di mana kanak-kanak berusia antara sepuluh hingga dua belas tahun seharusnya berupaya untuk melakukan aksi sukan yang memerlukan kepantasan dan kecekapan.

Perkembangan motor kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Setiap tahap perkembangan motor mereka adalah unik dan berkait rapat dengan tumbesaran tulang, otot, saraf dan organ dalaman (Willmore dan Costill, 1996).


1 comment:

  1. Assalammualaikum wbt, blh saya tahu. bgaimana nak menilai urutan sebenar kemahiran asas motor?. antara nya generic, ordiantif, manipulatif dan juga interpretif.

    ReplyDelete