Saturday, April 2, 2011

Daya Tahan Kardiovaskular

Sistem kardiovaskular merupakan salah satu sistem biologi yang menyokong sistem lain seperti sistem respiratori, sistem endokrina dan sebagainya untuk berfungsi dengan berkesan. Sistem kardiovaskular memainkan peranan yang penting untuk mengangkut oksigen kepada sel dan membawa keluar sisa metabolisme serta produk sel ke bahagian lain tubuh. Dalam sistem kardiovaskular terdapat tiga bahagian utama iaitu jantung, darah dan pembuluh darah.

Daya tahan kardiovaskular merupakan satu komponen asas dalam kecergasan fizikal yang merangkumi penguncupan kumpulan otot besar yang memerlukan penyesuaian sistem peredaran respirasi. Pengukuran dan penilaian kecergasan atau daya tahan kardiovaskular menjadi satu aspek penting dalam ujian kecergasan fizikal. Heyward (1991), menyatakan satu daripada komponen yang terpenting bagi kecergasan fizikal adalah daya tahan kardiovaskular. Daya tahan kardiovaskular adalah keupayaan melakukan latihan dinamik yang melibatkan kumpulan otot besar bagi tempoh masa panjang.

Daya tahan kardiovaskular adalah komponen yang terpenting dalam profil fisiologi manusia. Ia boleh didefinisikan sebagai keupayaan jantung, salur darah dan paru-paru mengedar oksigen ke otot-otot secara berterusan dalam jangka masa yang lama semasa melakukan aktiviti fizikal. Ini menjelaskan bahawa daya tahan kardiovaskular adalah berkaitan dengan efisiensi dan keupayaan sistem kardiovaskular mengepam dan menyalurkan darah beroksigen ke seluruh tubuh secara berterusan bagi membolehkan seluruh anggota tubuh bekerja dalam tempoh masa yang panjang.

Individu dikatakan mempunyai tahap kecergasan yang tinggi apabila keupayaan daya tahan kardiovaskular melebihi tahap purata kapasiti aerobik. Kapasiti aerobik adalah konsep yang digunakan untuk menggambarkan status fungsi sistem kardiovaskular. Ia juga dikenali sebagai VO2 max. VO2 max didefinisikan sebagai kapasiti penggunaan oksigen yang maksimum oleh tubuh badan semasa melakukan aktiviti fizikal. Apabila melakukan aktiviti fizikal, keperluan tenaga akan meningkat sejajar dengan peningkatan kadar kerja sehingga sampai ke penggunaan oksigen yang maksimum. Oleh itu, semakin tinggi tahap kecergasan daya tahan kardiovaskular, semakin banyak jumlah darah beroksigen yang boleh di hantar ke otot-otot. Tempoh masa bekerja akan menjadi lebih lama sebelum mencapai tahap kelesuan. Keperluan kepada meningkatkan kecergasan daya tahan kardiovaskular adalah sangat signifikan disebabkan komponen ini penting dalam semua jenis pertandingan sukan dan permainan dan juga aktiviti seharian.

Sistem kardiovaskular terdiri daripada jantung dan salur darah. Jantung adalah organ yang berfungsi mengepam darah ke seluruh badan manakala salur darah menyalurkan darah ke setiap sel di dalam badan.







 






Pengekal
 
 



Rajah 2.3  Fungsi Sistem Kardiovaskular

Howley dan Franks (1997), pula menyatakan kecergasan merupakan pengukuran keupayaan jantung mengepam darah yang kaya dengan oksigen kepada tubuh dan keupayaan mengawal serta pulih semasa aktiviti fizikal. Miller (1998), memberikan definisi kecergasan adalah keupayaan tubuh melaksanakan aktiviti berintensiti tinggi bagi tempoh masa yang panjang. Ia meliputi fungsi jantung, paru-paru, darah dan kapasitinya mengangkut oksigen ke semua bahagian tubuh dan sel otot yang menggunakan oksigen bagi membekalkan tenaga yang diperlukan untuk latihan dan aktiviti daya tahan.

Berbeza dengan Miller, Robergs dan Roberts (2000), memberikan definisi yang lebih luas berkaitan kecergasan. Kecergasan meliputi banyak komponen termasuk daya tahan kardiorespiratori, daya tahan otot, fleksibiliti, komposisi tubuh badan, kekuatan otot dan kualiti emosi serta psikologi. Istilah kecergasan digunakan untuk menjelaskan komponen kardiorespiratori dan fungsi otot dari aspek daya tahan, kekuatan dan kuasa. Namun begitu, aspek fizikal adalah aspek yang sering diberikan penekanan bagi menjamin satu tahap kecergasan yang memuaskan di kalangan para atlet. Powers dan Howley (2004), pula menghuraikan bahawa daya tahan kardiovaskular adalah keupayaan tubuh badan bagi mengangkut oksigen ke seluruh badan bagi menghasilkan tenaga untuk digunakan dalam menjalani aktiviti fizikal. Semasa latihan, badan seseorang perlu meningkatkan keupayaan dan daya tahan kardiovaskular supaya dapat menghasilkan kerja dengan menggunakan jumlah oksigen yang maksimum.

Dalam latihan, badan dapat menyesuaikan struktur dan fungsinya agar dapat membenarkan sistem kardiovaskular menghantar jumlah oksigen yang maksimum ke anggota tubuh yang bekerja dan meningkatkan penggunaan oksigen. Pendapat ini disokong oleh Marieb (2004), iaitu daya tahan kardiovaskular dapat mempertingkatkan kecekapan mekanisme fisiologi jantung. Corbin dan Lindsey (2005), memberikan definisi yang hampir sama dengan pernyataan Miller iaitu daya tahan kardiovaskular adalah kemampuan tubuh seseorang dalam melakukan aktiviti dalam jangka masa panjang tanpa henti.

Daya tahan kardiovaskular memerlukan jantung yang kuat, paru-paru yang sihat dan salur
darah yang baik untuk membekalkan sel badan dengan oksigen. Kebolehan kita melakukan kerja-kerja seharian tanpa rasa lesu adalah satu indikator kepada tahap kecergasan fizikal. Kebanyakkan manusia yang cergas tidak hanya mempunyai tenaga untuk menyelesaikan kerja setiap hari, tetapi juga boleh melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan tidak dirancang di luar rumah atau di tempat-tempat lain.

Daya tahan fizikal memainkan peranan yang sangat penting untuk mengelakkan kelesuan dan mengekalkan prestasi serta kesediaan melakukan aktiviti. Kecekapan menyesuaikan aktiviti dapat dilaksanakan dengan adanya hubungan antara daya tahan fizikal seseorang. Individu yang mempunyai tahap daya tahan fizikal yang tinggi dapat menambahkan kualiti dan kuantiti hasil daripada pekerjaan atau aktiviti yang dilakukannya. Seseorang yang mampu melakukan siri latihan fizikal dan kurang mengalami kelesuan mempunyai daya tahan kardiovaskular.

Untuk mendapatkan daya tahan kardiovaskular ini, seseorang itu harus menjalani satu siri latihan berterusan dan sistematik dalam jangka masa tertentu oleh seseorang individu yang mahir dalam bidang sukan. Individu yang berjaya mencapai tahap daya tahan kardiovaskular yang baik, mempunyai banyak kelebihan antaranya dapat memperbaiki peredaran darah dan respiratori, mengurangkan risiko serangan jantung, memperbaiki kadar metabolisma lemak serta mengubah personaliti, konsep kendiri dan kestabilan emosi seseorang.

Dari sudut kecekapan, daya tahan dan keupayaan maksimum, daya tahan kardiovaskular merupakan pengukuran fungsi kardiorespiratori (Safrit, 1981). Tahap kecergasan kardiovaskular seseorang diukur dengan kapasiti aerobik VO max dari senaman maksimum dan submaksimum yang digunakan. Kapasiti pengambilan oksigen maksimum sebagai petunjuk kebiasaan bagi kecergasan kardiorespiratori seseorang.

 Antara ujian yang kerap kali digunakan bagi mengukur tahap daya tahan kardiovaskuar adalah Ujian menapak Harvard yang diperkenalkan oleh Brouha pada tahun 1943, ujian menapak Queen College yang diubahsuai daripada ujian menapak Harvard dan ujian Bleep.

Ujian menapak Harvard dan Queen College berfungsi dalam menentukan kemampuan kadar pemulihan selepas melakukan aktiviti pada jangka masa yang lama. Ujian ini dilakukan berdasarkan keadaan daya tahan jantung dalam menghasilkan kadar denyutan manakala ujian Bleep menggunakan pencapaian pada tahap larian dan VO2max sebagai indikator kecergasan kardiovaskular.

9 comments:

  1. terima kasih untuk info. membantu saya utk P&P PJ :)

    ReplyDelete
  2. Apa khabar bro.terjumpa hang punya blog. So singgah kejap tgk informasi. Selamat maju jaya bro

    ReplyDelete
  3. trima kasih.mklumat berguna...ada temuduga pendidikn jasmani mnggu depan..

    ReplyDelete
  4. Saya blogwalking mencari informasi bagi blog saya.. informasi ini menarik. Terima kasih

    ReplyDelete
  5. Saye nak buat research tau tak.. amat memberi informasi untuk saya

    ReplyDelete
  6. Banyak yang saya dapat pelajari di google

    ReplyDelete