Saturday, January 29, 2011

Pentaksiran Komprehensif Bagi Permainan Badminton Dalam Pendidikan Jasmani


Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti sejauh pencapian pembelajaran pelajar berdasarkan kognitif, psikomotor dan afektif melalui pentaksiran komprehensif bagi permainan badminton dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Reka bentuk kajian ini berupa kaedah pra-eksperimen - kajian kes sekali. Kajian dijalankan di sekolah-sekolah menengah daerah Larut, Matang dan Selama dalam Negeri Perak dengan sampel terdiri daripada 15 orang guru dan 444 orang pelajar Tingkatan 2 yang mengikuti kelas Pendidikan Jasmani. Instrumen kajian ini mengandungi pentaksiran berupa skoran rubrik aras kognitif (r=.75),  psikomotor (r=.81) dan afektif (r=.81) serta soal selidik tahap persetujuan guru terhadap penggunaan pentaksiran komprehensif bagi permainan badminton (r=.92). Keputusan kajian menunjukkan pencapaian pembelajaran kognitif pelajar (M=30.35,75.87%) berada pada tahap baik. Pencapaian pembelajaran tertinggi bagi pentaksiran psikomotor semasa sesi latihan adalah pada aras manipulation (n=357,81.00%) dan semasa sesi permainan pula berada pada tahap aras articulation (n-=217,48.70%) manakala pencapaian pembelajaran tertinggi pentaksiran afektif adalah pada aras organize (n=215,48.40%). Kajian juga mendapati 90.53% guru bersetuju bahawa penggunaan pentaksiran komprehensif mampu meningkatkan pencapaian pembelajaran pelajar, 88.00% membantu dalam pengurusan pengajaran guru, 95.94% bersetuju pentaksiran mencapai objektif pengajaran, 79.46% bersetuju bahawa pentaksiran menepati ciri modul penilaian dan 58.67% setuju bahawa pentaksiran komprehensif mudah dilaksanakan. Berdasarkan dapatan, instrumen pentaksiran komprehensif ini sesuai digunakan sebagai alat ukur yang piawai bagi menilai pencapaian pembelajaran pelajar dalam tajuk permainan badminton bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani.